Jom kenali penyakit HMFD.

Apa itu HFMD?

HFMD adalah singkatan bagi Hand, Foot and Mouth Disease (Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut). HFMD terjadi disebabkan oleh virus kumpulan enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV71) dan biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

hfmd

Imej via kosmo

Kebiasaannya, penyakit ini akan surut dalam masa 1 minggu, mungkin kurang atau lebih. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya beransur hilang pada hari ketiga atau keempat. Namun, ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh, manakala lepuh dan bintik-bintik merah di tangan dan kaki akan biasanya mengambil masa untuk hilang dalam tempoh 10 hari.

Bagaimana HFMD menular?

Penularan penyakit/virus HFMD adalah melalui sentuhan. Sama ada sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti, atau sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Apakah gejala/simptom HFMD?

Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti:

  • Demam ringan.
  • Sakit tekak.
  • Keletihan dan tidak bermaya.
  • Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 – 7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin). Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya.
  • Ulser pada tekak, mulut dan lidah.
  • Hilang selera makan.

Bagaimana mencegah HFMD?

  • Langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Bukan setakat kebersihan diri anak sahaja yang perlu dijaga, namun kebersihan diri ibu bapa atau penjaga juga perlu dititik beratkan. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran. Virus ini mudah merebak dalam persekitaran yang rendah tahap kebersihannya.
cuci tangan

Imej via kaltim

  • Ibu bapa atau penjaga mencuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak.
  • Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar dan sudu.
  • Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak dengan gejala HFMD mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak. Anak-anak yang terkena jangkitan HFMD perlu dikuarantinkan agar tidak berjangkit kepada anak yang lain.
  • Pengurus pusat jagaan kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
  • Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak.

Apakah Rawatan Yang Sesuai buat HFMD?

Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.

Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.

Rawatan untuk mengurangkan gejala HFMD adalah dengan menjada kebersihan diri dan persekitaran. Kuarantinkan anak yang terkena jangkitan dan jauhi tempat-tempat awam. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.

 

Apakah Yang Perlu Dilakukan Oleh Ibu Bapa Jika Anak Dijangkiti HFMD?

#1 Kawal Suhu Badan Anak

kawal suhu

Imej via lifestyle

Anak yang terkena jangkitan HFMD akan mengalami demam ringan. Namun, penting untuk ibu bapa mengawal suhu badan anak. Sekiranya demam anak melarat, segera ke klinik atau hospital untuk dapatkan rawatan lanjut.

#2 Jaga Makan Minum Anak

Ulser yang berada di tekak, lidah dan mulut anak akan menyebabkan mereka tidak selera makan. Malah ada sesetengah bayi yang menolak untuk minum susu kerana terasa sakit di bahagian mulut. Pastikan anak tidak terdehidrasi. Jika anak langsung tidak mahu makan dan minum, kemungkinan anak anda akan mengalami dehidrasi dan perlu masuk air di hospital.

#3 Ambil Cuti Kuarantin

Bagi ibu bapa yang bekerja kerajaan, anda layak memohon Cuti Kuarantin (Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016) untuk menjaga anak anda yang perlu dikuarantin.  Namun, bagi pekerja swasta, anda boleh memohon cuti tahunan atau perlukan budi bicara majikan agar anda dapat menjaga anak anda di rumah.

Ini kerana, anak yang terkena jangkitan HFMD perlu kuarantin dan tidak boleh di hantar ke pusat jagaan kerana bimbang ia menularkan jangkitan tersebut kepada anak asuhan yang lain.

Petua & Langkah Mengubati HFMD

Walaupun pihak pengamal perubatan mengatakan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan HFMD, namun anda boleh berusaha kaedah yang sesuai untuk mempercepatkan penyembuhan. Antaranya:

1) Aiskrim & Makanan Sejuk

aiskrim

Imej via fineartamerica

Kebiasaannya, anak yang mengalami ulser di mulut akan menolak makanan dan minuman kerana terasa perit. Anda boleh cuba berikan aiskrim lembut atau puding kerana ia mampu memberi kelegaan kepada anak. Anda boleh membuat sendiri aiskrim tanpa gula dengan menggunakan buah-buahan yang dicampur dengan susu ibu atau susu segar. Anda juga boleh berikan anak anda susu ibu atau susu segar yang telah disejukkan untuk anak anda minum.

2) Air Kelapa Muda

air kelapa muda

Imej via hafizihamsan

Air kelapa muda sememangnya petua yang diajarkan oleh orang tua-tua untuk menurunkan suhu demam. Berikan air kelapa muda yang segar kepada anak anda. Elakkan menambah gula. Sebagai alternatif, boleh juga memberi air barli. Ia mengandungi antioksidan yang melawan virus, sekaligus membantu menurunkan suhu demam anak.

3) Buah-Buahan & Jus

buah

Imej via bangka

Selain air kelapa, anda juga boleh berikan jus buah-buahan yang lain seperti oren atau epal yang kaya dengan vitamin C. Kalau jus tersebut disejukkan adalah lebih baik. Ini kerana, lebih mudah untuk anak minum. Dan lebih bertambah baik jika elakkan gula dalam jus tersebut. Buah-buahan itu sendiri sudah mengandungi gula dan boleh memberi tenaga kepada anak.

4) Sup atau Bubur Ayam

sup

Imej via resepmamakusuka

Sup dan bubur ayam adalah antara makanan yang paling mudah diterima oleh anak-anak ketika tidak sihat. Pastikan anda melebihkan bahan yang bersifat antiviral seperti bawang putih dan sayuran seperti lobak merah ke dalam sup dan bubur tersebut.

5) Sabun Anti-Bakteria

Mandikan anak dengan sabun anti-bakteria seperti Lifebouy, Dettol atau Protect. Mandikan anak dengan kerap. Selain daripada dapat membersihkan anak, mandi juga membantu menurunkan suhu demam anak.

6) Pencuci Lantai Anti-Bakteria

Bersih dan mop lantai di rumah anda setiap hari dengan pencuci lantai anti-bakteria. Persekitaran yang bersih dapat mengelakkan virus ini terus menular.

7) Sapukan Losyen Pada Ruam

Sapukan losyen yang bersesuaian atau Calamine Zinc Oxide + Menthol agar anak kurang rasa gatal-gatal. Bila anak rasa kurang gatal, mereka tidak akan kerap menggaru ruam-ruam tersebut.

8) Sembur Ubat Pada Ulser

Semburkan ubat semburan yang sesuai pada ulser yang terdapat dalam mulut anak. Anda boleh gunakan AftaMed Spray atau Gengigel Spray untuk masalah ulser anak anda. Kebiasaannya selepas 30 minit semburan, anak akan mula rasa lega dan sudah boleh menerima makanan dan minuman seperti biasa.

Kesimpulan

HFMD sangat mudah menular dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu sangat penting agar kita menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Manakala, anak-anak yang telah dijangkiti HFMD, ibu bapa perlu PRIHATIN UNTUK KUARANTINKAN ANAK agar virus ini tidak menular kepada orang lain.

Walaupun pelbagai petua yang dikongsikan untuk merawat HFMD, tetapi adalah sangat penting untuk anda berbincang dahulu dengan pengamal perubatan yang mendiagnosis anak anda agar ubat atau rawatan yang anda berikan kepada anak anda selamat dan sesuai.

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan HFMD yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Rujukan:

  1. JKN Johor
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia
  3. MyHealth
  4. Sirap Limau
  5. Majalah Pa Ma

 

 

 

Penulis: Aniuna

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.