Mengalami darah rendah semasa mengandung?

Dari segi perubatan, darah rendah atau anemia berpunca daripada kekurangan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah. Anemia dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras Hb dalam sel darah merah kurang daripada 11gm/dl. 

Hemoglobin mempunyai fungsi yang amat penting kerana ia bertindak sebagai pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan.

Semasa hamil, tubuh akan menghasilkan lebih banyak sel darah merah untuk menyokong perkembangan bayi. Kekurangan Hemoglobin boleh menyebabkan tubuh kekurangan kandungan oksigen, sekaligus mendedahkan ibu mengandung kepada beberapa komplikasi kehamilan.

kurang darah semasa mengandung

Sumber: Todaysparent

Apakah Punca Darah Rendah semasa mengandung?

Masalah darah renddah semasa mengandung boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Di antaranya ialah:

  • Kekurangan zat besi akibat diet pemakan yang tidak seimbang.
  • Kelemahan penyerapan zat besi dalam tubuh.
  • Kesan sampingan akibat kaedah perubatan tertentu.
  • Pembawaan faktor genetik misalnya penyakit talasemia.
  • Kehilangan banyak darah ketika haid atau kehamilan.
  • Masalah hemoglobinopathy  iaitu keganjilan hemoglobin dalam darah.
  • Pendarahan serius akibat ulser perut atau buasir serta parasit.

Apakah simptom atau tanda darah rendah semasa mengandung?

Di antara tanda darah rendah semasa mengandung ialah:

  • Terlalu cepat berasa letih.
  • Kerap pening atau pitam.
  • Mudah rasa berdebar-debar.
  • Kerap berasa sesak nafas.
  • Kulit, muka, bibir atau tangan kelihatan pucat.
kurang darah semasa mengandung

Sumber: Enam

Apakah komplikasi darah rendah semasa mengandung?

Masalah darah rendah semasa mengandung boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi dalam kandungan. Di antara komplikasi yang biasa berlaku ialah:

1. Kekurangan oksigen dan nutrien

Darah rendah semasa mengandung boleh menyebabkan ibu berasa letih, lesu, dan lemah. Anda akan sering terasa pening, sesak nafas, atau berasa sukar untuk fokus. Ia berlaku akibat kekurangan oksigen dan nutrien yang amat diperlukan oleh badan. Wajah seseorang juga cenderung kelihatan pucat serta tidak bermaya.

2. Keguguran

Sekiranya masalah darah rendah berada pada tahap yang serius, tubuh anda akan mengalami masalah untuk meneruskan proses kehamilan lalu menyebabkan keguguran.

3. Tumpah darah semasa bersalin

Tumpah darah semasa bersalin adalah antara komplikasi darah rendah semasa mengandung yang paling digeruni. Jika terlalu banyak darah yang hilang, pemindahan darah terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kematian.

4. Mengganggu tumbesaran & perkembangan bayi

Darah rendah semasa mengandung juga boleh mengganggu proses perkembangan dan tumbesaran bayi yang ada dalam kandungan.

5. Kelahiran bayi kurang berat badan (IUGR)

Darah rendah semasa mengandung juga boleh menyebabkan bayi tidak dapat membesar dengan normal. Bayi yang mempunyai masalah IUGR (IntraUterine Growth Restriction) biasanya lahir dengan berat badan yang kurang daripada normal dan memerlukan perhatian khusus daripada pihak hospital.

kurang darah semasa mengandung

Sumber: Mamamia

6. Kematian bayi dalam kandungan

Darah rendah semasa mengandung juga boleh menyebabkan kematian bayi dalam kandungan.

7. Angin meroyan

Ibu yang mempunyai masalah darah rendah semasa mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami angin meroyan selepas melahirkan.

8. Kematian Ibu

Dalam kes yang paling teruk, masalah darah rendah yang tidak dirawat boleh menjadi punca kematian ibu yang sedang mengandung.

