Kedudukan ibu bapa dalam Islam sangat tinggi. Allah swt memerintahkan anak-anak untuk mentaati ibu bapa selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’. Malah, dosa menderhaka kepada ibu bapa dikategorikan seagai dosa-dosa besar. Malah, keredhaan Allah swt juga terletak pada keredhaan ibu bapa. Seperti mana hadis Nabi saw,

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Maksudnya, “Redha Allah terletak pada redha kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.” (HR Tabrani dari Ibnu Umar)

Ibu

Imej via jatiqojatim

Ibu mengandungkan kita selama 9 bulan dengan penuh susah payah. Ditambah pula kesakitan sewaktu melahirkan kita. Setelah bertarung nyawa melahirkan kita ke dunia, ibu tetap berusaha menyusukan dan menjaga kita supaya menjadi anak yang soleh solehah.

Bapa pula tanpa kenal erti lelah, membanting tulang mencari nafkah untuk membesarkan kita. Memberi kita keselesaan, memberi pendidikan yang baik, memberi makan dan minum yang halal lagi baik agar kita membesar menjadi anak yang berguna.

Seperti mana firman Allah swt,

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ وَمَا أَدْرِي مَا يُفْعَلُ بِي وَلا بِكُمْ إِنْ أَتَّبِعُ إِلا مَا وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya, “Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya juga dengan susah payah. Kemudian, ibu menyusuinya hingga dia berusia 30 bulan…” (Surah al-Ahqaf, Ayat 15)

pengorbanan ibu bapa

Imej via dudadara

Itulah sebabnya, betapa Islam meninggikan darjat ibu bapa. Jika dibandingkan dengan wang ringgit, sememangnya tidak akan terbalas segala jasa ibu dan ayah kita selagi hayat dikandung tanah. Allah memerintahkan anak-anak agar sentiasa berlaku baik kepada ibu bapa. Selaku anak, kepatuhan kepada ibu dan bapa itulah, salah satu cara untuk kita membalas segala pengorbanan yang telah ibu bapa berikan kepada kita. Sebagai mana hadis Nabi saw,

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ، قَالَ أَبُوْكَ

Maksudnya, Dari Abu Hurairah ra berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad lalu bertanya, ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi?’ Nabi menjawab, ‘Ibumu.’

Orang itu bertanya lagi, ‘Selepas itu, siapa pula?’ Nabi menjawab, ‘Ibumu.’ Orang itu terus bertanya, ‘Kemudian, siapa lagi?’ Buat kali ketiga, Nabi menjawab, ‘Ibumu.’ Orang itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Nabi menjawab, ‘Bapamu.'” (HR Bukhari dan Muslim)

 

10 Hak Ibu Bapa yang Wajib Dipenuhi

Di dalam Kitab Dorrotun Nasihin, disebutkan 10 jenis hak ibu bapa ke atas anak-anaknya. Hak-hak itu adalah seperti berikut:

  1.   Memenuhi keperluan makannya.
  2.   Melayani semua keperluannya.
  3.   Menjawab panggilannya.
  4.   Mentaati semua perintahnya selagi perintah itu bukan perkara maksiat.
  5.   Berkata-kata dengan lemah lembut dan tidak memarahinya.
  6.   Memberikan pakaian secukupnya.
  7.   Berjalan di belakangnya.
  8.   Berusaha supaya orang tua sentiasa reda kepadanya.
  9.   Tidak menyukai apa yang orang tua tidak suka.
  10.  Berdoa dan memohonkan keampunan untuk ibu bapa dan diri sendiri.

Mendoakan Kebaikan Buat Ibu Bapa

Selain daripada berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa sewaktu mereka hidup, kita juga perlu sentiasa mendoakan kebaikan mereka bukan setakat di dunia, tetapi juga di akhirat. Sekalipun ibu bapa kita telah meninggal dunia, doa buat mereka tidak akan pernah terputus.

Doa

Imej via siraplimau

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah As-Sa’idi RA berkata:

بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا؟ قَالَ: نَعَمْ, الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Maksdunya, “Ketika kami sedang bersama Rasulullah saw, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda saw.

Lelaki tersebut bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal?”

Baginda menjawab: “Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung jalinan silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka.” (HR Abu Daud, Ibn Majah & Ahmad)

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya, “Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.” (HR Muslim)

anak berdoa

Imej via seputarduniaanak

Doa kepada ibu bapa bukan sahaja memberi kebaikan dan keuntungan kepada pihak mereka, tetapi juga memberi kebaikan kepada diri kita sendiri. Seperti mana dalam hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Tidak ada seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya dan memandang wajah kedua orang tuanya dengan perasaan kasih kecuali Allah memuliakan pahala ibadah haji mabrur baginya.

Ibnu Abbas bertanya, ‘Wahai nabi, bagaimana sekiranya anak itu memandang wajah ibu dan bapanya sebanyak 100 kali?’ Nabi menjawab, ‘Lebih besar pahalanya. Sesungguhnya Alah maha besar lagi maha baik.'”

(HR Baihaqi)

Sedangkan memandang wajah kedua ibu bapa dengan perasaan kasih sayang sahaja, Allah sudah memuliakan si anak dengan ganjaran pahala ibadah haji yang mabrur. Inikan pula jika anak mendoakan kebaikan buat ibu bapanya, pasti ganjaran pahala yang Allah beri adalah lebih lagi. InsyaAllah.

Doa Buat Ibu Bapa Dalam Al-Quran

Oleh kerana itu sebagai anak yang berbakti, hendaklah kita sentiasa berdoa untuk ibu bapa kita. Di antara doa-doa untuk ibu bapa yang terdapat dalam al-Quran adalah sebagai berikut:

1) Ayat 24, Surah al-Isra’

رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya, “…Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.’” (Surah al-Isra’, Ayat 24)

2) Ayat 41, Surah Ibrahim

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya, “Tuhan kami, berilah ampun aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim, Ayat 41)

3) Ayat 28, Surah Nuh

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Maksudnya, “Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.” (Surah Nuh, Ayat 28)

4) Ayat 19, Surah an-Naml

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya, “…Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, Ayat 19)

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Doa Kepada Ibu Bapa yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Rujukan:

  1. Media Islam
  2. Perindu Syahid
  3. JAKIM
  4. Rumaysho
  5. Mufti WP

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.