Haid yang tidak teratur merupakan salah satu masalah yang membelenggu kaum wanita. Wanita yang menghadapi masalah ni, ada yang sukar untuk mengandung. Hal ini kerana haid yang tidak teratur menandakan anda mengalami ovulasi secara tidak teratur atau yang lebih kronik, langsung tiada ovulasi.

Ovulasi ialah pengeluaran ovum (telur) yang berlaku dalam kitaran haid yang mana membolehkan seseorang wanita hamil melalui proses persenyawaan ovum dan sperma. Jika anda masih belum berkahwin, dapatkan rawatan dengan lebih awal.

Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, selain mendapatkan rawatan untuk membetulkan kitaran haid, anda juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan. Malahan, bagi yang belum berkahwin juga pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan.

Dalam artikel ini akan dibincangkan punca-punca haid tidak teratur dan cara merawatnya. Perkongsian ini telah merujuk pandangan pakar sakit puan yang terkenal di Malaysia iaitu Prof Imelda Balchin melalui laman Facebook beliau. Malahan, artikel ini juga merujuk perkongsian Dr Zubaidi Haji Ahmad dalam blognya.

punca haid tidak teratur

Imej via Bidadari

Punca-Punca Masalah Haid Tidak Teratur dan Cara Atasi

  •  Kestabilan hormon

Punca: Bagi remaja yang baru saja didatangi haid, hormon mereka masih belum stabil. Oleh itu, kedatangan haid setiap bulan juga menjadi tak menentu. Perkara ini normal bagi peringkat awal kedatangan haid. Mereka tak perlu berasa bimbang.

Cara Rawatan: Boleh mendapatkan pandangan dan nasihat doktor untuk penilaian kesihatan.

"
  • Masalah Sindrom Ovari Polisistik

Punca: Ada sebilangan wanita yang mempunyai masalah ovulasi kerana masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Ia berkaitan dengan masalah keseimbangan hormon iaitu terlebih hormon estrogen dan androgen tetapi kekurangan hormon progestron.

Ovari polisistik ialah ovari yang lebih besar berbanding ovari yang normal. Wanita yang mempunyai masalah ini mempunyai dua kali ganda saiz folikel. PCOS boleh mengganggu kesuburan wanita.

Selain masalah haid tak teratur, pesakit PCOS juga berisiko menghadapi masalah diabetes, kegemukan dan paras hormon lelaki yang tinggi.

Cara Rawatan: PCOS tiada penawar buat masa ini dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom dan komplikasi akibat PCOS. Rawatan yang terbaik ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat iaitu mengurangkan berat badan dan jaga makan. Jangan bergantung pada ubatan saja.

  • Masalah ‘eating disorder’

Punca: Wanita yang mengamalkan diet secara ekstrem akan berkecenderungan untuk mengalami masalah eating disorder. Ia biasanya berlaku kepada pesakit anoreksia dan bulimia.

Ini kerana berat badan yang terlalu kurang akan mengganggu komposisi lemak dan menyebabkan berlakunya kekurangan nutrisi. Kesannya ia boleh menganggu kitaran haid dan yang lebih teruk, haid juga boleh terhenti.

Cara Rawatan: Perlu dapatkan bantuan dan nasihat dari aspek kesihatan emosi dan mental agar mereka boleh makan seperti biasa. Biasanya kaunseling akan diberikan oleh pakar perubatan kepada pesakit untuk membina keyakinan diri dan kembalikan berat badan normal.

  • Berat badan berlebihan

Punca: Berat badan yang berlebihan boleh menganggu komposisi lemak di dalam tubuh wanita. Komposisi lemak yang normal ialah antara 26 hingga 31%. Lemak yang berlebihan akan menjejaskan kitaran haid.

Cara Rawatan: Amalkan pemakanan yang sihat dan gaya hidup aktif. Kurangkan makanan yang berkalori tinggi, berproses dan manis. Jangan lupa untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu.

  • Kanser

Punca: Salah satu simptom kanser servik, kanser ovari dan kanser dinding rahim ialah pendarahan yang tak menentu. Pesakit biasanya akan mengalami pendarahan yang berlainan daripada haid biasa.

Cara Rawatan: Anda hendaklah membuat pemeriksaan pap smear, scan rahim dan ovari. Jika ada ketumbuhan, biopsi akan dilakukan. Rawatannya ialah membuang sel-sel kanser sebelum ia semakin merebak.

  • Kehamilan

Punca: Kehamilan akan menyebabkan kedatangan haid terhenti. Jika ada darah yang keluar sedikit (spotting), ia bukanlah darah haid. Kemungkinan berlaku pendarahan apabila telur yang sudah disenyawakan tertanam pada lapisan endometrium di dalam rahim. Pendarahan ini biasanya sedikit saja dan berlaku selama dua hari atau kurang.

