‘Rumahku Syurgaku’ istilah ni ada benarnya buat kita. Rumah menjadi tempat tinggal kita, tempat kumpulnya ahli keluarga. Tempat kita bergurau-senda, berehat dan berkasih sayang. Kita tak memerlukan rumah yang besar untuk berasa bahagia.

Rumah yang kecil tetapi kemas dan bersih membuat jiwa sentiasa tenang. Itulah sebabnya tak kira lelaki mahupun wanita sanggup menghias rumah untuk kepuasan diri. Bukan semua orang mampu mengupah kontraktor atau interior designer.

Penulis amat kagum dengan orang yang mampu menghias rumah mereka hingga nampak begitu cantik, eksklusif dan mewah walaupun dengan kos yang rendah. Salah satu cara hiasan yang semakin popular ialah dengan penggunaan hiasan cermin dinding.

Justeru, penulis akan kongsikan beberapa idea untuk mendekorasi rumah menggunakan cermin. Jangan risau, pastinya dengan kos yang sangat rendah. Anda mampu DIY sendiri tanpa perlu mengupah orang. Seronok bukan?

Sebelum tu, penulis ingin berkongsi kelebihan menggunakan cermin dinding sebagai hiasan dinding di rumah. Antaranya ialah:

a. Penggunaan cermin memberi impak visual yang menarik dan terang.

b. Bagi rumah yang mempunyai ruang tamu yang kecil, penggunaan cermin membuat ilusi lebih besar.

c. Penggunaan cermin mampu disesuaikan dengan pelbagai konsep dari minimalis sehingga gaya mewah.

d. Bagi kawasan yang menerima jumlah cahaya yang terhad, cermin boleh diletakkan bertentangan dengan tingkap untuk menambah cahaya.

e. Cermin boleh dijadikan hiasan elegan untuk dinding yang kosong.

Idea Hiasan Cermin Dinding

Di bawah ni, penulis akan berkongsi beberapa idea hiasan cermin dinding DIY yang anda boleh cuba. Bila ada masa lapang, anda boleh pelbagaikan gaya hiasan.

Hiaskan dengan Lampu

Penggunaan lampu di keliling cermin akan memberi efek pencahayaan yang menarik. Caranya ialah beli cermin sama ada yang bersaiz kecil atau besar mengikut kesukaan. Kemudian, tampal cermin tersebut di atas sekeping papan plywood.

Menggunakan kayu yang sedikit tebal, buatlah bingkai di sekeliling papan plywood tadi. Jangan lupa lebihkan bahagian plywood untuk menampal bingkai. Anda boleh menggunakan mentol yang diletakkan secara sebaris di kiri kanan bingkai yang dah siap.

Jika nak kurangkan penggunaan elektrik, anda boleh menggunakan lampu LED yang menggunakan kuasa bateri. Mesti kaum wanita, suka bersolek di depan cermin yang dipanggil ‘vanity mirror’ ni.

Menggunakan Cermin Berbingkai Kayu

Anda boleh dapatkan cermin yang sudah sedia berbingkai. Kemudian, lekatkan di dinding secara susunan melintang yang panjang dari syiling hingga hampir mencecah lantai.

Bagi membuat hiasan seperti ni, anda perlulah membeli beberapa buah bingkai kecil dan dilekatkan secara rapat-rapat. Anda memerlukan gam khas untuk melekatkannya di dinding. Biasanya menggunakan gam silikon yang tahan lasak.

Menggunakan Cermin Eco

cermin-rumah-eco

Imej via Facebook

Nak lebih murah, anda boleh beli cermin-cermin kecil yang berbingkai plastik dari Eco. Harganya hanya RM 2.10 bagi setiap keping. Apa yang anda perlu buat ialah tanggalkan bingkai plastik tersebut.

Cermin-cermin tersebut bolehlah ditampal di dinding mengikut kreativiti anda. Nak melintang ke, menegak atau berterabur, semuanya ikut citarasa. Malahan, disebabkan harganya yang murah, anda juga boleh menampalnya di siling rumah.

Pilih bahagian siling yang diingini misalnya di ruang makan, laluan tengah atau laluan masuk. Mesti nampak unik kan? Ia akan memberikan ilusi refleksi yang menarik.

Menggunakan Cermin Plastik

Anda tentu pernah ternampak hiasan cermin dinding yang diperbuat daripada plastik. Bentuknya seakan-akan cermin tapi lebih ringan dan tak mudah pecah. Harganya juga jauh lebih murah.

Terdapat pelbagai jenis bentuk hiasan cermin plastik ni. Ada yang berbentuk bunga, haiwan, motif, abstrak dan sebagainya. Biasanya pelekat diberikan sekali di belakang cermin tersebut. Ia lebih mudah ditampal dan boleh dipelbagaikan.

Menggunakan Adhesive Foil Mirror

Adhesive foil ialah sejenis wallpaper yang digunakan sebagai hiasan dinding. Efeknya sama seperti cermin cuma ialah kepingan kertas yang bercampur logam. Ia biasanya dijual mengikut saiz tertentu.

Jika anda seorang yang cepat bosan dan gemar mengubah-ubah hiasan rumah, adhesive foil mirror sangat sesuai. Ia tak perlukan sebarang gam untuk menampalnya. Biasanya di belakang foil tersebut terdapat pelekat biru berbentuk filem.

Anda hanya perlu bersihkan permukaan dinding yang nak dihias. Pastikan permukaan dinding rata dan tak menggerutu. Kemudian, tanggalkan pita pelekat, hiaskan mengikut suka. Anda boleh memotongnya pada saiz yang kecil atau menampal keseluruhan dinding dengan foil.

Tips Memilih Hiasan Cermin Dinding

Sebelum memilih dan memasang cermin, anda perlu mengambil kira beberapa faktor penting. Jika tersalah pilih, dikhuatiri konsep hiasan rumah anda menjadi caca-marba. Berikut ialah perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan, iaitu:

a. Tentukan ukuran cermin yang sesuai dengan saiz dinding, luas rumah dan konsep yang ingin diketengahkan.

b. Pilih warna bingkai cermin yang bersesuaian dengan ornamen di sekitar rumah misalnya warna dinding, meja dan hiasan.

c. Pastikan anda memilih bentuk dan gaya hiasan cermin dinding yang menonjolkan konsep rumah anda.

Cara Menjaga Hiasan Cermin Dinding

Sebenarnya walau apa saja barang hiasan di rumah, jika kita malas menjaganya, lama-kelamaan ia akan rosak dan hilang seri. Begitu juga dengan cermin dinding hiasan cermin yang akan pudar, kotor dan rosak jika kita tak rajin membersihkannya.

Pastikan anda menjaganya seperti berikut:

a. Bersihkan cermin dari habuk, minyak dan debu pada setiap hari.

b. Gunakan cuka masakan, alkohol, surat khabar dan sebagainya untuk membersihkan permukaan cermin. Penggunaan bahan-bahan ni akan membuat cermin sentiasa kilat dan tahan lama.

Diharapkan para pembaca yang dikasihi mendapat idea cara untuk buat hiasan cermin dinding secara DIY. Tak susah pun sebenarnya, anda cuma memerlukan sedikit kreativiti, kerajinan dan masa untuk membuatnya.

Kos untuk membuat cermin dinding DIY ni juga tak tinggi berbanding yang siap dibeli. Dah pasang nanti, jangan lupa kongsikan dengan kami. Selamat mencuba!

Jemput juga baca tentang DIY rak kasut DIY aktiviti anak dan DIY perangkap naymuk

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.