Semakin dekat tarikh hari bahagia, semakin resah rasanya. Macam-macam perkara perlu diuruskan. Baju nikah. baju bersanding, pelamin, catering, senarai tetamu, pengapit, photobooth, makeup, dan sebagainya. Salah satu daripada perkara yang boleh memeningkan kepada bakal raja sehari ialah goodies kahwin yang akan dibawa pulang oleh para tetamu sebagai kenangan.

Bakal pengantin, tak perlu pening kepala. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan idea goodies kahwin yang menarik, mudah, dan pastinya akan membuatkan tetamu sentiasa ingat tentang majlis perkahwinan anda.

goodies kahwin
Sumber: Wanista

1. Telur

Telur adalah goodies kahwin yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Siapa yang tak suka apabila mendapat telur pada majlis perkahwinan? Anda boleh pilih sama ada mahu menggunakan bunga telur atau memasukkan ke dalam bekas telur. Zaman sekarang ada pelbagai design bunga telur dan bekas telur yang cantik. Istimewanya, sekiranya anda memberikan telur dalam bekas, bekas yang cantik tersebut boleh disimpan oleh para tetamu sebagai kenangan yang berkekalan sehingga bila-bila.

2. Penanda buku atau bookmark

Terfikirkah anda, jarang sekali pengantin memberikan penanda buku atau bookmark sebagai goodies kahwin mereka. Yang sebenarnya, penanda buku merupakan buah tangan yang sangat menarik untuk diberikan kepada para tetamu. Nak lagi istimewa, anda boleh engrave nama anda dan pasangan pada penanda buku yang diberikan. Pastinya tetamu anda akan teringatkan anda setiap kali membaca buku menggunakan penanda buku yang anda berikan.

3. DIY goodies sendiri di photobooth

Ini merupakan idea goodies kahwin yang sangat menarik. Pada hari ini, kebanyakan majlis perkahwinan mempunyai photobooth. Anda boleh jadikan photobooth anda sebagai hub untuk tetamu anda membuat sendiri goodies kahwin yang diminati. Apa yang anda perlu lakukan ialah keluarkan duit yang lebih untuk menempatkan seorang penjaga booth dan printer di photobooth tersebut.

Tetamu anda boleh mengambil gambar di photobooth yang disediakan dan kemudian boleh mencetak gambar mereka dalam bentuk gambar, penanda buku kertas, atau mug. Menarik bukan? Pastinya majlis anda akan menjadi lain daripada yang lain dan diingati oleh para tetamu.

4. Popcorn

Siapa yang tidak sukakan popcorn? Anda juga boleh jadikan popcorn sebagai goodies kahwin untuk majlis resepsi anda. Nak lagi menarik, anda boleh sewa satu popcorn di mana popcorn akan dibuat segar semasa majlis anda berjalan. Para tetamu bukan sahaja boleh melihat proses popcorn dibuat, malah boleh makan sambil membawa pulang popcorn sebagai kenangan. Mugkin goodies kahwin ini tidak akan kekal lama, namun kami jamin para tetamu yang datang akan ingat idea goodies anda yang menarik ini.

goodies kahwin
Sumber: Sueizza

5. Barangan kristal

Barangan kristal sememangnya goodies kahwin yang popular di kalangan pengantin zaman kini. Barangan kristal bukan sahaja kelihatan cantik dalam gambar malah ianya boleh disimpan oleh para tetamu sebagai hiasan dan kenang-kenangan. Mungkin anda terfikir, kristal harganya agak mahal. Anda perlu membeli dalam jumlah yang banyak untuk semua tetamu. Tahukah anda, anda boleh dapatkan barangan kristal dengan harga yang murah di kedai pengantin yang terdapat di Nilai 3. Apa kata hujung minggu ini anda jalan-jalan ke sana bersama tunang tersayang?

6. Lilin wangi

Siapa yang tak sukakan haruman dan wangian? Pastinya anda teruja dengan idea goodies kahwin yang ini kan? Bayangkan lilin wangi dengan bau kegemaran anda dalam bekas kaca cantik yang dihiasi riben dan bunga kecil. Pastinya tetamu anda akan tersenyum lebar apabila mendapat cenderamata istimewa seperti ini dari majlis resepsi anda. Lilin wangi adalah di antara goodies kahwin yang agak jarang diberikan di Malaysia. Namun, kalau anda beri kepada tetamu, pastinya akan sangat dihargai.

7. Kotak kayu kecil

Tahukah anda, para tetamu anda pasti akan menyimpan kotak kayu kecil yang anda jadikan sebagai goodies kahwin semasa majlis anda. Kotak kayu kecil tersebut boleh digunakan untuk menyimpan kerongsang, barang kemas, duit syiling, malah barangan menjahit. Ia juga boleh dijadikan sebagai perhiasan yang cantik di ruang tamu. Unik kan? Anda juga tak perlu menghias dengan banyak. Cuma ikat reben pada kotak kayu kecil tersebut, pasti akan nampak cantik berseri semasa majlis anda berjalan.

8. Kotak tin kecil

Kalau kotak kayu kecil terlalu mahal dan akan menyebabkan anda terlebih berbelanja daripada bajet yang ditetapkan, anda juga boleh jadikan kotak tin kecil sebagai goodies kahwin semasa hari persandingan anda. Harga kotak tin adalah lebih murah daripada kotak kayu. Ada ramai peminat dan pengumpul kotak tin di Malaysia. Ianya boleh dijadikan sebagai perhiasan atau menyimpan barang seperti biskut, kerongsang, barang kemas, dan sebagainya.

goodies kahwin
Sumber: Dhgate

9. Tasbih

Tasbih yang dibuat dari manik yang cantik juga boleh dijadikan sebagai goodies kahwin. Harganya juga adalah murah. Ada ramai penjual online yang menawarkan tasbih dengan harga kompitetif. Anda boleh survey dan dapatkan penjual yang memberikan harga yang paling murah. Tasbih yang diberikan kepada tetamu biasanya akan dijadikan sebagai hiasan dalam kereta atau meja kerja.

Kalau anda ada bajet yang lebih, boleh juga beli tasbih yang diperbuat daripada kristal atau mutiara. Harganya mungkin agak mahal namun pastinya anda berpuas hati kerana memberikan goodies kahwin yang terbaik kepada tetamu anda.

10. Surah Yassin

Idea goodies kahwin terakhir yang ingin kami kongsikan ialah surah Yassin. Apa yang menarik, anda boleh pilih design dan tema yang sesuai dengan majlis anda. Anda juga boleh engrave nama anda dan pasangan serta tarikh perkahwinan anda pada kulit Yassin tersebut.

Itulah dia 10 idea goodies kahwin yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tips memilih barang hantaran.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.