Apakah pelan diet yang anda praktikkan? “Uishhh…naik lagi berat badan?” “Ehhh…kenapa berat badan ini tidak mahu sentiasa sama?”

Pernah terasa putus asa tidak? Sudah diet bermacam-macam cara, ikat perut atau kurangkan kuantiti makanan, tetapi pandai naik pula berat badan itu.

Inilah yang terjadi pada Dr Muhamad Na’im Ab Razak, yang mengalami kenaikan berat badan semula setelah susah payah mencapai badan ideal idaman.

Resepi Kegagalan Pelan Diet: Dari Obesiti kepada Badan Ideal dan Rebound Obesiti.

pelan diet
Imej via Facebook Muhamad Na’im Ab Razak

Saya ingin berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan Facebook dengan mengambil contoh diri saya sendiri sebagai subjek kajian.

Saya bermula sebagai seorang kanak-kanak yang kurus ceding dan membesar menjadi seorang obes. Pada tahun 2014, saya mencapai berat maksimum lebih dari 135 Kg. Itu adalah saat paling hitam dalam kehidupan saya bergelar seorang doktor gemuk dan obes.

Bagaimana Pelan Diet Berjaya Dilakukan?

Sejak dari itu, saya telah mencuba pelbagai jenis program diet untuk menurunkan berat badan termasuklah atkins plus intermittent fasting. Ia adalah strategi yang berkesan kerana saya kehilangan lebih 20 Kg dalam masa tidak lebih 3 bulan. Namun demikian, berat saya menjadi statik dan lemak sentral tidak mahu hilang.

Ia kemudiannya diikuti dengan latihan kardiovaskular dan bebanan ditambah dengan amalan diet secara tetap berserta makanan tambahan dalam bentuk mikronutrient.

Berat terbaik yang pernah saya capai adalah 88Kg dan saya hampir dapat memakai baju saiz M daripada saiz 5XL.

Bagaimana Pelan Diet Boleh Gagal?

Namun demikian, kesibukan tugas, sibuk belajar untuk menyambung program kepakaran dan juga patah tangan menyebabkan jadual latihan saya terganggu dan saya kembali menjadi obes dan kini kembali memakai baju bersaiz 3XL.

Saya adalah seorang yang gagal!

Itu adalah ayat yang bermain dalam fikiran saya.

Namun demikian, saya sebenarnya tidak bersendirian. Tentu anda masih ingat rancangan televisyen The Biggest Loser kan?

Sekumpulan orang gemuk dibawa ke rancangan realiti dan dimalukan serta dipaksa bersenam dan berdiet hingga seorang pemenang diumumkan iaitu mereka yang kehilangan berat badan paling banyak. Pemenang hilang berat badan sehingga lebih 50Kg dalam masa yang singkat.

Tahukah anda bahawa National Institute of Health telah melakukan satu kajian pada tahun 2016 yang melibatkan 14 pemenang Biggest loser? Mereka mendapati bahawa 13 dari mereka kembali menjadi gemuk dan ada yang semakin gemuk.

Apakah Faktor Yang Boleh Mempengaruhi Pelan Diet?

Dengan mengambil diri sendiri sebagai contoh, saya mulai faham kenapa satu-satu program diet gagal dan saya kongsikan bersama-sama anda.

pelan diet
Imej via MomJunction

Harapan saya adalah supaya saya dan mana-mana individu yang mengalami nasib sama dapat kembali berdiet untuk mencapai berat badan ideal dan sihat tubuh-badan.

1. Motivasi.
2. Jadual pemakanan.
3. Aktiviti fizikal.
4. Gaya hidup.

Motivasi:

  • Apabila kita diberi rangsangan contohnya dimalukan, disahkan sakit akibat kegemukan ataupun mempunyai motif tertentu seperti mahu menawan hati gadis sebagai contohnya, kita akan meletakkan satu matlamat yang cukup tinggi dan ia menyebabkan mental dan fizikal kita bekerka keras untuk mencapai matlamat tersebut.
  • Motivasi seterusnya bertukar menjadi tabiat dan ia memacu kepada kejayaan satu-satu pelan diet. Walaubagaimanapun, akan ada satu peristiwa yang membuatkan motivasi dan tabiat hancur berkecai.
  • Contohnya timbul perasaan malas dan berputus asa. Dalam kes saya, ia berpunca dari saya patah tangan dan tidak dapat melalukan aktiviti berat lebih dari sebulan ditambah dengan stress belajar dan bekerja.
  • Untuk kembali berjaya, kita harus mencipta motivasi baru dari sehari ke sehari.