Cara Rawatan: Dapatkan pemeriksaan dan nasihat doktor tentang kehamilan anda. Jika berlaku pendarahan banyak dan lama, segeralah berjumpa dengan doktor sakit puan.

  • Masalah hormon tiroid

Punca: Kelenjar tiroid yang terletak di depan leher akan merembeskan hormon tiroid. Hormon ini berfungsi dalam tumbesaran, perkembangan dan metabolisme badan serta menentukan kadar fungsi organ di dalam tubuh.

Apabila aras hormon tiroid tinggi akan berlaku hipertiroidisme. Ini menyebabkan metaboslisme badan akan meningkat. Malahan, putaran haid juga akan terganggu.

Cara Rawatan: Rawatan untuk mengurangkan pengeluaran hormon tiroid dan pengambilan ubat-ubatan juga perlu dilakukan. Doktor akan membuat ujian darah terlebih dahulu untuk menilai tahap kesihatan.

  • Tumor dalam kelenjar pituitari

Punca: Sejenis ketumbuhan di kelenjar pituitari yang berada di dalam otak akan menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin secara berlebihan. Kesannya kedatangan haid menjadi tidak menentu dan lewat.

Cara Rawatan: Doktor akan membuat pemeriksaan visual fields iaitu memastikan sama ada medan penglihatan menjadi sempit. Selain itu, ujian darah prolaktin juga akan dibuat. Jika bacaannya terlalu tinggi, MRI brain scan perlu dibuat untuk memastikan wujud atau tidak ketumbuhan di kelenjar pituitari. Rawatan bergantung kepada saiz ketumbuhan.

  • Penyusuan

Punca: Selepas bersalin, penyusuan susu ibu juga boleh melambatkan kedatangan haid. Ini disebabkan oleh hormon penghasilan susu badan menghalang ovulasi dan menangguhkan kitaran haid.

Kadangkala selepas berhenti menyusukan anak, haid tidak datang serta-merta. Ini bukan bermakna anda hamil semula dalam tempoh menyusukan anak.

Cara Rawatan: Ini ialah perkara normal yang disebabkan oleh perubahan hormon. Anda juga boleh dapatkan nasihat doktor sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.

  • Stres

Punca: Tanpa kita sedar, tekanan emosi boleh menganggu keseimbangan hormon. Ini menyebabkan kitaran haid juga mungkin boleh terjejas. Namun, jangan risau ia hanya bersifat sementara.

Cara Rawatan: Elakkan diri berada dalam situasi yang stres. Jika ada masalah, kongsikan dengan ahli keluarga dan sahabat rapat. Anda juga boleh membuat akiviti kegemaran seperti bercuti, membeli belah, beriadah dan sebagainya. Jangan lupa dekatkan diri pada Allah jika berada dalam keadaan terganggu.

  • Pengambilan ubat-ubatan

Punca: Sesetengah ubat sintetik yang diambil untuk merawat masalah kesihatan tertentu seperti pil perancang kehamilan, pil hormon dan sebagainya boleh memberi kesan kepada kitaran haid.

Cara Rawatan: Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tersebut.

  • Aktiviti fizikal yang ekstrem

Punca: Ada para atlet yang membuat latihan intensif dan wanita yang bekerja kuat seperti mengangkat besi mempunyai masalah kitaran haid. Ini disebabkan aktiviti berat akan memberi kesan kepada keseimbangan hormon dengan mempengaruhi kelenjar hipotalamus.

Cara Rawatan: Haid akan terganggu atau berhenti sementara sehingga mereka menambahkan semula lemak badan mereka. Aktiviti berat yang dilakukan juga perlu dikurangkan tahap intensitinya.

  • Jangkitan Penyakit Hubungan Kelamin

Punca: Ada wanita yang mengalami jangkitan hubungan kelamin (pelvic inflammatory disease) menyebabkan haid mereka terganggu.

Cara Rawatan: Doktor sakit puan akan membuat pemeriksaan dan melihat tahap keradangan. Ubatan-ubatan dapat membantu menyembuhkan keradangan ini.

Diharapkan artikel ini memberikan sedikit maklumat berkaitan masalah haid yang tidak teratur dan cara merawatnya. Yang penting, jangan ambil ringan jika ada tanda-tanda yang dinyatakan di atas. Pemeriksaan awal dapat mendiagnos penyakit dan rawatan susulan boleh dibuat.

Semoga bermanfaat.

Jemput juga membaca artikel tentang kitaran haid yang normal dan punca senggugut

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .