Sebelum ini, saya sangat ‘overprotective’. Saya tak nak anak saya susah langsung!

Tiba-tiba saya perasan yang anak sulung saya menjadi semakin manja. Bukan manja biasa tetapi manja yang ekstrim!

Syukur, ilmu ‘parenting’ mengajar saya untuk guna 5 formula ini supaya anak tidak menjadi terlampau manja. Alhamdulillah, sangat berkesan!

FORMULA 1 : TEGAS

Jangan mudah mengalah dengan pujuk rayu anak. Anak berumur 6 bulan ke atas sudah pandai membuat tangisan manipulatif. Tangisan manipulatif biasanya bermula apabila kita tidak mengikut kehendaknya.

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya tahu membezakan tangisan manipulatif dengan tangisan yang sebenar.

Foto Kredit : babyverden.no

FORMULA 2 : KONSISTEN

Sentiasa konsisten dalam memberi respon terhadap anak. Kalau kita cakap A, kena buat A. Jangan tiba-tiba disebabkan pujuk rayu dan ‘political talk’ anak, kita jadi layu dan berubah pendirian.

Jika kita tidak konsisten, anak akan hafal taktik yang berjaya membuatkan kita cair. Jangan pelik jika tantrumnya semakin menjadi-jadi apabila kita tidak menunaikan permintaan mereka!

Foto Kredit : reference.com

FORMULA 3 : TAWAR-MENAWAR

Ada masanya kita kena guna kemahiran tawar-menawar (negotiation skills) kita kepada anak sendiri.

Sebagai contoh, sebelum masuk ke kedai, ingatkan terlebih dahulu kepada anak tentang item yang ingin dibeli di sana. Item yang tidak tersenarai, tidak seharusnya dibeli sebentar lagi. Jika ingin dibeli juga kerana ianya bermanfaat, kita boleh tawarkan kepada anak untuk membeli item tersebut pada hari lain yang lebih bersesuaian. Dengan cara ini, barulah anak kita tidak menjadi ‘anak Sultan’ yang mahu membeli satu pasar raya!

Kita tidak boleh menghalang 100% kehendak dan kemahuan anak, tetapi tidak salah jika kita boleh tawar-menawar dengan mereka.

Foto Kredit : muskimagazin.rs

FORMULA 4 : JANGAN TERLALU BANYAK MASUK CAMPUR

Kadang-kala, kita lupa yang kita tidak akan selamanya berada di sisi anak sehinggakan semua benda kita mahu masuk campur.

Anak kita bergaduh kecil dengan adik pun kita terus halang dan memarahinya. Kawan anak kita cuit sikit anak kita, kita melenting tak tentu hala.

Kalau begini caranya, bagaimana anak kita dapat mengasah kemahiran interpersonal mereka? Ini merupakan salah satu punca mengapa anak kita kurang pandai bergaul dan terlebih manja!

Foto Kredit : revistaime.com

FORMULA 5 : JADI COACH

Anak kita sebenarnya bukan inginkan kita menjadi ‘baju besi’ mereka yang melekat dan melindungi mereka 24 jam sehari semalam.

Mereka cuma perlukan coach kehidupan. Coach yang dapat membimbing, mengajar dan mendidik mereka tentang pelbagai perkara dalam menjalani kehidupan seharian.

Benarkan mereka lakukan sendiri sesuatu perkara dan biarkan mereka belajar membuat keputusan.

Dengan cara ini, anak akan lebih berdikari dan tidak menjadi individu yang terlampau manja.

Foto Kredit : verywell.com

‘KEEP CALM AND LET IT GO’

Jadilah ibu bapa yang tegas, konsisten dan sentiasa tenang. Usah bersikap ‘overprotective’. Sesekali, berikan mereka sedikit bimbingan dan selebihnya ‘just let it go’.

Percayalah, dengan cara ini, mereka akan belajar tentang cara menyelesaikan masalah, semakin teguh pendirian serta tidak menjadi terlalu manja.

Biarkan anak kita menangis pada hari ini, daripada dia merana dan menderita pada esok hari.

Penulis: Dr Taufiq Razif

Dr Taufiq Razif

Merupakan seorang pendidik ilmu parenting. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook peribadi beliau dan Page beliau. Sertai keluarga telegram beliau melalui link ini untuk mendapatkan pelbagai lagi info menarik tentang keibubapaan. Link ke Telegram.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .