Anda mempunyai masalah mulut berbau? Dah berusaha macam-macam tapi masalah mulut berbau tak juga hilang. Jangan susah hati. Kami faham, mulut berbau sememangnya boleh menyebabkan anda berasa rendah diri dan tak selesa untuk bergaul dengan orang ramai.

Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan cara hilangkan mulut berbau yang dijamin berkesan.

mulut berbau

Sumber: Arditor

1. Penjagaan gigi yang betul

Adakah anda memberus gigi dengan cara yang betul? Memberus gigi bukan bermaksud hanya gigi yang perlu diberus. Sebaliknya, anda juga perlu memberus lidah, gusi, dan lelangit bagi memastikan mulut anda betul-betul bersih dari kuman dan bakteria yang menjadi punca nafas berbau.

Berus gigi juga perlu ditukar 4 bulan sekali walau pun ia masih berada dalam keadaan yang baik dan belum kembang. Selain itu, anda juga perlu menggunakan flos untuk membuang sisa makanan yang terlekat pada celah gigi. Dengan penjagaan gigi yang betul, insya Allah masalah mafas berbau anda dapat dihilangkan.

2. Jangan biarkan mulut kering

Nafas berbau boleh berlaku disebabkan oleh mulut yang kering. Oleh itu, sentiasa pastikan mulut anda tidak kering dengan cara minum air kosong dengan kerap. Bawa bekal air kosong ke mana-mana sahaja anda pergi. Bukan sahaja membantu mengatasi masalah mulut berbau malah mengambil air kosong yang secukupnya setiap hari membantu menjaga kesihatan anda.

3. Sentiasa bawa gula-gula dalam poket

Taknak nafas berbau? Kunyah gula-gula selalu. Tak kisahlah apa jenis gula-gula sekali pun. Chewing gum, gula-gula pedas seperti mentos, atau yang manis macam fuit gummy. Sentiasa bawa gula-gula dalam poket anda. Kalau rasa nafas anda mula berbau, boleh terus kunyah gula-gula yang dibawa. Mudah kan?

4. Elakkan makan makanan berbau seperti bawang putih

Kalau taknak mulut berbau busuk, elakkan daripada makan makanan yang boleh menyebabkan nafas anda berbau seperti bawang putih, bawang, dan ulam-ulaman seperti petai, jering, dan kerdas. Kalau dah makan makanan yang menyebabkan mulut berbau, terus berus gigi & kunyah gula-gula untuk menghilangkan baunya.

mulut berbau

Sumber: Firstcry

5. Bunga cengkih

Petua hilangkan mulut berbau yang seterusnya ialah dengan cara mengunyah bunga cengkih. Apabila mengunyah bunga cengkih, mulut anda akan dipenuhi dengan aroma bunga cengkih yang harum dan segar. Tiada lagi nafas berbau. Kalau anda tak mampu nak kunyah bunga cengkih, boleh juga kunyah gula-gula Hacks berwarna hitam yang pedas tu.

6. Jintan putih

Selain bunga cengkih, anda juga boleh kunyah jintan putih untuk mengatasi masalah mulut berbau. Mengunyah jintan putih akan menyebabkan nafas anda berbau jintan putih yang sangat harum. Cuma kunyah, kemudian buang jintan putih tersebut. Tak perlu dimakan.

7. Buah pelaga

Buah pelaga juga merupakan herba yang boleh digunakan untuk menghilangkan nafas berbau. Caranya:

  • Ambil sebiji buah pelaga
  • Kunyah sehingga minyak patinya keluar
  • Ludah buah pelaga

Mulut anda akan berbau wangi

8. Daun pudina

Daun pudina sememangnya terkenal dengan khasiatnya untuk menyegarkan nafas dan mengatasi masalah nafas berbau. Anda boleh kunyah daun pudina atau terus makan daun herba tersebut. Nafas anda pasti akan berbau segar seperti baru lepas memberus gigi.

9. Daun peppermint

Seperti daun pudina, daun peppermint juga digunakan didalam proses pembuatan ubat gigi. Daun peppermint juga boleh dikunyah atau dimakan untuk menghilangkan masalah mulut berbau.

10. Teh hijau & daun pudina

Anda juga boleh menghilangkan masalah mulut berbau dengan mengamalkan teh bersama pudina setiap pagi. Cara menyediakan teh pudina ialah:

  • Rendam 1 uncang teh hijau dalam 1 cawan air panas
  • Masukkan 3 helai daun pudina
  • Biarkan sehingga suam
  • Minum setiap pagi
mulut berbau

Sumber: Hijabista

11. Air asam jawa & gula merah

Amalan minum air asam jawa sebelum tidur setiap malam juga membantu mengatasi masalah mulut berbau. Caranya:

  • Rendam 1 sudu asam jawa & sedikit gula merah  ke dalam 1 cawan air panas
  • Biarkan sehingga suam
  • Kacau sehingga sebati
  • Minum sebelum tidur setiap malam

12. Kelapa parut yang disangai

Kelapa parut yang disangai juga boleh membantu mengatasi masalah mulut berbau yang anda alami. Caranya:

  • Sangai 1 cawan kelapa parut sehingga garing
  • Kunyah kelapa parut tersebut setiap pagi
  • Kemudian minum air suam
  • Lebihan kelapa sangai boleh disimpan dalam bekas kedap udara

13. Berkumur Dengan Air Rebusan Daun sirih

Daun sirih juga boleh digunakan untuk menghilangkan nafas berbau. Caranya:

  • Rebus 10 helai daun sirih dalam 1 liter air
  • Tunggu sehingga mendidih
  • Biarkan suam
  • Gunakan air rebusan tadi untuk berkumur

14. Minum air rendaman daun sirih

Selain dijadikan sebagai air untuk berkumur, anda juga boleh minum air daun sirih untuk menghilangkan mulut berbau. Caranya:

  • Rendam 1 helai daun sirih dalam 1 gelas air panas
  • Biarkan sehingga suam
  • Masukkan sedikit madu
  • Minum setiap pagi

15. Daun limau kasturi & serai wangi

Anda juga boleh mencba petua hilangkan mulut berbau yang ini. Apa yang anda perlukan ialah 5 helai daun limau kasturi & sebatang serai wangi. Caranya:

  • Hiris halus-halus daun limau kasturi & serai wangi
  • Tumbuk sehingga lumat
  • Masukkan bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk yang berisi 4 gelas air
  • Rebus sehingga mendidih
  • Biarkan sehingga suam
  • Jadikan sebagai air kumuran setiap hari

16. Air Rebusan Daun Jambu Batu Muda

Tahukah anda, air rebusan jambu batu muda juga telah lama digunakan untuk mengatasi masalah mulut berbau. Caranya:

  • Rebus 10 helai daun jambu batu muda dalam 1 liter air
  • Biarkan sehingga mendidih
  • Tunggu air rebusan tadi menjadi suam
  • Gunakan air rebusan tadi untuk berkumur
mulut berbau

Sumber: Khasiatsehat

Itulah dia 16 petua hilangkan mulut berbau yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang petua gegata, petua hilangkan ketumbit, dan petua hilangkan sakit gigi.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.