Biasa kita dengar tentang pepatah “Melentur rebung biarlah dari buluh”. Ia bermaksud jika ingin mendidik anak haruslah dilakukan sejak mereka kecil kerana jika sudah besar, anak-anak sudah tidak dapat dididik lagi.

Mendidik anak sejak kecil sangat berkait-rapat dengan gaya asuhan ibu bapa di rumah. Tahukah anda bahawa bagaimana cara asuhan ibu bapa akan membentuk siapa anak kita apabila dewasa nanti.

Anak-anak adalah seperti kain putih yang bersih dan suci. Adalah menjadi tanggung jawab kita sbagai ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak supaya menjadi seorang insan yang baik, berbudi pekerti, dan berakhlak mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak dilahirkan anak-anak itu melainkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Apakah gaya asuhan yang terbaik untuk anak-anak supaya menjadi anak yang berjaya bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat?

Menerapkan ajaran islam sebagai cara hidup

Sebagai keluarga yang beragama islam, semestinya gaya asuhan yang terbaik ialah dengan cara menerapkan ajaran islam sebagai gaya hidup. Ajar anak-anak untuk sentiasa mengamalkan 5 rukun islam iaitu:

  • Mengucap 2 kalimah syahadah. Ajar anak-anak untuk mengesakan Allah dan sentiasa ingat bahawa sebagai seorang yang bergama islam, adalah menjadi tanggung jawab untuk sentiasa melakukan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan.
  • Solat 5 waktu. Didik anak untuk menunaikan solat seawal yang mungkin. Ajak anak kecil anda untuk solat berjemaah bersama. Adalah sangat penting untuk anda mendidik anak untuk solat sejak kecil kerana anak yang didik untuk solat akan mencintai solat dan insya Allah akan menjadi seorang yang menjaga solat.
  • Berpuasa dibulan Ramadhan. Didik anak anda untuk berpuasa pada bulan Ramadhan.
  • Membayar zakat. Zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat harta, zakat emas, zakat perniagaan, dan sebagainya adalah kewajipan umat islam.
  • Menunaikan haji ke Mekah jika mampu. Biasanya tadika akan mengadakan simulasi haji buat anak-anak. Ini adalah salah satu cara yang sangat baik untuk menerapkan nilai-nilai islam dalam jiwa anak kecil.

Tegas tapi penuh kasih sayang

Gaya asuhan yang terbaik untuk anda amalkan ialah dengan cara menjadi seorang ibu bapa yang tegas namun penuh dengan kasih sayang. Elakkan daripada menjadi ibu bapa yang terlalu tegas, garang, dan mengalamalkan hidup ala-ala tentera kerana dikhuatiri akan meninggalkan kesan buruk kepada jiwa anak-anak.

Kajian mendapati bahawa anak-anak dengan ibu bapa yang terlalu tegas dan selalu dihukum sejak zaman awal kanak-kanak akan menyimpan dendam lalu mula memberontak apabila mereka mula membesar. Sudah tentu anda bertegas dengan anak-anak dengan niat baik iaitu ingin mendisiplinkan anak, namun ketegasan yang melampau boleh merosakkan jiwa anak kecil yang masih rapuh dan dahagakan kasih sayang serta belaian dari ibu bapa.

Tidak salah jika anda ingin menghukum anak yang melakukan kesalahan yang besar. Namun hadkan hukuman kepada kesalahan yang besar sahaja dan jangan menghukum dengan hukuman yang keterlaluan. Selepas habis hukuman, pujuk semula anak, minta maaf dan terangkan bahawa hukuman yang diterima olehnya adalah untuk mendidik supaya menjadi seorang manusia yang lebih baik. Bukannya anda menghukum kerana benci. Jangan lupa juga untuk memeluk dan mencium anak anda dengan penuh kasih sayang.

Apakah jenis hukuman yang sesuai untuk anak anda? Di antara hukuman yang sesuai untuk dilakukan ialah seperti:

  • Berdiri mengadap dinding selama 15 minit. Ia dikenali sebagai time out. Sambil anak anda berdiri mengadap dinding, anda minta anak anda muhasabah diri dan menyatakan apakah kesalahan yang telah dilakukan dan minta anak untuk berjanji agar tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.
  • Diasingkan dari ahli keluarga yang lain dalam masa 15 minit. Anda boleh menyuruh anak anda duduk sendirian di dalam bilik tidur sambil memikirkan tentang kesalahan yang telah dilakukan dan sebaik sahaja tempoh hukuman tamat, anda minta anak untuk berjanji tidak mengulangi perkara yang sama di kemudian hari.
  • Tidak dapat menggunakan gadget selama sehari. Jika anda memberikan handphone atau tablet kepada anak-anak, salah satu jenis hukuman yang boleh anda lakukan ialah dengan cara tidak membenarkan anak anda menggunakan gadjet pada hari tersebut. Pastinya anak anda akan berasa serik untuk melakukan kesalahan yang sama pada masa hadapan. Sama juga dengan televisyen. Anda boleh melarang anak daripada menonton televisyen sebagai hukuman.
  • Mengurangkan duit belanja juga adalah satu jenis hukuman yang boleh anda amalkan.
gaya asuhan ibu bapa
Sumber: Medcenterblog

Apakah jenis hukuman yang perlu anda elakkan agar anak tidak berdendam dan memberontak? Berikut adalah jenis hukuman yang perlu anda elakkan:

  • Memarahi anak di hadapan adik-beradik yang lain. Ini akan mencalarkan maruah anak.
  • Menengking dan menggunakan kata-kata yang kesat.
  • Mengungkit kesalahan anak yang pernah dilakukan pada masa lalu.
  • Membandingkan anak dengan adik-beradik lain yang lebih baik.
  • Memukul anak sehingga menyebabkan kecederaan. Dalam islam, kita digalakkan untuk memukul bahagian kaki ke bawah, dan bukan sebaliknya. Elakkan juga memukul anak dengan tangan. Sebaliknya gunakan alatan lain seperti rotan. Sentiasa ingat bahawa kita memukul anak dengan tujuan mendidik, bukannya untuk melepaskan geram.

Itulah dia info tentang gaya asuhan ibu bapa yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang adab terhadap ibu bapa, cara membalas jasa ibu bapa, dan hubungan anak dan ibu bapa.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.