Wabak virus Corona terbaru dipanggil CoVid-19 yang kini sudah diisytiharkan sebagai pandemik kepada seluruh dunia oleh WHO ternyata memberi kejutan dan kebimbangan orang ramai.

Ketahui lebih lanjut mengenai coronavirus dari segi simptom, punca dan rawatan yang perlu anda tahu, terutamanya berkenaan virus jenis CoVid-19 ini.

Pengenalan

Virus Corona ialah sejenis virus dalam famili Coronaviridae yang mempunyai maklumat genetik disimpan dalam bentuk RNA (dalam bahasa mudah berbentuk seperti DNA, bezanya RNA hanya ada satu jalur). Setiap virus Corona dibezakan dengan jujukan pada RNA tersebut.

Rajah skema virus Corona. Imej via AsiaTimes

Sebagai gambaran, keseluruhan rupa virus ini berbentuk seperti ‘buah rambutan’ dengan analoginya,

  • kulit rambutan itu sama dengan envelop yang memberi bentuk sfera virus yang terdiri daripada lapisan lemak,
  • bulu rambutan itu ialah reseptor protein virus, manakala
  • isi buah rambutan itu ialah kandungan RNA virus.

Nama Corona diberi sempena penampakan virus ini di bawah mikroskop yang menyerupai lapisan korona pada matahari. Saintis memerhatikan bahawa terdapat lingkaran gelap di sekeliling virus tersebut.

Pembentukan ‘lapisan korona’ pada virus ini diperhatikan muncul sebagai tanda virus ini ‘membiak’ menghasilkan virus yang baru dengan cara menjangkiti sel bersebelahan dan menjadikannya sebagai perumah (hos) bagi mereka untuk hidup.

"
coronavirus

(a) Imej virus CoVid-19 di bawah mikroskop dan (b) jangkitan virus CoVid-19 pada sel manusia (ditandakan dengan anak panah). Imej daripada kertas kajian Zhu et al. (2020)

Jangkitan virus Corona ke atas manusia kebiasaannya tidak memudaratkan sehinggalah dua jenis virus betacorona muncul dan menjadi epidemik yang menggegar dunia perubatan dan kesihatan awam iaitu SARS dan MERS. Terdapat lebih 10 000 kes kumulatif dengan kadar kematian 10% bagi SARS dan 37% bagi MERS sejak dua dekad yang lalu.

Pada Disember 2019, kita dikejutkan dengan kemunculan virus Corona baharu yang ditemui di Wuhan, China dengan jujukan RNA yang belum pernah dilaporkan apabila dibandingkan dengan jujukan RNA virus Corona yang lain seperti SARS dan MERS. Pesakit yang dijangkiti oleh virus Corona yang novel atau baharu ini rata-rata mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia, seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Banyak negara sudah mula terjejas dengan kemunculan virus ini dan melakukan perintah berkurung atau kawalan pergerakan apabila laporan kematian seluruh dunia sudah mencecah ribuan nyawa dan data jangkitan pesakit yang saban hari meningkat di negara-negara seperti China, Amerika Syarikat, Itali, Jepun, Korea Selatan dan negara lain termasuklah Malaysia.

Punca Jangkitan Virus Corona

Bagi kes jangkitan SARS dan MERS, masing-masing dipindahkan kepada manusia melalui musang dan unta. Virus tersebut asalnya datang dari kelawar.

Penularan jangkitan virus Covid-19 pula dikaitkan berpunca dari pasar basah yang menjual makanan laut dan pelbagai haiwan eksotik di Wuhan, daerah Hubei, China. Saintis turut mengesyaki bahawa virus CoVid-19 turut datang dari kelawar sebagaimana SARS dan MERS.

Menurut Kampf et al. (2020), virus Corona boleh menjangkiti manusia biarpun berada di permukaan objek tidak bergerak dengan jangka hayat sehingga 9 hari dalam bentuk titisan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, melalui sentuhan sesama manusia atau memasuki sistem tubuh manusia pada bahagian hidung, mata dan mulut.

Simptom Jangkitan Coronavirus

Simptom klinikal antara CoVid-19 dengan jangkitan virus betacorona terdahulu mencatatkan beberapa persamaan sebagaimana yang dilaporkan oleh Huang et al. (2020). Secara umum, kebanyakan pesakit akan menunjukkan tanda-tanda seperti:

  • Demam
  • Batuk kering
  • Dyspnoea (kesukaran bernafas)

Namun, terdapat juga beberapa laporan kes pesakit CoVid-19 dengan simptom baharu pada bahagian saluran pernafasan atas  seperti:

  • Rhinorrhea (hidung berair/hingus)
  • Bersin
  • Sakit tekak

Tidak seperti kebanyakan pesakit SARS dan MERS yang akan mengalami diarrhoea (cirit-birit), pesakit CoVid-19 jarang menunjukkan simptom masalah pencernaan tersebut.

Tambah memburukkan, antara komplikasi yang dihidapi oleh pesakit CoVid-19 adalah seperti berikut:

  • Masalah respiratori (paru-paru)
  • Masalah jantung
  • Masalah buah pinggang
  • Jangkitan lain
  • Shock (aliran darah yang kurang dalam tisu badan)
coronavirus simpton

Kemerosotan paru-paru pesakit akibat pneumonia pada hari pertama disahkan jangkitan (a) dan pada hari ke-9 (b). Imej imbasan CT daripada kertas kajian Zhu et al. (2020).

Secara khususnya, gejala jangkitan yang biasa dikesan (mungkin berbeza mengikut individu) CoVid-19 mengikut hari jangkitan disenaraikan seperti berikut:

Hari 1 – 3 

  • Gejala seperti ‘masuk angin’
  • Sakit kerongkong ringan
  • Masih boleh makan dan minum macam biasa

Hari ke-4

  • Badan seperti ‘mabuk’
  • Suara mulai serak
  • Suhu badan mula naik
  • Gangguan tabiat pemakanan
  • Sakit kepala ringan
  • Gangguan pencernaan ringan

Hari ke-5

  • Mula demam ringan dengan suhu badan bertambah
  • Batuk dengan lendir atau batuk kering
  • Sakit tekak ketika menelan makanan atau bercakap
  • Muntah
  • Sengal pada sendi atau jari

Hari ke-7

  • Demam panas
  • Kerap batuk dan berkahak
  • Sakit kepala
  • Muntah teruk

Hari ke-8

  • Demam panas melebihi 38 C
  • Dada terasa berat ketika bernafas
  • Batuk berterusan
  • Sakit-sakit otot seluruh badan

Hari ke-9

  • Gejala tidak berubah tetapi bertambah teruk
  • Demam panas bertambah
  • Kesukaran bernafas

Rawatan Jangkitan Virus Corona

Setakat ini, tiada rawatan khusus atau vaksin yang boleh digunakan untuk membunuh virus CoVid-19 ini. Hanya rawatan sokongan pemulihan yang diberikan untuk membantu sistem pertahanan badan melawan jangkitan virus ini. Antara rawatan sokongan tersebut ialah:

  • Terapi antiviral
  • Terapi antibiotik
  • Alat sokongan pernafasan (oksigen)
  • Alat bantuan buah pinggang

Pembasmian Virus Corona

Imej via Bidadari

Bagi membasmi kehadiran virus Corona, penggunaan air sabun sudah memadai. Mekanisme pembasmian menggunakan air sabun ialah dengan melunturkan komponen minyak pada virus (bahagian ‘kulit rambutan’) apabila komponen hidrofobik (tidak larut air) pada sabun akan melarutkan komponen lemak tersebut.

Penggunaan hand sanitizer yang mengandungi alkohol sebenarnya bertindak dengan cara yang sama apabila alkohol yang bersifat hidrofobik boleh melarutkan dan memusnahkan komponen lemak virus.

Bezanya dari segi kos apabila anda boleh menggunakan air sabun yang jauh lebih murah berbanding hand sanitizer untuk tujuan yang sama.

Oleh itu, amat penting bagi mencuci tangan dengan air sabun bagi mengelakkan virus Corona daripada memasuki kawasan laluan jangkitan (hidung, mata, mulut) kerana secara statistiknya, kita menyentuh muka dengan tangan sebanyak 2000 kali sehari!

Namun, tempoh cucian tangan dengan air sabun mestilah sekurang-kurangnya, minimum 20 saat untuk memastikan tangan kita bebas virus. Terdapat beberapa eksperimen ringkas dijalankan yang membandingkan masa cucian tangan dengan jumlah virus yang dikesan di tapak tangan, dengan hasilnya mendapati bahawa 20 saat (boleh guna tips nyanyi 2 kali lagu Happy Birthday = 20 saat) ialah tempoh minimum untuk membunuh semua virus Corona di bahagian tangan tersebut.

Kesimpulan

Banyak pengajaran yang boleh diambil dengan berlakunya pandemik CoVid-19 ini terutamanya dari segi penjagaan diri dan pengurusan sewaktu musim kecemasan. Di samping itu, orang ramai diminta untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan khususnya saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Arahan Larangan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan juga perlulah dipatuhi.

#StaySafe #StayAtHome #ThisTooShallPass

Rujukan

  1. Huang, C., Wang, Y., Li, X., Ren, L., Zhao, J., Hu, Y., … & Cheng, Z. (2020). Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China. The Lancet395(10223), 497-506. (link)
  2. Kampf, G., Todt, D., Pfaender, S., & Steinmann, E. (2020). Persistence of coronaviruses on inanimate surfaces and its inactivation with biocidal agents. Journal of Hospital Infection. (link)
  3. Zhu, N., Zhang, D., Wang, W., Li, X., Yang, B., Song, J., … & Niu, P. (2020). A novel coronavirus from patients with pneumonia in China, 2019. New England Journal of Medicine. (link)

*Jemput juga baca artikel lain seperti punca kolestrol dan batuk kering kanka-kanak

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.