Tidak dapat digambarkan perasan bersyukur dan gembiranya pasangan yang bakal menimang cahaya mata. Berita gembira tu pastinya ditunggu-tunggu oleh semua pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Namun, proses yang bakal ditempuh oleh si ibu sepanjang kehamilan bukannya mudah. Lebih-lebih lagi, bagi wanita yang baru pertama kali merasai pengalaman mengandung. Sudah menjadi lumrah, ada bakal ibu yang tiada sebarang masalah seperti morning sickness, alahan dan sebagainya.

Ada pula yang tiba-tiba mendapat masalah kesihatan seperti diabetes. Malah, ada juga bakal ibu yang menghadapi perubahan fizikal yang ketara seperti kegemukan, masalah kulit dan sebagainya. Namun, yang paling ketara dihadapi ialah masalah berkaitan emosi ketika mengandung.

Oleh itu, dalam artikel ni, penulis ingin berkongsi emosi-emosi yang mengganggu ibu mengandung. Tujuannya supaya si ibu boleh menjadikan tips-tips yang akan dikongsikan ni sebagai panduan. Tak lupa juga untuk membantu bakal-bakal ayah menghadapi emosi isteri mereka ketika hamil.

Emosi Ibu Mengandung

Sesetengah wanita yang hamil mengalami emosi yang bercelaru, berasa tertekan, mudah sensitif atas perkara remeh-temeh dan suka marah-marah. Situasi ni merupakan sesuatu yang normal kerana disebabkan oleh perubahan hormon.

Pakar sakit puan berpendapat bahawa perubahan emosi ni biasanya berlaku sepanjang 10 minggu pertama kehamilan. Selepas tempoh itu iaitu pada trimester, emosi si ibu akan lebih terkawal dan kembali seperti biasa.

"

Bagi merungkai isu emosi ibu mengandung ni, penulis menyenaraikan beberapa punca lain yang menyebabkan masalah ni. Antaranya ialah:

1.Tak Bersedia Menjadi Ibu

Walaupun rezeki mengandung adalah impian semua wanita yang berumah tangga, namun ada juga yang belum bersedia memikul beban sebagai ibu. Hal ni mungkin disebabkan oleh faktor umur yang muda, perkahwinan yang diatur oleh keluarga, terlanjur, persekitaran dan sebagainya.

Wanita yang belum ‘rela’ menjadi ibu akan berasa tertekan, tak gembira dengan kehamilan dan tak menikmati pengalaman sepanjang tenpoh tu. Mereka akan mudah marah, sering menangis, menjauhkan diri dan berasa stres.

2.Tertekan dan Letih

Bagi wanita yang bekerjaya, tugas di tempat kerja dan di rumah amat meletihkan. Di tempat kerja, mereka perlu menghadap bebanan kerja, karenah bos dan rakan sekerja. Di rumah pula, mereka perlu memasak, mengemas rumah dan menyediakan keperluan suami dan anak-anak yang lain.

Hal ni menyebabkan mereka mudah tertekan dan letih kerana membawa kandungan yang semakin membesar. Tak hairanlah ada yang suka marah-marah anak, malas nak uruskan rumah tangga dan tak menjaga penampilan di rumah.

3.Inginkan Perhatian Suami

Semasa proses kehamilan, wanita mendapat perhatian yang terbaik daripada suami mereka. Itulah sebabnya apa saja yang diminta pasti akan ditunaikan. Namun, ada juga wanita yang teringin nak makan makanan pelik-pelik dengan alasan mengidam.

Jika yang diidamkan tak dapat, jawabnya sedepa panjangnya muncung isteri. Maka, kelam-kabutlah para suami yang menyayangi isteri mereka mencari makanan yang diidamkan. Boleh saja minta apa-apa. Yang penting jangan susahkan suami dengan permintaan yang tak masuk akal dan pelik-pelik.

4.Takut Proses Melahirkan

Tanyalah mana-mana wanita, walaupun anak dah berderet, proses untuk melahirkan adalah sesuatu yang sangat ngeri dan menakutkan. Mana taknya, melahirkan anak merupakan perkara antara hidup dan mati.

Oleh itu, bermacam-macam gambaran yang menerjah kepala. Disebabkan hal ni, ada juga wanita yang risau melampau, mengalami panic attack dan mudah menangis. Mereka takut sekiranya anak mereka meninggal dunia atau nyawa mereka sendiri tak dapat diselamatkan.

