Di zaman moden ini, majoriti bakal pasangan sudahpun mengenali bakal calon hidup masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk mengikat ikatan yang sah dengan bernikah. Era ini, situasi bercinta sebelum berkahwin sehingga makan masa bertahun-tahun sudah menjadi satu perkara biasa.

Namun tempoh perkenalan yang lama itu sama sekali tidak boleh dijadikan jaminan yang kita telahpun mengenali hati budi pasangan sepenuhnya. Ada juga yang baru je berkenalan dah berkenan untuk terus jadi pasangan sehidup semati. Yang ini memang golongan ‘rare’ yang sangat special!

Faedah Melihat Calon Pasangan
image via : Pesona Pegantin

Jangan Terus Terima Sebaliknya Lihat Dulu Siapakah Calon Pasangan

Bagi lelaki yang terjatuh hati pada wanita yang menutup wajahnya dengan berpurdah, mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk membuat keputusan jika berniat untuk menjadikan wanita itu sebagai peneman hidup.

Tapi jangan risau, jika benar niat di hati untuk menjadikan wanita tersebut sebagai isteri, Islam membenarkan lelaki  untuk melihat calon pasangannya walaupun si gadis itu berpurdah. Lagipun purdah atau niqab ini bukanlah satu perkara yang wajib maka boleh saja minta di bukakan sekejap untuk melihat rupa parasnya.

Jika Ibubapa Yang Pilihkan Calon, Mohonlah Untuk Lihat Sendiri Sebelum Beri Keputusan

Ada juga yang tidak pernah mengenali  dan tidak pernah bersua muka tetapi keluarga yang mengaturkan mereka untuk berkahwin. Ini juga mungkin menimbulkan sedikit kesukaran pada lelaki atau wanita tersebut sebab tidak saling mengenali tapi kena berkahwin kerana pilihan keluarga.

Walau macamana cara sekalipun ada baiknya untuk kita berkenalan dengan bakal pasangan hidup kita itu. Bukan maksud berkenalan untuk sengaja mencari kekurangan sebaliknya untuk melihat apakah bakal pasangan yang ingin dikahwini itu sesuai untuk dijadikan pasangan.

Bagi wanita pula eloklah di uji dengan bertanyakan soalan berkaitan agama dan mungkin boleh test minta beliau imamkan solat beramai-ramai untuk lihat samada lelaki tersebut menepati ajaran wajib dan sunat berdasarkan Islam. Jika semuanya okay maka bolehlah di anggap yang lelaki tersebut sesuai dan sedia untuk bergelar seorang ketua keluarga untuk sebuah ikatan rumahtangga.

10 Faedah Melihat Calon Pasangan Sebelum Bernikah

Apakah sebenarnya manfaat yang boleh diperoleh dengan cara melihat pasangan sebelum bernikah ini? Jika nak tahu, boleh baca semua info di bawah ini sebagai bantuan dalam menetapkan hati dalam misi penceraian bakal pasangan.  Jom kita mentelaah bersama!

1- Mewujudkan Rasa Cinta

Walaupun belum saling mengenali, sekiranya berpeluang untuk melihat calon pasangan, rasa cinta mungkin dapat diwujudkan di antara lelaki dan wanita yang bakal dikahwinkan. Rasa cinta perlu ada untuk memastikan hubungan suami isteri yang bakal dijalinkan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat dengan izin Allah.

2- Membina Keserasian

Untuk memastikan hubungan suami isteri yang bakal dibina sentiasa harmoni, keserasian perlu ada di antara pasangan. Jadi dengan melihat dahulu calon pasangan, mungkin dapat membina keserasian dengan diadakan sesi perkenalan di antara lelaki dan wanita tersebut.

3- Mengelakkan Kekecewaan

Selalunya, jika pasangan adalah pilihan ibu bapa, lelaki dan wanita yang akan dinikahkan ini mungkin tak pernah melihat wajah masing-masing. Jadi dengan adanya sesi taaruf atau bertemu, mungkin dapat mengelakkan berlakunya kekecewaan dalam diri masing-masing jika pasangan yang bakal dijodohkan kurang menepati ciri-ciri fizikal dan luaran idaman hati.

4- Mengenali Hati Budi

Melalui proses melihat terlebih dahulu calon pasangan, lelaki dan wanita yang akan bernikah mungkin dapat mengenali serba sedikit hati budi pasangan yang bakal jadi teman sehidup semati. Dengan mengenali hati budi begini, dapatlah membina keserasian dan mewujudkan rasa cinta di antara lelaki dan wanita yang akan dinikahkan.