Jadual Pemakanan:

  • Diet seperti atkins dan intermittent fasting adalah bagus untuk peringkat awal tetapi berbahaya untuk satu tempoh lama. Apabila kita biasakan diri dengan berlapar, badan sebenarnya akan menghasilkan satu tindak balas kimia yang sebenarnya membuatkan kita melakukan ‘balas dendam’ di atas penderitaan tubuh. Ia menyebabkan kita makan dengan terlampau banyak dan secara tidak sihat.
  • Paling teruk, kita sentiasa rasakan apa yang kita makan sebagai tidak mencukupi dan kita mahu lagi dan lagi makanan.
  • Oleh yang demikian, makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap sehingga 5-6 kali sehari adalah satu tabiat diet yang paling berkesan. Ia akan sentiasa membuatkan kita rasa kenyang. Namun demikian, tidak semua yang dapat patuh kepada jadual ini atas dua faktor.
  • Pertama adalah kekangan masa atau disebabkan travel, kenduri dan sebagainya. Akibatnya kita akan skip jadual makan dan ini merangsang tabiat makan tidak sihat.
  • Kedua adalah kerana kita sentiasa rasa kenyang kerana makan makanan yang berkualiti. Lantas kita tinggal mana-mana pek makanan dan ini juga akan merangsang tabiat makan tidak sihat.

Baik, bagaimana dengan orang yang makan tiga kali sehari tetapi kekal kurus dan sihat?

  • Jawapannya adalah konsistensi dan kemampuan diri mereka untuk kekal mengawal diri bagi mengelakkan tabiat makan tidak sihat. Kedua, kurus tidak bermaksud sihat. Ada juga kurus disebabkan tidak cukup zat dan sebagainya. Walaubagaimanapun isu ini harus ditangani secara individu kerana tidak ada satu pelan diet yang sesuai dengan satu orang.
  • Prinsipnya, pilih pelan diet yang anda boleh patuh dengannya dan elakkan diri dari terjebak dengan tabiat makan secara tidak sihat.

Aktiviti Fizikal:

  • Walaupun aktiviti fizikal cuma menyumbang 20-30 peratus kepada pelan diet yang berkesan, ia tidak boleh ditinggalkan secara langsung. Kunci kepada kejayaan pelan diet yang berkesan adalah melatih daya ketahanan diri, membina kekuatan dan stamina melakui aktiviti fizikal dan sentiasa memberi rangsangan kepada otot. Ya, kita boleh kurus dengan hanya berdiet tetapi kita akan tampak lesu dan tidak berdaya tanpa aktiviti fizikal.

Gaya Hidup:

  • Stress, tidak cukup tidur, merokok, tabiat suka lepak, minum arak adalah gaya hidup tidak baik yang akan membawa kepada kegagalan pelan diet.
  • Dalam kes saya, ia disebabkan oleh jadual kerja tidak teratur, insomnia dan stress belajar di mana ia menjadi penyumbang yang menyebabkan motivasi menurun, jadual makan tunggang langgang dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
  • kesemua faktor ini adalah saling berkait antara satu sama lain.

Okay, saya telah belajar dari kegagalan saya. Jika anda ada masalah yang sama, anda rasa kenapa anda gagal?

Akhirnya, pelan diet dan program menguruskan berat badan harus dijadikan sebagai way of life ataupun gaya hidup. Ia harus dilakukan secara konsisten dan bukan secara berkala.

*Lain orang, lain pelan diet yang sesuai untuk mereka amalkan. Yang penting, jangan putus asa jika ingin kembali sihat, dan jangan lupa juga share infonya!

Penulis: Fadhilah

Seorang yang enjoy movies, bersiar-siar, bersukan & sangat suka kucing. Hobi menulis di Bidadari.my bagaikan sebuah laman persinggahan dari hidup seorang pelajar pascasiswazah di UKM.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.