Anak kedua selalunya mempunyai ciri yang unik dan tersendiri memandangkan kedudukannya sebagai anak kedua di mana dia perlu bersaing dengan anak pertama dan adik yang ada dibawahnya. Setiap individu adalah berbeza namun kali ini kami akan kongsikan fakta anak kedua berdasarkan kajian sains dan pakar psikologi.

fakta anak kedua
Sumber: Momjunction

1. Suka memberontak

Sikap suka memberontak yang ada pada diri anak kedua adalah berkaitan dengan second child syndrome atau sindrom anak kedua yang telah lama dikaji oleh pakar psikologi dan pakar keluarga. Sindrom anak kedua ini sebenarnya berkaitan dengan ibu bapa itu sendiri. Jom kami terangkan dengan lebih lanjut supaya anda lebih faham.

Biasanya untuk kandungan yang kedua, ada ibu bapa yang berasa kurang teruja berbanding kali pertama mengandung. Persediaan untuk menyambut anak kedua juga tidak sehebat seperti anak pertama. Malah untuk anak kedua, ibu bapa selalu kurang mengambil perhatian seperti mana anda mengikuti perkembangan anak pertama.

Sedikit sebanyak, sikap anda dan pasangan semasa menerima kehadiran anak kedua dan proses membesarkannya mempengaruhi ciri yang ada dalam diri anak anda dan membentuk sindrom anak kedua. Oleh itu, jika anak anda jenis suka memberontak, tiba masanya untuk anda muhasabah diri dan merenung semula. Mungkin tanpa sedar ianya datang dari diri anda sendiri.

2. Suka bersaing dengan orang lain

Ini adalah fakta. Menurut Jurnal Perkembangan Kanak-Kanak yang diterbitkan pada tahun 2009 oleh Wiley Online Library, anak kedua biasanya suka bersaing dengan orang lain. Ini kerana sejak kecil mereka terpaksa bersaing dengan adik-beradik lain untuk mendapatkan perhatian kedua ibu bapa. Kebiasaannya anak pertama akan lebih mengalah, namun anak kedua terpaksa bersaing dengan adik-adik lain yang lebih kecil dan lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang.

Sikap suka bersaing adalah baik namun jika tidak dikawal, akan menyebabkan anak kedua cenderung untuk bersaing dengan cara yang keterlaluan dan memakan diri sendiri.

3. Lebih berdikari berbanding adik-beradik yang lain

Jurnal Perkembangan Kanak-Kanak yang diterbitkan pada tahun 2009 oleh Wiley Online Library juga menyatakan bahawa anak kedua biasanya lebih berdikari berbanding adik-beradik yang lain. Ini berlaku kerana kebiasaannya ibu bapa dan anak sulong akan lebih menumpukan perhatian kepada adik-adik lain yang lebih kecil dan memerlukan penjagaan yang lebih berbanding anak kedua.

Oleh itu, anak kedua terpaksa mengajar diri sendiri untuk berdikari supaya boleh meneruskan kemandirian. Sikap berdikari ini akan terus melekat dalam diri anak kedua, menjadikannya seorang yang kental dan tabah.

fakta anak kedua
Sumber: Learningcurveindia

4. Suka menarik perhatian orang lain

Fakta anak kedua yang seterusnya ialah anak kedua cenderung untuk mempunyai sifat suka menarik perhatian orang lain. Sekali lagi kami merujuk kepada Jurnal Perkembangan Kanak-Kanak yang diterbitkan pada tahun 2009 oleh Wiley Online Library.

Menurut jurnal tersebut, sejak azali anak kedua merasakan bahawa mereka perlu berusaha untuk menarik perhatian ibu bapa yang lebih menumpukan perhatian kepada adik-adik yang lain.

Anak kedua merasakan bahawa mereka tidak mendapat kasih sayang, perhatian, dan layanan yang sepatutnya. Mereka sangat dahagakan perhatian daripada kedua ibu bapanya.

5. Hyperaktif dan lebih ligat berbanding anak yang lain

Siapa setuju dengan kami? Anak kedua biasanya hyperaktif dan sangat ligat berbanding anak yang lain. Kenapa ye? Menurut artikel How Firstborns and Secondborns Compare, anak kedua cenderung untuk menjadi hyperaktif dan sangat ligat kerana mereka dilahirkan secara pemikiran semulajadi bahawa mereka mempunyai pesaing iaitu adik-beradik yang lain.

Oleh itu, jika anak kedua anda seorang yang hyperaktif, usah risau. Ia adalah sesuatu yang normal dan telah menjadi lumrah kepada ibu bapa lainh di seluruh dunia.

6. Suka melakukan perkara yang memeningkan kepala ibu bapa

Menurut artikel How Firstborns and Secondborns Compare lagi, anak kedua yang dilahirkan dengan naluri semulajadi untuk bersaing dan terpaksa menarik perhatian akan memberikan satu impak yang sangat ketara iaitu mereka suka melalukan perkara yang memeningkan kepala kedua ibu bapa.

Anak kedua anda selalu tantrum, membuli kawan-kawan lain di tadika, malah suka menyelerakkan rumah adalah juga satu kelakuan yang normal. Namun apabila kami mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang normal, tak bermakna anda tidak perlu menegur dan menasihati anak kedua anda supaya berubah. Adalah menjadi tanggung jawab anda sebagai ibu bapa untuk menegur dan membentuk diri anak anda.

7. Seorang yang sensitif dan suka memendam perasaan

Anak kedua biasanya seorang yang sensitif kerana sejak kecil mereka sudah biasa dibiarkan dan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa. Ia akan menjadikan anak kedua lebih sensitif, mudah terasa, namun suka memendam perasaan.

fakta anak kedua
Sumber: Mummyish

8. Lebih rapat dengan kawan berbanding ibu bapa

Anak kedua cenderung untuk lebih rapat dengan kawan berbanding dengan ibu bapa sendiri memandangkan sejak kecil perhatian ibu bapa lebih tertumpu kepad adik lain yang lebih kecil. Maka anak kedua akan mencari perhatian di luar rumah iaitu kawan sebaya yang biasanya sangat memahami dan sentiasa ada masa untuk mereka.

9. Seorang yang manipulatif

Ini juga adalah satu fakta. Anak kedua biasanya adalah seorang yang manipulatif dan suka memanipulasi orang sekeliling untuk kepentingan diri sendiri. Sikap manipulatif ini wujud akibat daripada sikap suka bersaing dan naluri untuk meneruskan kemandirian yang wujud sejak mereka kecil.

10. Kurang bergantung kepada keluarga

Fakta anak kedua yang terakhir ialah mereka kurang bergantung kepada keluarga. Ini berlaku kerana sejak kecil mereka sudah biasa berdikari dan tidak mengharapkan bantuan ibu bapa dan kakak atau abang yang sibuk dengan adik yang lain.

Itulah dia fakta anak bongsu yang ingin kami kongsikan pada hari ini.
Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang fakta anak sulung, fakta anak keempat, dan fakta anak bongsu

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.