Adalah menjadi sesuatu yang meneyedihkan jika anak yang dididik tidak menjadi acuan yang seperti diharapkan. Apa yang lebih teruk ia menjadi sebaliknya.

“Saya dah didik anak saya terbaik. Saya dah ajar tentang Islam. Saya dah ajar dia ilmu agama, ilmu untuk hidup dengan harmoni…tapi bila dah besar panjang, senang-senang dia melanggar larangan Allah…sakitnya Prof. saya menanggungnya.

Adakah saya ini ibu yang tidak tidak berjaya yang tidak cemerlang?” Rintih seorang ibu, yang saya jumpa.

Saya melihatnya dan sayu hati saya. Saya boleh merasakan kesedihan hatinya dengan apa yang dia anggapkan sebagai satu kegagalan besar di dalam hidupnya. Airmatanya terus mengalir dan saya boleh mendengar sedu tangisannya.

Ibu sedih

Salahkah didikan saya [Kitao]


 

Fikiran saya melayang teringatkan kisah Nabi Allah Nuh a.s. Ribuan tahun Nabi Nuh a.s. berdakwah, namun, anak dan isterinya tidak mahu beriman sehingga mereka tenggelam di dalam banjir besar yang melanda.

Itu adalah Nabi Nuh, seorang yang dipimpin Allah. Bolehkah kita kata baginda telah gagal? Dengan neraca apakah kita mengukurnya?

Dari situ saya mengambil satu pegangan, tugas kita sebagai ibu atau bapa adalah untuk mendidik dengan sebaik mungkin anak-anak kita. Namun, kita mesti sedar, hati seseorang itu bukan milik kita dan tidak kita pegang.

Jika setelah dididik dengan baik dan dibesarkan dengan sempurna pentarbiyahannya, namun, anak itu masih tidak mahu menerima hidayah, maka kita boleh bersedih, tetapi janganlah berduka sehingga membinasakan diri.

Itu perjalanan hidupnya. Apa yang kita boleh buat panjatkan doa agar anak itu dapat menerima taufik dan hidayah, serta sediakan diri untuk menerimanya bila dia mahu kembali ke pangkal jalan.

Sebenarnya, bukan mudah untuk menerima orang yang telah banyak melakukan kekasaran dan dosa kepada kita dan dirinya, namun, itulah sebabnya kita ini ibu atau bapa. Gelaran itu bukan suatu yang ringan, ianya besar dan berat maknanya.

Bolehkah kita mengenepikan ego kita untuk berdoa agar anak-anak yang mengasari kita dan tersalah jalan itu diberi taufik dan hidayah dan pulang ke pangkal jalan? Bolehkah kita berlapang dada menerimanya kembali sebagai kain putih yang bersih?

Inilah peranan seorang ibu dan bapa. Jika tidak makakan Allah meletakkan ibu dan bapa itu sebagai darjat yang tinggi. Dan syurga anak di bawah tapak kaki ibunya.

Dalam masa yang sama, kita juga harus mengisafi bahawa anak-anak kita itu, ragam-ragam mereka sebenarnya melentur dan melapah hati kita agar jatuh semua keangkuhan dan kesombongan. Kerana untuk memaafkan kesilapan, hati perlu bersih. Kasih perlu besar.

Dan siapa lagi yang boleh mengajar kita perkara itu jika tidak anak-anak kita yang suatu masa dahulu kakinya sebesar dua ibu jari kita. Dan mulutnya tidak henti-henti memanggil mama, ibu, ummi, atau ayah, bapa atau papa. Pantang hilang kita di mata mereka, mereka menangis mencari-cari.

Ingatan kita terhadap mereka semasa mereka kecil itu membasuh habis segala kecil hati, marah atau dendam yang mungkin telah mengisi hati kita yang mereka lukakan.

Jika kita faham dan sedar anak kita itu bukan sahaja anugerah atau amanah tetapi juga guru kepada kita untuk mengajar siapakah kita ini sebenarnya, maka kita dapat kembali tenang, sabar dan mengisi penuh hati kita dengan kasih sayang sejati.

Satu perkara yang ingin saya bawa ke tengah di sini juga ialah bukanlah hak kita untuk mengatakan seseorang itu gagal di dalam mendidik anak-anak mereka hanya berpandukan pandangan mata kasar kita sahaja.

Kita tidak tahu apakah rancangan Allah SWT. Dia juga yang Maha Mengetahui. Apa yang perlu kita lakukan ialah membantu sebanyak mungkin termasuklah berdoa kebaikan untuk ibu dan bapa dan anak itu juga. Serta ambillah iktibar daripada pengalaman mereka. Itulah sebabnya mengapa perkara itu sampai kepada kita. Iaitu untuk kita belajar.

Dan akhir sekali, gagalkah kita jika anak tidak menjadi orang? Jawapan yang saya boleh beri, kita gagal jika sememangnya kita telah tidak mendidik dengan baik. Namun, sekiranya didikan telah diberikan dan jalan yang salah juga yang diikut, lepaskanlah kepada Allah swt dan minta daripadaNya agar kita boleh membantu anak kita itu untuk menjadi seorang yang berguna.

Jika ada kesilapan kita, maka perbaikilah. Apa yang JANGAN kita lakukan ialah memarahi dan membencii diri kita dan anak yang bersalah itu sehingga kita menutup pintu untuk iman kembali masuk.

Semoga Allah menguatkan iman dan kasih sayang di dalam hati kita semua.

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.