Isteri mana yang tak sayangkan suami dan mengimpikan suaminya mengasihi dirinya dengan sepenuh hati? Dalam islam, kita sangat digalakkan untuk berdoa dan memohon kepada-Nya.

Oleh itu, jika anda inginkan sebuah rumah tangga yang bahagia, aman, harmoni, dan penuh dengan kasih sayang, jom amalkan doa pengasih untuk suami yang semua isteri wajib amalkan setiap hari yang ingin kami kongsikan pada hari ini.

doa pengasih
Sumber: Islamsih

Sebelum kami kongsikan doa pengasih untuk suami, jom kami ceritakan dulu adab-adab berdoa yang perlu anda amalkan supaya doa anda lebih cepat naik ke langit, diaminkan oleh para malaikat, dan dimakbulkan oleh Allah. Adab berdoa adalah seperti berikut:

  • Sebelum berdoa, mulakan dengan memuji-muji Allah dan diikuti oleh selawat ke atas nabi.
  • Pastikan niat anda berdoa adalah betul. Betulkan niat.
  • Pastikan anda berdoa bukan dalam cara atau keadaan yang melanggar ajaran islam seperti berdoa di tepi perigi, berdoa di busut, berdoa di atas kubur, dan sebagainya.
  • Berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita meminta dan Allah adalah maha pengasih lagi maha penyayang terhadap hambanya.

#1 Zikir Ya Latif

Latif bermaksud lembut. Apabila anda mengamalkan zikir Ya Latif, maksudnya anda mendoakan agar suami anda menjadi lembut hatinya dan menyayangi anda tanpa berbelah bahagi, tidak mudah marah, dan mengurangkan perselisihan dalam rumah tangga. Anda boleh amalkan membaca zikir Ya Latif sekerap yang mungkin setiap hari.

Tips istimewa untuk anda, baca zikir ini semasa membasuh beras yang dimasak untuk ahli keluarga tersayang. Sebut Ya Latif sambil berniat dalam hati mohon Allah lembutkan hati suami. Sekiranya anak-anak anda selalu bergaduh atau tidak mendengar cakap, boleh juga niatkan sekali untuk anak.

#2 Surah Yassin ayat 36

Surah Yassin merupakan jantung Al-Quran. Alangkah baiknya kalau anda mampu membaca surah tersebut setiap hari. Namun memandangkan gaya hidup kita yang sangat sibuk pada hari ini, mungkin anda tak mampu untuk meluangkan masa untuk membaca keseluruhan Surah Yassin setiap hari. Apa yang boleh anda lakukan ialah membaca ayat ke 36 dari surah tersebut dan niatkan untuk mengikat kasih sayang di antara anda dan suami. Baca sekali sehari sudah memadai, jadikan sebagai amalan harian.

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya”.

#3 Surah Al-Hujurat ayat 13

Doa pengasih untuk suami yang seterusnya ialah ayat ke 13 dalam surah Al-Hujurat. Amalkan membaca ayat ini setiap hari dengan berniat supaya ikatan kasih sayang di antara anda dan suami berkekalan sehingga bila-bila.

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

doa pengasih
Sumber: Pesonapengantin

#4 Surah Ali Imran ayat 14

Doa pengasih untuk suami yang seterusnya ialah Surah Ali Imran ayat ke 14 yang berbunyi seperti berikut:

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

#5 Surah Ali Imran ayat 31

Anda juga boleh menjadikan ayat berikut sebagai doa pengasih untuk suami yang diamalkan setiap hari bagi mendapatkan keluarga yang bahagia. Istimewanya ayat ini, ia adalah di antara ayat yang boleh anda baca sambil berniat supaya suami anda tidak berminat untuk ada kekasih yang lain dan berkahwin lagi satu.

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

#6 Surah Yusuf ayat ke 4

Ayat ini adalah ayat istimewa bagi mengelakkan suami daripada berlaku curang. Jika anda membaca ayat ini setiap hari dengan niat yang betul dan penuh keyakinan, insya Allah suami anda akan menjadi seorang pasangan yang setia. Anda boleh baca ayat ini semasa duduk di sisi suami, kemudian hembuskan ke arahnya.

Maksudnya : “Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.

doa pengasih
Sumber: Pesonapengantin

#7 Surah Toha ayat 39

Ini merupakan ayat ampuh yang boleh anda amalkan setiap hari sambil berniat agar suami anda menjadi seorang yang jujur dan tidak berahsia. Kejujuran dan sikap berterus terang sememangnya di antara perkara yang paling penting dalam rumah tangga. Anda boleh baca ayat paling hujung dalam ayat ini bermula dari perkataan Walqaitu sehingga habis. Anda boleh baca ayat ini semasa duduk di samping suami dan hembuskan ke arahnya.

Maksudnya : Dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Itulah dia doa pengasih untuk suami yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang ucapan hari lahir buat suami, tanda suami curang, dan tanggung jawab isteri.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.