5.Tiada Sokongan Keluarga

Perkahwinan yang tak mendapat restu keluarga atau kurangnya sokongan moral daripada suami juga akan menyebabkan emosi bakal ibu terganggu. Kelahiran anak diharapkan menjadi penghubung keluarga, namun sebaliknya pula berlaku.

Bakal ibu memerlukan nasihat, bimbingan, perhatian dan kasih sayang keluarga. Jika suami terlalu sibuk dengan urusan kerja atau kerap keluar dengan kawan-kawan sehingga si isteri keseorangan di rumah, ia akan mengganggu emosi mereka.

6.Hamil Selepas Rawatan Kesuburan

Kita sedia maklum bukan semua wanita mampu mengandung secara semula jadi. Ada yang perlu membuat rawatan untuk mendapatkan anak. Umum mengetahui bahawa kos untuk membuat rawatan seperti permanian beradas (IUI) dan persenyawaan IN-Vitro (IVF) bukannya murah.

Selepas melalui proses rawatan yang mahal, pasangan suami isteri pastinya menyimpan hasrat yang tinggi agar ia berhasil. Malahan, harapan pasangan dan ahli keluarga yang tinggi agar kehamilan itu berjaya. Tekanan seperti ni akan mengganggu emosi wanita hamil.

7.Masalah Kewangan

Bagi pasangan yang menghadapi masalah kewangan, ia juga boleh menjadi punca emosi isteri yang mengandung terganggu. Kos sebelum, semasa dan selepas melahirkan sangat tinggi. Suami yang bergaji kecil mungkin ada masalah untuk menyediakan persiapan untuk isterinya.

Risau memikirkan pelbagai kos yang perlu dibayar, emosi isteri kemungkinan mudah terusik. Mereka menjadi risau jika bayi yang dikandung tak dapat makanan yang berkhasiat, pakaian yang mencukupi dan rawatan yang terbaik.

Kesan Emosi Ibu Hamil

Emosi si ibu yang tak stabil dan bercelaru memberi kesan bukan saja pada diri mereka tetapi juga kepada bayi yang dikandung. Perkara ni tak boleh dipandang ringan kerana mereka terdedah kepada masalah mental seperti kemurungan, depresi dan sebagainya.

Antara kesan lain yang disebabkan oleh emosi ibu mengandung ialah:

a. Implikasi kepada kelahiran bayi pramatang.
b. Risiko kegagalan tumbesaran peringkat awal yang menyebabkan berat badan bayi rendah.
c. Mempengaruhi perlakuan anak yang bakal dilahirkan seperti kuat meragam pada 2 tahun pertama dilahirkan.

Cara Merawat Emosi Ibu Mengandung

Bagi menangani masalah yang berkaitan dengan emosi ketika mengandung, bakal ibu perlulah:

a. Bagi wanita yang mempunyai masalah mental, ubatan perlu diambil seperti biasa atas nasihat doktor. Hadir temu janji yang ditetapkan.

b. Mendapatkan tidur dan waktu rehat yang mencukupi. Ia dapat mengelakkan mood swing jika kurang tidur.

c. Amalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat. Boleh juga amalkan pemakanan sunnah seperti madu, susu kambing, buah delima, badam, kismis dan sebagainya. Yang paling penting lebihkan sayur dan buah-buahan.

d. Sentiasa berkomunikasi dengan pasangan dan ahli keluarga berkaitan masalah yang dihadapi.

e. Amalkan gaya hidup sihat dengan elakkan stres dan bersenam. Lakukan senaman yang konsisten namun tak terlalu berimpak tinggi.

f. Jauhi rokok dan minuman alkohol.

g. Sentiasa ingatkan diri bahawa anak yang dikandung merupakan rezeki dan amanah yang diberi oleh Allah. Belajar untuk menerima pemberiaan ni.

h. Dapatkan sistem sokongan daripada suami dan ahli keluarga. Jika anda dan suami berjauhan disebabkan faktor kerja, anda boleh berpindah ke tempatnya atau duduk dengan ahli keluarga sendiri.

Setakat ni saja perkongsian tentang perubahan emosi wanita ketika mengandung. Selain bakal ibu perlu mengawal sendiri emosi mereka, sokongan dan perhatian daripada suami dan ahli keluarga tetap diperlukan.

Semoga artikel ni memberi manfaat kepada semua. Jemput juga baca artikel diet ibu mengandung dan kesihatan ibu mengandung

Rujukan

  • Perubahan Emosi Kala Hamil. https://www.hmetro.com.my/hati/2019/02/424434/perubahan-emosi-kala-hamil (link)
  • Kesihatan Cerai Isteri Hamil. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/04/26/kesihatan-cerai-isteri-hamil (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.