5- Dapat Berkenalan Dengan Keluarga

Apabila berpeluang bertemu mata dengan calon pasangan, lelaki dan wanita yang bakal dinikahkan juga dapat berkenalan dengan dengan ahli keluarga pasangan secara tidak langsung. Mengenali ahli keluarga calon pasangan juga merupakan perkara penting untuk memastikan hubungan kekeluargaan yang bakal terjalin menjadi mesra.

6- Memupuk Kepercayaan

Bagaimana hendak bina rasa percaya kalau tidak pernah melihat calon pasangan yang akan menjadi sebahagian dalam hidup kita kan? Jadi, inilah salah satu faedah yang kita akan dapat kalau berpeluang untuk melihat calon pasangan terlebih dahulu. Rasa percaya mungkin dapat dipupuk apabila dapat melihat sendiri tingkah laku bakal pasangan bila berhadapan dengan kita.

7- Menjauhkan Rasa Tidak Puas Hati

Bila calon pasangan yang bakal menjadi ‘housemate’ kita ditentukan oleh ibu bapa, mungkin akan timbul rasa tidak puas hati pada diri kita. Jadi untuk menjauhkan rasa tidak puas hati terhadap pilihan ibu bapa, mungkin dengan melihat sendiri calon pasangan akan dapat mengelakkan perkara ini berlaku.

8 – Dapat Mengetahui Latar Belakang Bakal Pasangan

Kebiasaanya, bila calon pasangan dicari oleh pihak lain, kita tidak mengetahui latar belakang lelaki atau wanita tersebut secara terperinci. Jadi dengan melihat sendiri calon pasangan secara bertentang mata, dapat berbicara dan berkenalan, mungkin kita akan dapat mengenali serba sedikit latar belakang calon pasangan seperti pendidikan, pekerjaan, minat, dan sebagainya. Ini salah satu faktor yang penting dalam pemilihan calon pasangan sebenarnya.

9 – Memberi Ruang Untuk Berfikir Sebelum Membuat Keputusan

Apabila kita diberi peluang untuk melihat dulu calon pasangan, ini dapat memberikan kita ruang untuk berfikir sedalamnya sebelum membuat keputusan untuk meneruskan hubungan ke status suami isteri. Perbincangan hati ke hati juga dapat dibuat samada kedua-duanya redha dan bersetuju untuk dinikahkan. Ini penting untuk memastikan ‘masjid’ yang dibina dapat kekal dan bahagia sehingga hujung nyawa.

10 – Memastikan Calon Pasangan Menepati Ciri Idaman Hati

Salah satu yang penting dalam pemilihan calon pasangan ialah mereka menepati ciri idaman hati kita. Jadi dengan melihat sendiri calon pasangan boleh memastikan perkara ini dengan lebih jelas.  Terutamanya dari segi fizikal dan luaran yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Ada Hadis Yang Turut Menceritakan Tentang Perkara Ini

Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:

“Adakah kamu telah melihatnya?”

Jawab pemuda itu, “belum.”

Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”

(Hadis Riwayat Muslim : 3550)

Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin untuk melihat wajah bakal isterinya. Tujuan melihat adalah supaya diberi rasa ketenangan dan kedamaian jiwa untuk meneruskan perkahwinan.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. telah bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita:

“Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”

(Hadis Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)

Wanita juga berhak untuk melihat lelaki jika dia ingin berkahwin dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadaannya dengan lebih jelas agar tidak menyesal selepas berkahwin. Seperti halnya lelaki, perempuan juga tertarik dengan beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat seseorang perempuan.

Pilihlah Pasangan Berdasarkan Keperibadian Dan Hati Berbanding Paras Rupa

Itulah dia 10 faedah yang boleh dijadikan panduan untuk kita sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang dengan calon pasangan yang dicari.

Ingat! Bernikah bukanlah pengakhiran segalanya dan bukan semata-mata satu kata sepakat bagi membuktikan cinta dan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Perkahwinan merupakan permulaan satu peranan yang besar untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Maka buatlah keputusan dengan bijak dan gunakanlah manfaat melihat pasangan sebelum bernikah ini sebagai garis panduan supaya tidak tersalah memilih pasangan kelak. Pastikan anda memilih dengan menilai ciri-ciri keperibadiannya berbanding dengan paras rupa yang hanya bersifat sementara.

Sumber :

1- Baitul Muslim

2- Baitul Jannah

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.