Jom ketahui hukum gantung gambar keluarga.

Sudah menjadi kelaziman untuk kita menggantung gambar keluarga di dinding rumah sebagai kenangan. Kebiasaannya kita menggantung gambar yang penuh dengan kenangan seperti gambar pernikahan, gambar konvokasyen, gambar anak-anak, malah gambar semasa bercuti bersama keluarga.

Pastinya tiada niat lain semasa kita mengantung gambar-gambar tersebut melainkan sebagai kenangan sambil mencantikkan rumah dengan hiasan di dinding.

Namun sejak akhir-akhir ini ada ustaz dan ustazah yang mengatakan bahawa yang sebenarnya hukum menggantung gambar keluarga di dinding adalah haram dan perbuatan tersebut akan menyebabkan malaikat rahmat tidak masuk ke rumah kita.

Apabila malaikat rahmat tidak masuk ke rumah, maka ahli keluarga di dalamnya tidak akan berada dalam rahmat Allah dan tidak mendapat keberkatan hidup.

hukum gantung gambar keluarga
Sumber: Impiana

Pendapat Ustaz Zahazan

Menurut Ustaz Zahazan, hukum menggantung gambar keluarga di dinding adala harus sekiranya gambar yang digantung adalah patuh syariah di mana tiada pendedahan aurat berlaku dan gambar yang digantung adalah sopan tanpa aksi yang kurang manis. Namun hukum gantung gambar keluarga akan bertukar kepada haram sekiranya gambar yang digantung mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
  • Gambar yang digantung menunjukkan aksi yang kurang manis dan tidak sopan seperti berciuman, berpelukan, dan perbuatan tidak senonoh yang lain.
  • Gambar menunjukkan aksi yang bertentangan dengan agama seperti menyembah berhala.
  • Gambar menunjukkan ahli keluarga yang baru memeluk agama islam semasa berada dalam agama yang lama seperti memakai rantai bersama salib di leher.

Malah Ustaz Zahazan berpendapat bahawa lukisan dan gambar yang diambil menggunakan kamera adalah dua perkara yang berbeza. Lukisan benda bernyawa seperti manusia mungkin boleh menyebabkan berlakunya pemujaan ke atas gambar tersebut namun gambar fotografi adalah sekadar untuk kenang-kenangan. Oleh itu, Ustaz Zahazan berpendapat bahawa menggantung gambar keluarga di dinding adalah harus asalkan tidak mempunyai ciri-ciri yang kami nyatakan di atas tadi.

Pendapat Mufti Pulau Pinang

Walau bagaimana pun, Mufti Pulau Pinang mempunyai pendapat yang berbeza tentang isu gantung gambar keluarga di dinding. Menurut beliau, terdapat khilaf dalam isu ini maka sebagai seorang muslim yang baik seeloknya kita jauhkan diri daripada melakukan perkara tersebut. Menurut beliau, umat islam seeloknya mengelakkan daripada menggantung gambar makhluk bernyawa berdasarkan hadith-hadith berikut:

Daripada Aisyah RA, beliau menjelaskan: “Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah SAW melihat ia, baginda berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah, kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya.”

Aisyah berkata: “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada ALLAH dan Rasul-Nya, (tolong beritahu aku) apakah dosaku?”

Rasulullah SAW berkata: “Ada apa dengan bantal ini?”

Lalu Aisyah menjawab: “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan bersandar padanya.”

hukum gantung gambar keluarga
Sumber: Realmerah

Rasulullah SAW berkata: “Pembuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat. Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah lagi hadis, daripada Ibnu ‘Abbas: “Abu Talhah, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dimaksudkan ialah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut beliau, gambar kenangan keluarga boleh disimpan di dalam komputer dan album gambar tanpa perlu digantung di dinding. Jika ingin menghias dinding dengan gambar, sebaiknya pilih gambar yang bukannya makhluk bernyawa seperti gambar pemandangan dan tumbuh-tumbuhan.

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Mufti Kuala Lumpur juga sependapat dengan Mufti Pulau Pinang berkenaan isu hukum gantung gambar keluarga di dinding. Menurut beliau, menggantung gambar makhluk bernyawa di dinding walau pun dalam keadaan tidak sempurna seperti separuh badan sahaja adalah khilaf maka perlu dijauhi. Walau bagaimana pun dibenarkan untuk menyimpan gambar dalam buku atau album gambar.

Menurut beliau, ia adalah sejajar dengan sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi saw bersabda yang bermaksud:

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam Peperangan Badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata,

” Malaikat pembawa rahmat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar”

Yang dimaksudkan dengan gambar di dalam hadith ini ialah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa. Apabila malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah, kesannya akan dirasai oleh penghuni rumah tersebut. Di antara kesan yang boleh dirasai ialah:

  • Hilang kasih sayang di antara ahli keluarga
  • Selalu berlaku perselisihan faham di antara ahli keluarga
  • Rumahtangga terasa panas di mana ahlinya selalu bergaduh dan bertengkar
  • Berasa tidak bahagia
  • Rezeki terasa sempit
  • Selalu ada masalah yang menimpa ahli keluarga
hukum gantung gambar keluarga
Sumber: Impiana

Selain larangan menggantung gambar makhluk bernyawa di dinding, larangan ini juga meliputi larangan daripada menyimpan sebarang patung berbentuk makhluk bernyawa di dalam rumah termasuk patung yang menyerupai kucing, gajah, zirafah, dan sebagainya. Malah teddy bear atau patung beruang juga tidak boleh disimpan sebagai perhiasan melainkan ianya untuk dijadikan sebagai permainan.

Itulah dia info tentang hukum gantung gambar keluarga yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang tuntutan nafkah anak, tahnik bayi, dan bayi tabung uji.

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.