8. Kelahiran bayi pra-matang

Kelahiran bayi pra-matang juga boleh dikaitkan dengan masalah darah rendah semasa mengandung.

9. Tekanan perasaan

Ibu yang mengalami masalah darah rendah semasa mengandung biasanya akan mengalami masalah depresi atau tekanan perasaan.

10. Masalah kesihatan

Darah tinggi dan masalah jantung adalah di antara komplikasi yang disebabkan oleh darah rendah semasa mengandung.

11. Kesan jangka masa panjang kepada bayi dalam kandungan

Menurut pertubuhan WHO, darah rendah semasa mengandung yang serius boleh menyebabkan anak mempunyai perangai yang ganjil dan lemah tahap pembangunan mental berbanding rakan sebaya.

12. Mudah terkena jangkitan

Darah rendah semasa mengandung akan menyebabkan tahap imuniti ibu menurun dan mudah terkena jangkitan.

13. Masalah semasa proses bersalin

Ibu yang mempunyai masalah darah rendah semasa mengandung mungkin akan menjadi cepat letih dan tidak mempunyai cukup tenaga semasa meneran. Ini akan menyebabkan gangguan kepada proses bersalin & ibu terpaksa bergantung kepada peralatan bantuan luar untuk melancarkan proses bersalin.

kurang darah semasa mengandung

Sumber: Conlatca

Bagaimana caranya untuk mengatasi masalah darah rendah semasa mengandung?

Di antara cara untuk mengatasi masalah darah rendah semasa mengandung ialah dengan memastikan anda:

1. Makan makanan tinggi zat besi

Zat besi membantu menghasilkan sel darah merah yang baru sekali gus mengatasi masalah darah rendah semasa mengandung. Di antara sumber makanan yang tinggi  kandungan zat besi ialah:

  • Daging
  • Hati
  • Ayam
  • Limpa
  • Kerang
  • Ikan
  • Sotong
  • Ikan bilis
  • Pegaga
  • Pucuk paku
  • Kangkung
  • Bayam
  • Kailan
  • Kurma
  • Tembikai

2. Mengambil pil hematinik & semua vitamin yang diberikan oleh doktor

Sekiranya anda disahkan mengalami masalah darah rendah semasa mengandung,  doktor akan mempreskripsikan ubatan khas untuk mengatasi masalah ini. Di klinik kesihatan kerajaan, biasanya pil hematinik yang terdiri daripada zat besi, asid folik, vitamin C dan vitamin B kompleks akan diberikan.

Selain 4 jenis pil ini, anda juga mungkin dipreskripsikan dengan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil ini setiap hari mengikut dos yang disarankan oleh doktor.

3. Elakkan makanan yang menghalang penyerapan zat besi

Untuk memastikan penyerapan zat besi berlaku dengan lebih efisyen, elakkan minuman atau makanan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, minuman berkola, atau minuman bercoklat terutamanya dalam tempoh 2 jam selepas pengambilan pil zat besi yang dipreskripsikan.

Susu juga mampu menjejaskan penyerapan zat besi pada tubuh. Oleh itu, anda perlu menjarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya 2 jam selepas memakan ubat.

kurang darah semasa mengandung

Sumber: Wikipedia

4. Makan makanan yang membantu penyerapan zat besi

Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya dengan vitamin C. Oleh itu, anda digalakkan untuk makan pil hematinik bersama air kosong atau jus buah-buahan untuk penyerapan yang optimum. Lebihkan buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C seperti jambu batu, limau, betik, tomato, dan sebagainya dalam hidangan harian.

5. Berjumpa doktor setiap bulan

Akhir sekali, pastikan anda sentiasa mematuhi rutin temujanji kehamilan supaya keadaan anda dapat dipantau oleh doktor.

Itulah dia info tentang darah rendah semasa mengandung yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga perkongsian ini membawa manfaat.Jemput juga baca artikel petua sakit gigi semasa mengandung , petua bersalin normal dan petua mudah bersalin.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.