Jika ada masalah atau ingin berkongsi kegembiraan, biasanya kita luahkan kepada siapa? Mungkin suami, isteri, ibu bapa dan adik-beradik. Malahan, menjadi perkara biasa jika kita berkongsi cerita dengan teman rapat atau rakan sekerja.

Kadangkala, jika kita dihimpit masalah yang berterusan, nak luahkan pada ahli keluarga takut mereka akan risau. Ada pula rakan di tempat kerja yang suka bergosip. Habis satu pejabat kecoh jadinya. Hendak diluahkan pada sahabat baik, mereka juga mungkin ada masalah sendiri.

Jangan simpan beban terlalu lama. Kita perlu cari idea untuk keluar dari masalah. Apa kata kita luahkan masalah kepada haiwan peliharaan? Bunyinya mungkin agak ganjil. Yelah, tak mungkin haiwan tersebut boleh bagi nasihat, boleh sapu air mata yang mengalir.

Namun, hati pasti menjadi tenang. Tingkah laku dan wajah comel mereka pasti buat kita tersenyum tanpa sengaja. Lalu, kerisauan dalam hati mula berkurangan. Hari-hari yang dilalui dah mula berubah. Dah tak semendung sebelumnya.

Pasti pembaca semua nak tahu 5 haiwan peliharaan yang boleh buat kita ceria dan hilang stres. Teruskan membaca!

#1 Kucing

Tak boleh disangkal lagi, si comel ni merupakan haiwan peliharaan yang paling terkenal di dunia. Tak perlu jauh, tengok saja di persekitaran rumah, ada saja kelibat si meow di sana sini.

Ada bermacam-macam spesies kucing seperti kucing kampung, Parsi, Maine Coon, British Shorthair, Bengal, Munchkin dan banyak lagi. Kalau anda melayari media sosial seperti Instagram atau Facebook, pasti ramai yang berkongsi gambar kucing kesayangan mereka.

"

Ini membuktikan kucing yang bersifat manja dan penyayang boleh membuat hati kita tenang selalu. Lihat saja telatah mereka yang comel dan mencuit hati. Pasti saat-saat berharga tu akan dirakamkan sebagai kenangan.

Secara tak langsung, apabila membela kucing ia banyak memberi kebaikan dari aspek mental dan fizikal. Mauriel Spark dalam bukunya yang bertajuk ‘A Far Cry from Kensington’ menyatakan orang yang membela kucing akan terpengaruh dengan sifat-sifat positifnya.

Penulis itu menghuraikan bahawa kucing ialah haiwan peliharaan yang bersifat tenang. Lama-lama, kita juga akan tenang dan bahagia dalam kehidupan. Malahan, dalam Islam juga kucing ialah haiwan peliharaan kegemaran Rasulullah kerana ia ialah haiwan yang bersih dan menyenangkan.

Malahan, apabila kita bermain-main dengan haiwan peliharaan, ia akan meningkatkan hormon serotonin. Hormon ni dapat menyeimbangkan mood dan mengurangkan emosi negatif.

Itulah sebabnya digalakkan membela kucing jika kita mempunyai anak autisme. Selain, mereka boleh bersuka ria, kucing menjadi terapi untuk mengurangkan kesukaran dalam berkomunikasi.

Jadi, bagi yang sedang berkira-kira nak bela kucing, tak payah fikir lama-lama. Ambil saja kucing jalanan dan peliharalah di rumah. Anda pasti akan seronok melihat tingkah laku lucu mereka.

#2 Anjing

Selain kucing, anjing juga merupakan haiwan peliharaan yang paling digemari oleh masyarakat dunia. Itulah sebabnya mereka digelar ‘man’s best friend.’

Malahan, kebanyakan orang menyayangi dan melayani anjing sama seperti ahli keluarga yang lain. Mereka tidur bersama haiwan peliharaan yang istimewa tu. Ada juga yang tak kisah untuk berkongsi pinggan ketika makan. Begitu murni ikatan antara mereka.

Apa yang menjadikan anjing sebagai haiwan yang paling disayangi? Dikatakan bahawa anjing ialah haiwan yang mempunyai ingatan yang baik. Ia akan mengenang segala jasa baik orang yang menjaga dan menolongnya. Tak hairanlah anjing sanggup mengorbankan nyawanya untuk selamatkan tuannya daripada musibah.

Anjing juga dikategorikan sebagai haiwan peliharaan yang sangat setia, baik, memahami dan mempunyai kemampuan membaca hati tuannya. Di laman YouTube, ramai pengguna berkongsi tentang kelebihan anjing mereka.

Jika tuannya baru balik kerja, anjingnya dah tunggu dengan penuh setia di depan pintu. Bayangkan pula jika tak nampak tuan kesayangnnya berbulan-bulan lamanya, anjingnya lebih teruja berbanding ahli keluarga. Ia akan menyalak, berlari ke sana ke sini dan melompat ke atas badan tuannya.

#3 Arnab

Lupakan perangai sombong arnab dalam cerita dongeng ‘Arnab dan Kura-Kura.’ Dalam realiti sebenar, arnab ialah seekor haiwan yang sangat comel dan baik. Bulunya lembut seperti kapas, bertelinga panjang dan aktif.

Walaupun membela arnab tak semudah membela kucing dan anjing, namun masih ramai yang menjadikan arnab haiwan peliharaan. Siapa yang tak geram tengok muka gebu yang macam nak picit-picit tu kan?

