Gripe water merupakan salah satu petua hilangkan kembung bayi yang paling popular dan diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Tidak mengira bangsa, gripe water digunakan sejak dulu lagi. Biasanya anak yang mengalami kekembungan akan meragam dan menangis dengan teruk terutamanya pada waktu malam.

Ibu bapa yang anaknya menderita dan meragam disebabkan oleh kembung biasanya akan mencari dan mencuba apa pun petua yang ada asalkan bayi kesayangan kembali sihat seperti biasa, termasuklah memberikan gripe water kepada bayi yang baru lahir. Persoalannya, adakah memberikan gripe water kepada bayi untuk menghilangkan masalah kembung selamat atau tidak? Adakah ianya merbahaya kepada kesihatan bayi anda?

Apa itu gripe water?

Mungkin anda tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan gripe water? Mungkin selama ini anda langsung tidak pernah mendengar nama minuman ini dan secara tiba-tiba apabila bayi anda mengalami masalah kembung, perkataan gripe water sentiasa disebut-sebut sebagai petua hilangkan kembung bayi yang paling berkesan.

Yang sebenarnya gripe water telah wujud di negara barat sejak zaman dahulu lagi. Menurut sejarah, resepi gripe water yang pertama di dunia telah dicipta di England oleh seorang ahli farmasi yang bernama William Woodward pada tahun 1851.

Di antara bahan utama yang terdapat didalam gripe water ialah:

  • Natrium bikarbonat
  • Halia
  • Adas
  • Likuoris
  • Kayu manis
  • Air jintan
  • Bunga chamomile
  • Kapulaga
  • Peppermint
  • Lemon

Menurut penciptanya, gripe water sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak termasuk bayi yang baru dilahirkan. Ianya adalah selamat. Untuk bayi, di antara kebaikan gripe water ialah bagi:

  • Mengatasi masalah perut kembung
  • Menghilangkan sesedu
  • Mengatasi masalah sakit gusi semasa bayi tumbuh gigi

Untuk pengetahuan anda, resepi asal gripe water mengandungi alkohol namun kebanyakan gripe water moden yang dijual di pasaran tidak lagi mengandungi alkohol. Namun anda dinasihtkan untuk berhati-hati dan memeriksa kandungan gripe water sebelum membeli. Pastikan jenama gripe water yang anda pilih tidak mengandungi alkohol atau sukrosa yang boleh menjejaskan kesihatan bayi anda.

Adakah gripe water benar-benar berkesan untuk menghilangkan masalah kembung bayi berdasarkan kajian saintifik?

Setakat hari ini tiada sebarang bukti dari kajian saintifik yang membuktikan bahawa gripe water benar-benar berkesan untuk menghilangkan masalah kembung pada bayi. Keberkesanan gripe water adalah berdasarkan kata-kata mulut dari satu generasi ke generasi yang lain. Juga testimoni dari ibu bapa yang berjaya menghilangkan kembung bayi mereka dengan menggunakan gripe water.

Tahukah anda bahawa ramai doktor yang mencadangkan gripe water bagi mengatasi masalah bayi kembung walau pun WHO & BFHI iaitu dua badan besar dunia telah menggariskan bahawa tiada sebarang cecair atau makanan tambahan boleh diberikan kepada bayi yang berumur dibawah 6 bulan.

gripe water untuk bayi
Sumber: Todaysparent

Adakah gripe water selamat untuk diberikan kepada bayi? Adakah ia boleh menjejaskan kesihatan bayi anda?

Seperti yang kami nyatakan di atas tadi, setakat ini tiada sebarang kajian saintifik yang membuktikan bahawa gripe water berkesan untuk mengatasi masalah kembung pada bayi. Malah kajian mendapati bahawa gripe water asalnya dicipta untuk menghilangkan fen fever iaitu sejenis demam seperti malaria, dan bukannya untuk menghilangkan kembung.

Kajian juga mendapati bahawa gripe water yang mengandungi alkohol adalah tidak selamat untuk bayi kerana kandungan alkoholnya yang sangat tinggi iaitu hampir 7%. Kandungan 7% alkohol boleh menyebabkan ketagihan kepada orang dewasa. Bayangkan kesannya jika diberikan kepda bayi yang baru lahir. Pastinya bayi anda akan menjadi ketagih kepada gripe water, malah lebih teruk daripada seorang dewasa.

Malah kajian yang sama mendapati bahawa bayi yang diberikan gripe water berhenti menangis bukannya sebab kembung sudah hilang, tapi kerana bayi anda mabuk akibat alkohol didalam gripe water yang anda berikan. Adakah alkohol merbahaya kepada seorang bayi? Seperti yang kita sedia maklum, alkohol boleh menjejaskan kesihatan seorang dewasa. Maka ia bermaksud alkohol dalam gripe water sangat menjejaskan kesihatan bayi anda.

Seperti yang kami nyatakan di atas, kebanyakan gripe water moden tidak lagi mengandungi alkohol. Mungkin anda akan menarik nafas lega. Namun, ketahuilah bahawa alkohol yang merupakan di antara bahan utama gripe water tidak boleh dikeluarkan daripada resepi tanpa diganti dengan bahan yang lain. Jadi, apakah bahan yang dimasukkan kedalam gripe water sebagai pengganti alkohol? Jawapannya ialah Sodium Bikarbonate.

Kandungan Sodium Bikarbonate yang tinggi didalam gripe water dan penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan bayi anda mengalami masalah alkalosis dan milk alkali syndrome yang sangat merbahaya kepada seorang bayi.

gripe water untuk bayi
Sumber: Hygeiahealth

Apakah tips sekiranya anda ingin memberikan gripe water kepada bayi anda?

Jika anda memilih untuk memberikan gripe water kepada bayi anda, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda amalkan. Tips yang pertama ialah gripe water yang dijual di pasaran adalah terbahagi kepada kepada 3 jenis iaitu:

  • Hemopati yang menggunakan bahan semula jadi
  • Dadah tiruan seperti dadah refluk atau dadah anti-gas yang juga di kenali sebagai Simethicone
  • Supplemen tambahan

Pilih gripe water yang hanya menggunakan bahan semulajadi atau Hemopati. Kebanyakkan gripe water jenis supplement tambahan tidak mendapat kelulusan dari FDA dan gripe water dari dadah tiruan boleh memberikan kesan negatif kepada bayi anda.

Tips kedua ialah jangan beli gripe water yang memerlukan anda memberinya secara tetap atau regular dosing kepada bayi anda sehingga menyebabkan bayi anda bergantung kepada gripe water tersebut.

Itulah dia info tentang gripe water untuk bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang cara hilangkan kahak bayi, cara sendawakan bayi dan punca pembuangan bayi

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.