Kita adalah apa yang kita makan. Pastinya anda bersetuju dengan kenyataan ini. Adalah sangat penting untuk kita menjaga pemakanan agar tubuh badan kekal sihat dan cerdas serta mendapat semua nutrien yang diperlukan. Apatah lagi sekiranya anda sedang mengandung. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan diet ibu mengandung terbaik agar bayi lahir dengan sihat dan bijak.

Jangan lupa makan vitamin prenatal yang dibekalkan oleh klinik

Adalah sangat penting untuk anda makan semua vitamin prenatal yang dibekalkan oleh klinik agar anda dan bayi dalam kandungan sentiasa sihat dan mendapat semua nutrien yang diperlukan, terutamanya jika anda sedang mengalami morning sickness dan tidak dapat makan dengan normal seperti biasa. Di antara vitamin yang penting ialah:

  • Asid folik membantu pembentukan saraf tunjang dan sistem saraf bayi terutamanya pada trimester pertama kandungan anda.
  • Zat besi membantu penghasilan sel darah merah agar anda dan bayi dalam kandungan mendapat bekalan darah merah yang secukupnya. Ia juga mengurangkan risiko anda terkena anemia atau penyakit kurang darah merah.
  • Vitamin C membantu meningkatkan imuniti badan anda dan menggalakkan penyerapan zat besi dengan kadar yang optimim agar tiada zat besi yang dibazirkan dan keluar dari badan dalam bentuk najis.
  • B Complex adalah vitamin yang membantu menceriakan dan memberikan mood gembira kepada anda. Selain itu B Complex juga membantu pembentukan sel darah merah dan mengurangkan risiko anemia.
  • Kalsium juga sangat penting bagi memastikan tulang dan gigi bayi dalam kandungan anda terbentuk dengan sempurna selain memastikan tulang dan gigi anda kekal sihat tanpa mereput akibat diserap oleh bayi.

Amalkan pemakanan seimbang mengikut piramid makanan

Adalah sangat penting untuk setiap ibu mengandung mengamalkan amalan pemakanan seimbang mengikut garis panduan yang diberikan oleh piramid makanan. Menurut piramid makanan, diet anda harus terdiri daripada makanan yang mengandungi:

  • Karbohidrat
  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran
  • Protein
  • Produk tenusu
  • Lemak, minyak, gula dan garam dalam kuantiti yang minimum.

Buah-buahan

Selain vitamin prenatal yang dibekalkan oleh klinik, adalah sangat penting untuk ibu mengandung mengamalkan amalan pemakanan yang baik serta mengambil makanan sebenar atau real food. Di antara makanan yang baik untuk ibu mengandung ialah buah-buahan. Pastinya anda nak tahu apakah jenis buah yang terbaik untuk dimakan sepanjang tempoh kehamilan. Berikut ialah di antara buah-buahan yang baik untuk kesihatan ibu mengandung dan membantu perkembangan bayi di dalam kandungan:

  • Buah kurma kaya dengan kalium, serat, fosforus, besi, belerang, magnesium, kalsium, zat besi, serta vitamin B. Kurma membantu menguatkan rahim dan membanyakkan sel darah merah. Selain itu kurma juga memberikan tenaga agar anda lebih cergas bertenaga sepanjang tempoh kehamilan.
  • Epal kaya dengan vitamin A, B1, B2, B3, B5, B6, B9 dan C. Bagi ibu mengandung, kandungan serat yang tinggi dalam buah epal sangat baik untuk mengatasi sembelit. Tak perlu lagi anda makan ubat sembelit. Kalau anda amalkan makan epal setiap hari, anda tidak akan terkena sembelit lagi.
  • Pisang juga sangat baik untuk ibu mengandung. Ia kaya dengan kandungan kalium dan vitamin B6 yang sangat diperlukan bagi perkembangan janin dalam kandungan. Pisang juga kaya serat pektin yang membantu mengatasi masalah sembelit. Sebab itulah anda akan berasa lawas apabila makan pisang.
  • Anggur. Siapa tak suka makan anggur? Rasanya manis dan segar. Anggur mengandungi vitamin A, asid folik, kalium, fosforus, magnesium dan natrium yang baik untuk anda dan bayi di dalam kandungan.
  • Avokado. Buah avokado sedap dimakan begitu sahaja atau boleh juga dijadikan sebagai jus atau salad. Ia kaya dengan asid folik, kalium dan vitamin B kompleks yang sangat membantu dalam menjaga kesihatan tubuh badan ibu yang sedang mengandung dan dalam masa yang sama memastikan per­kembangan janin yang sempurna. Asid folik membantu perkembangan otak dan tulang belakang bayi anda. Pada trimester pertama, avokado membantu mengatasi rasa mual dan muntah bagi ibu yang mengalami morning sickness.

Sayur-sayuran

Selain buah-buahan, sayur-sayuran juga adalah sangat baik untuk ibu mengandung. Di antara sayur-sayuran yang boleh anda amalkan sepanjang tempoh kehamilan ialah:

  • Bayam kaya dengan Folat yang sangat penting untuk perkembangan janin yang sihat selain memastikan perkembangan saraf tunjang dan sistem saraf bayi yang sempurna. Selain folat, bayam juga kaya dengan zat besi, vitamin A, C, dan K.
  • Brokoli kaya dengan serat, oleh itu ia sangat baik untuk mengelakkan dan mengatasi masalah sembelit semasa mengandung. Selain serat, brokoli juga kaya dengan vitamin C, K, A, kalsium, zat besi, folat, dan kalium.
  • Tomato juga sangat baik untuk ibu mengandung memandangkan ianya kaya dengan vitamin c dan antioksida.

Produk tenusu

Ibu mengandung juga perlu memasukkan produk tenusu kedalam diet seharian. Di antara prosuk tenusu yang boleh anda ambil setiap hari ialah susu segar, keju, dan juga yogurt. Jika anda minum susu segar setiap hari, kami cadangkan anda pilih susu rendah lemak kerana ianya lebih baik berbanding susu penuh krim.

"
diet ibu mengandung

Sumber: Medicalnewstoday

Kekacang

Akhir sekali, kekacang juga adalah makanan yang baik untuk diet ibu mengandung. Anda boleh jadikan kekacang sebagai snack selain buah-buahan dan sayur-sayuran. Di antara kekacang yang baik untuk ibu mengandung ialah kacang gajus, kacang badam, kacang tanah, kacang parang, dan sebagainya.

Itulah dia info tentang diet ibu mengandung yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang pantang-larang ibu mengandung, surah amalan ibu mengandung, dan tanda keguguran.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.