Kebaikan membela arnab antaranya kerana sifatnya yang pendiam. Jarang sekali mengeluarkan bunyi, walaupun sedang lapar atau sakit. Oleh itu, membela haiwan ni pastinya tak akan mengganggu jiran tetangga.

Disebabkan sikap ‘berat mulut’ tu, arnab sangat menyenangkan. Kalau tengah marah atau stres, cuba dukung dan usap badannya secara perlahan. Pasti tekanan darah tinggi yang sedang melonjak naik, turun perlahan-lahan.

Tapi jangan pula ambil kesempatan ke atas si Bunny yang suka diam membisu tu. Jangan menjerit lepaskan amarah pada haiwan peliharaan. Tak baik tau, berdosa! Haiwan perlu disayangi seperti anak-anak kecil.

Macam best kan bela arnab? Ada macam-macam spesies dan warna di kedai-kedai haiwan. Pastikan anda tahu diet, cara jagaan dan sebagainya. Membela arnab agak sukar jika tak tahu caranya. Banyakkan membaca untuk mendapatkan ilmu.

#4 Hamster

Sanggup tak nak bela tikus? Biasanya tikus menawarkan diri untuk tinggal secara percuma di rumah anda kan? Tapi si tikus hamster ni perlu dibeli tau. Walaupun merupakan spesies tikus, namun hamster merupakan haiwan peliharaan yang bersih dan comel.

Jangan risau, hamster hanya makan kuaci, kekacang dan buah-buahan. Ia tak akan selongkar tong sampah rumah anda. Paling comel kalau tengok ia sedang makan atau masa termenung. Aduh, cair hati dibuatnya. Macam patung tau.

Terdapat pelbagai jenis spesies hamster di dunia. Antara yang terkenal sebagai haiwan peliharaan ialah Roborovski, Campbell, Winter White, Syrian dan sebagainya. Jika dah merancang nak bela hamster, pastikan anda ambil tahu tentang keperluan dan penjagaannya.

Paling seronok bila tengok hamster bermain-main roda di dalam sangkarnya. Bila dah biasa dengan tuannya, hamster akan jadi jinak. Rajin panggil namanya, nanti si comel ni akan pula tunjuk aksinya bermain-main.

Sifat menunjuknya tu yang buat hati kita terhibur. Anak-anak pun pasti akan gembira bila kita bawakan sepasang hamster untuk mereka. Bila rasa tertekan, bolehlah bermain dengan hamster anda itu. Percayalah, anda akan terlupa segala masalah yang bersarang di kepala.

#5 Ikan

Alangkah indahnya melihat sisik yang berkilauan di dalam akuarium yang dihias indah. Dengan pergerakan tangkas, berenang sambil sesekali mengambil udara segar, hati terpaut melihat keindahan ciptaan tuhan.

Ikan ialah haiwan peliharaan yang paling mudah dibela. Kanak-kanak pun bukan main seronok bela ikan dalam botol plastik. Antara ikan hiasan yang boleh dipelihara dengan kos yang rendah ialah ikan laga, ikan emas, ikan puyu, ikan gapi, ikan tetra dan banyak lagi.

Selain sangat cantik, ikan-ikan ni juga tahan lasak dan tak mudah mati. Jika perlu meninggalkan rumah dalam waktu yang agak lama, cuma sediakan sedikit lumut dalam akuarium. Kos penjagaan dan makanan juga sangat rendah.

Bagi peminat-peminat hobi ni, membela ikan hiasan memberi kepuasan yang tak terhingga. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang suka menghias akuarium tersebut dengan begitu kreatif.

Terasa damai melihat dunia kecil si ikan yang menayangkan kehidupannya di sebalik dinding kaca. Kilauan sisik dan lenggokkan tubuh ketika berenang membuat perasaan duka bertukar suka.

Ini akan membangkitkan rembesan dopamine dalam darah yang membuatkan jiwa tenang dan bahagia. Itulah sebabnya kita leka melihat pesona ikan hiasan tanpa jemu. Pastikan anda rajin menukar air, perlu juga pasang pam dan penapis air.

Bagaimana dengan senarai haiwan peliharaan yang diberikan ni? Harap-harap pembaca sekalian dah dapat idea yang bernas.

Kita perlu tahu bahawa Allah ciptakan makhluk yang lain dengan fungsi-fungsi yang tertentu. Selain untuk kitaran ekosistem, haiwan peliharaan juga boleh menjadi teman yang paling akrab.

Cuba pelihara salah satu haiwan peliharaan yang disenaraikan ni, pasti anda akan rasa perubahan dalam hidup. Nanti, jangan lupa berkongsi pengalaman anda dengan kami dan pembaca yang lain.

Selamat membaca.

*Jemput juga baca artikel tentang kelebihan mandi air panas dan tips tukar tayar

Rujukan

  1. Dogs Called Mans Best Friend https://www.rover.com/blog/dogs-called-mans-best-friend/
  2. Senarai Jenis Ikan Hiasan Air Tawar https://www.belangtarung.com/2017/07/senarai-jenis-ikan-hiasan-air-tawar.html
  3. Kelebihan Bela Kucing Kesihatan https://www.mstar.com.my/xpose/isuke/2019/05/09/kelebihan-bela-kucing-kesihatan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.