Jom fahami tentang doa qunut dan hukumnya.

Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah dari Bahasa Arab yang membawa beberapa makna diantaranya ialah berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusu’.

Manakala maksud secara istilah, qunut adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri. Doa Qunut terdapat 3 jenis, iaitu Qunut Nazilah, Qunut Solat Witir dan Qunut Solat Subuh.

Doa Qunut Solat Subuh

Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, “Bahawa Nabi saw telah melakukan doa qunut selama satu bulan untuk mendoakan atas orang-orang Arab yang masih hidup, kemudian Nabi saw meninggalkannya.”

(HR. Muslim)

Melalui hadis ini, kita ketahui bahawa Nabi saw hanya membaca doa Qunut dalam Solat Subuh dalam tempoh sebulan sahaja, kemudian meninggalkannya. Maka, pendapat pengikut Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad doa qunut solat Subuh hukumnya tidak disunatkan.

Manakala, menurut pengikut Imam Malik, doa Qunut Solat Subuh hukumnya sunat. Begitu juga menurut pengikut Imam Syafie iaitu hukumnya sunat ab’ad (jika terlupa dan tertinggal, maka disunatkan sujud sahwi) dilakukan pada raka’at yang kedua solat Subuh. Ini kerana, Rasulullah saw ketika mengangkat kepala dari ruku’ (iaitu sewaktu i’tidal) pada rakaat kedua solat Subuh, beliau membaca qunut. Dan demikian itu “Rasulullah saw lakukan sampai meninggal dunia (wafat)”. (HR. Ahmad dan Abd Raziq)

Imam Nawawi menerangkan dalam kitab Majmu’nya: “Dalam Madzhab kita (mazhab Syafie) disunnahkan membaca qunut dalam solat Subuh, sama ada musibah ataupun tidak. Inilah pendapat majoriti ulama’ salaf”. (al-Majmu’, juz 1: 504)

doa

Imej via nu

Oleh kerana Malaysia mengamalkan mazhab Imam Syafie, maka, hukum doa qunut pada solat Subuh adalah sunnah ab’ad, yakni ibadah sunat yang jika terlupa dan tertinggal, perlu melakukan sujud sahwi setelah duduk dan membaca tahiyat akhir sebelum salam.

Walaupun terdapat pertentangan berkenaan hukum membaca doa Qunut dalam Solat Subuh, tetapi kita harus tahu bahawa doa Qunut adalah sunnah Nabi saw dan meninggalkannya juga adalah sunnah Baginda. Orang yang bertengkar serta bermasam muka semata-mata kerana bertelagah tentang hukum bacaan doa Qunut dalam solat Subuh sebenarnya tidak mengikut sunnah Nabi saw.

Ulama silam telah membahaskan secara panjang lebar tentang isu-isu ranting seperti doa qunut. Hasilnya, para ulama dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa doa qunut adalah sunat, tetapi pandangan ulama dalam mazhab lain tidak sebegitu.

Mereka berbeza pendapat dalam suasana harmoni. Hukum solat Subuh tetap sah sekalipun dibaca doa qunut ataupun tidak. Sikap mengikut sunnah adalah baik dan mulia, namun ia tidaklah sempit sebegitu.

Sunnah Nabi adalah rujukan dan ia terdedah kepada tafsiran. Maka sikap berlapang dada dan bertoleransi adalah sifat yang paling baik yang perlu kita amalkan.

Doa Qunut Nazilah

Makna Nazilah dari segi Bahasa ialah suatu keadaan yang gawat, mencemaskan dan terdesak. Manakala, dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana yang menimpa ke atas umat Islam seperti adanya musuh, ketakutan, musim kemarau, wabak penyakit atau sesuatu mudharat yang jelas menimpa umat Islam.

Doa Qunut Nazilah ialah doa yang dibacakan setelah ruku’ (sewaktu i’tidal) pada rakaat terakhir solat. Hukumnya sunnah hai’ah (jika terlupa dan tertinggal, tidak perlu sujud sahwi). Qunut Nazilah dilaksanakan kerana ada peristiwa (musibah) yang menimpa, seperti bencana alam atau peperangan.

qunut

Imej via satujam

Terdapat banyak hadis sahih yang menceritakan tentang amalan Nabi saw membaca doa Qunut Nazilah dalam solat ketika ditimpa musibah. Antaranya,

1) Riwayat Abu Hurairah r.a, Abu Hurairah berkata:

“Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahuliman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”.

Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid,
Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf”.
(HR Bukhari dan Ahmad)

Di dalam hadis ini menceritakan bahawa Rasulullah saw mendoakan supaya Allah swt menyelamatkan beberapa orang sahabat Baginda yang masih tinggal di Mekah. Selepas masuk Islam, orang Muslimin diseksa dan diazab oleh kafir Quraish. Dengan keberkatan doa Rasulullah saw, mereka semua selamat dan kemudian terus berhijrah kepada baginda di Madinah.

qunut

Imej via bersamadakwah

2) Riwayat Anas bin Malik r.a, Muhammad bin Sirin berkata:

“Anas bin Malik pernah ditanya: Adakah Nabi saw membaca doa qunut dalam solat Subuh? Jawab Anas: Ya. Ditanya lagi: Adakah baginda berqunut sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab: Selepas rukuk dalam tempoh yang sekejap sahaja.” (HR Bukhari & Muslim)

Yang dimaksudkan dengan ‘tempoh yang sekejap’ ialah selama sebulan seperti yang dijelaskan dalam riwayat ‘Asim. Boleh juga dikatakan maksudnya ialah dalam kadar masa yang sekejap sahaja iaitu tempoh rukuk dan sujud.

Dalam riwayat lain ada menyebut, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi saw pernah mengutuskan seramai 70 orang yang terdiri daripada para qurra’ (yang alim dan mahir dalam bacaan al-Quran).

Kumpulan para qurra’ ini dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut berkata: “Demi Allah, bukan kamu semua yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi saw.”

Kabilah-kabilah tersebut telah menipu dan khianat kepada Rasulullah saw. Mereka telah membunuh semua 70 orang para qurra’ tersebut.

Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda amat sedih. Lalu, baginda berdoa (laknat) ke atas kabilah-kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut. (Rujuk kisah ini dalam Sahih al-Bukhari (4088).

Apakah Bacaan Qunut Nazilah?

Menurut pendapat majoriti ulama’, tidak ada doa khusus yang perlu dibaca di dalam doa Qunut Nazilah. Oleh itu, doa yang dibaca ialah apa yang bersesuaian dengan musibah yang berlaku ketika itu. Sebagai contoh, ketika rakyat Palestin diserang oleh tentera Zionis, kita oleh membaca doa laknat kepada Zionis dan doa keselamatan buat saudara seIslam kita di Palestin ketika dalam solat.

Bolehkah Qunut Nazilah dibaca dalam semua solat fardhu?

Para ulama’ berbeza pendapat di dalam hal ini. Menurut pendapat yang rajih, doa Qunut Nazilah boleh dibaca di dalam semua solat fardhu. Pendapat ini dipegang oleh para ulama’ mazhab Syafie, ulama’ mazhab Hanbali, sebahagian ulama’ mazhab Maliki dan majoriti ulama’ hadis.   Pandangan ini berdasarkan hadis-hadis yang telah dinyatakan sebelum ini.

Sebagai contoh, hadis riwayat Ibn Abbas, Ibn ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di penghujung setiap solat. (HR Ahmad & Abu Daud). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan).

Oleh itu, doa Qunut Nazilah ini boleh dibaca pada rakaat terakhir dalam semua solat fardhu. Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hazm, al-Syaukani dan lain-lain lagi.

Doa Qunut Dalam Solat Witir

Menurut pengikut Imam Abu Hanifah, Qunut Witir dilakukan dirakaat yang ketiga sebelum ruku’ pada setiap solat sunat Witir. Menurut pengikut Imam Ahmad bin Hambal, Qunut Witir dilakukan setelah ruku’. Menurut pengikut Imam Syafie, Qunut Witir dilakukan pada akhir solat witir setelah ruku’ pada separuh kedua bulan Ramadan. Manakala, menurut pengikut Imam Malik, Qunut Witir tidak disunatkan.

Di Malaysia, kita mengikuti fahaman Mazhab Imam Syafie, yang mana Qunut Witir dibaca selepas ruku’ pada rakaat terakhir solat sunat Witir pada separuh kedua Bulan Ramadan.

Bacaan Doa Qunut

bacaan doa qunut

Imej via wahyuadiwinata

Maksudnya: Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.

Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-apa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.

Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.

Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Jemput juga baca artikel menarik lain kami seperti doa untuk anak dan doa selepas solat.

 

Rujukan:

  1. Sunan Official
  2.  Almanhaj
  3. Jom Faham
  4. Hajba
  5. Utusan

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .