Apabila anda disahkan mengandung, pastinya anda berasa sangat bahagia dan teruja. Tak kisah sama ada kandungan tersebut adalah yang pertama atau yang kelima, pastinya kehadiran bayi dalam rahim anda akan membuatkan anda mengucapkan kesyukuran kepada Allah.

Sebaik sahaja disahkan mengandung pastinya anda akan mula melakukan persediaan untuk melalui tempoh bersalin dan dalam masa yang sama bersedia untuk kelahiran dan bertemu dengan ahli keluarga baru yang ditunggu.

Salah satu daripada persediaan bagi masyarakat melayu ialah untuk mengadakan majlis cukur jambul dan aqiqah sebagai tanda kesyukuran di atas kelahiran yang selamat.

Bagi ibu bapa yang menyambut anak pertama mungkin anda tertanya-tanya apakah yang perlu disediakan memandangkan ini adalah pengalaman pertama anda. Jika ini adalah anak anda yang kedua atau ketiga, mungkin juga anda sudah terlupa memandangkan sudah lama tidak menimang cahayamata.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan tips dan panduan untuk mengadakan majlis cukur rambut yang paling praktikal untuk anda amalkan. Insya Allah dengan panduan dan tipscukur bayi  yang akan kami berikan sebentar lagi, pastinya majlis anda akan berjalan dengan lancar dan menjadi sebutan para tetamu untuk masa yang lama.

Apakah hukum cukur rambut bayi yang baru lahir?

Menurut sudut pandangan islam mencukur rambut bayi yang baru lahir adalah sunat. Ia bukanlah sesuatu yang wajib, namun ibu bapa yang mencukur rambut bayinya yang baru lahir akan mendapat pahala. Dalam budaya masyarakat melayu, mencukur rambut bayi yang baru lahir adalah seolah-olah satu kewajipan lalu menyebabkan setiap ibu bapa berusaha untuk mengadakan majlis tersebut.

"

Majlis cukur rambut juga biasanya dilakukan sekali dengan majlis aqiqah. Secara positifnya, ibu bapa yang mengadakan majlis cukur rambut akan mendapat pahala yang banyak dengan menjamu para tetamu makan. Sedekah dalam bentuk makanan adalah salah satu bentuk sedekah yang paling afdal di dalam islam.

Kebiasaannya, menurut adat orang dulu-dulu, bayi perempuan akan disunatkan pada hari yang sama dia dicukur rambut dan diaqiqahkan. Bayi akan disunat oleh bidan atau orang tua yang berpengalaman. Namun pada hari ini kebanyakan ibu bapa memilih untuk menyunatkan anak di klinik oleh doktor yang bertauliah.

Bilakah waktu yang paling afdal untuk mencukur rambut bayi?

Waktu yang terbaik untuk mencukur rambut bayi adalah pada hari ketujuh selepas kelahiran. Malah biasanya nama bayi juga diberikan pada hari ini. Walau bagaimana pun tidak menjadi masalah untuk melakukan upacara mencukur rambut bayi pada tarikh yang lain. Di Malaysia, kebiasaannya majlis cukur jambul dilakukan setelah habis pantang iaitu selepas 44 hari bagi memastikan bayi sudah matang dan cukup besar dengan antibodi yang sudah kuat untuk berjumpa dengan para tetamu.

Apa yang lebih penting, ibu juga sudah boleh memakan lauk yang disediakan semasa majlis berjalan. Kalau majlis cukur rambut dilakukan pada hari ketujuh, ini bermakna si ibu masih berpantang dan hanya mampu melihat lauk-pauk yang dijamu tanpa peluang untuk merasa.

cukur rambut bayi

Sumber: Tentangyaya

Perlukah seluruh rambut bayi dibotakkan atau cuma sedikit rambut dibuang adalah mencukupi?

Di antara soalan yang sering diutarakan berkenaan upacara mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan adalah sama ada wajib untuk membotakkan seluruh rambut bayi atau cukup setakat memotong sedikit rambutnya? Jawapan untuk soalan ini ialah hukum membotakkan seluruh kepala bayi yang baru dilahirkan adalah sunat, bukannya wajib. Ini bermaksud ibu bapa tidak akan menanggung dosa sekiranya tidak membotakkan rambut anaknya yang baru lahir namun jika dibotakkan, ibu bapa tadi akan mendapat pahala.

Dari sudut pandangan orang lama dan tradisi masyarakat melayu, rambut bayi yang barul lahir perlu dibotakkan dan semua rambut yang keluar dari perut perlu dibotakkan. Ini kerana rambut tersebut dianggap sebagai tidak bersih malah jika dibiarkan akan menjadi rambut yang tidak berapa cantik serta mudah rosak dan cepat beruban.

Orang tua juga percaya bahawa rambut dari dalam perut yang tidak dibotakkan akan cepat gugur lalu menyebabkan masalah keguguran rambut sehingga botak apabila bayi tersebut tua kelak.

Adakah wajib menyedekahkan emas dengan nilai timbangan rambut yang dicukur seperti amalan biasa masyarakat kita?

Pastinya anda biasa mendengar amalan menimbang rambut bayi yang dicukur dan dinilaikan dengan harga emas atau perak semasa. Anda tertanya-tanya adakah ia wajib untuk dilakukan? Hukum untuk melakukan perkara tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Ini selari dengan sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Tirmidzi)

Islam adalah agama yang indah. Tidak mungkin agama kita mewajibkab ibu bapa untuk bersedekah emas atau perak mengikut berat timbangan rambut bayi yang dicukur kerana ianya mungkin membebankan ibu bapa dari segi kewangan. Jika anda mampu, bolehlah bersedekah kepada fakir miskin. Jika tidak mampu, cukup jika anda tanam rambut tadi di tempat yang bersih dan sesuai.

Kesimpulan

Itulah dia info tentang cukur rambut bayi: tips dan panduan perlu anda tahu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tips turunkan demam kuning bayi, masalah bayi mempunyai tongue tie, dan petua bayi yang karut.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.