Sahabat yang baik merupakan orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita, tetapi tidak memiliki hubungan pertalian darah dengan kita. Dalam erti kata lain, sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik tetapi merupakan hubungan yang hampir sama dan serupa seperti hubungan persaudaraan antara adik-beradik.

Maksud Dan Konsep Sahabat Yang Baik

ciri sahabat yang baik
Imej via [kidengage]

Sahabat yang baik juga merupakan orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita dan kita juga mungkin akan memberi manfaat kepadanya. Mereka akan sentiasa melindungi kita walau apa jua yang berlaku.

Sahabat adalah seorang yang setia kawan, boleh membantu apabila kita berada di dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita serta mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita.

Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan kita, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukan dirinya. Sahabat adalah orang yang membuatkan kita berasa selamat apabila mereka ada bersama-sama, sebab mereka adalah orang yang sangat setiakawan. Sahabat adalah orang yang sangat menyayangi kita dengan seadanya.

Sahabat kadangkala adalah penjaga, pelindung dan semangat mereka akan sentiasa ada bersama kita walaupun ada ketikanya kita berjauhan daripada mereka. Tak cukup dengan itu, jom lihat pula 20 ciri-ciri sahabat yang baik di dunia dan akhirat.

sahabat yang baik
Imej via [kepogaul]

1. Sentiasa Ada Waktu Untuk Kita

Seorang sahabat sejati selalu ada untuk kita dan sentiasa bersedia untuk berada dengan kita pada bila-bila masa. Apatah lagi di saat kita memerlukannya untuk meluahkan kesedihan, meminta bantuan mahupun meminta pendapat daripada dirinya.

Dia tidak akan mencari alasan dan melengahkan waktu untuk anda sehinggakan waktunya yang sibuk pun dikatakan tidak sibuk hanya untuk meluangkan waktu untuk anda.

2. Dapat Menjaga Rahsia Dengan Baik

Antara ciri-ciri sahabat yang baik dunia akhirat juga adalah dapat menjaga rahsia dengan baik. Seorang sahabat sejati adalah tempat yang paling baik untuk menyimpan rahsia dan merupakan orang yang paling kita percaya.

Bahkan bermati-matian untuk terus menyimpan rahsia itu sampai bila-bila. Oleh itu, sudah tentu sahabat sejati ini bukan sesekali pengkhianat kepada kita!

3. Sering Bersama Kita Walau Apapun Terjadi

Apapun yang terjadi pada kita, seorang sahabat yang sejati tidak akan meninggalkan kita walau apa pun yang terjadi. Tujuannya bersahabat adalah kerana Allah dan dia akan selalu berada dengan kita dalam setiap keadaan yang bermasalah, gembira dan sebagainya.

Andai kita jatuh sekalipun dia sentiasa ada untuk membangunkan dan membangkitkan kita kembali dari kejatuhan pada bila-bila masa dengan ikhlas dan niatnya adalah kerana Allah S.W.T. Itulah ciri-ciri sahabat yang baik dunia dan akhirat.

ciri sahabat yang baik
Imej via [viva]

4. Penyokong

Seorang sahabat sejati akan memulihkan keadaan dengan membantu kita sedaya upayanya. Ciri-ciri sahabat yang baik juga adalah sebagai seorang penyokong. Andai kata anda mendapat kejayaan atau tidak, dialah yang akan menyokong anda dengan ikhlas dan hati terbuka.

Mereka juga sentiasa menyokong tak kira apa jua keputusan anda, asalkan perkara tersebut tidak memudaratkan kedua-dua pihak. Dengan adanya penyokong yang baik, pasti kerjaya dan urusan anda menjadi lebih mudah.

5. Pemberi Semangat

Ciri-ciri sahabat yang baik juga akan sentiasa memberi semangat tidak kira waktu. Dikala anda sedang jatuh, dialah yang akan memberi kata-kata semangat untuk anda. Tentunya anda akan rasa bersemangat apabila mendengar ucapan atau nasihatnya kepada anda.

6. Sentiasa Kelihatan Ceria

Walaupun dalam menghadapi masalah, seorang sahabat sejati akan berusaha untuk menutupi masalahnya itu agar dapat kelihatan ceria dan gembira apabila bersama kita setiap masa.

Dia mampu melindungi kesedihan itu tanpa diketahui dan dibimbangi oleh sahabatnya yang lain agar tidak merosakkan hari sahabatnya tidak kiralah hari penting ataupun tidak. Dia juga mungkin akan berkongsi dengan kita kerana percayakan kita.

ciri sahabat yang baik
Imej via [titikdua]

7. Rela Dan Boleh Menerima Nasihat

Ciri sahabat yang baik juga tidak akan marah dan menyesal sekalipun dirinya dibenci atas tegurannya yang membawa kebaikan sesuatu perbuatan kepada kita. Mereka akan rela dan boleh menerima nasihat untuk kebaikan.

Sahabat yang baik faham akan tujuan utamanya adalah untuk tidak terus membiarkan mereka melakukan kesalahan dan mengulangi kesilapan. Selain itu, mereka juga pemberi ingatan yang baik dan setia kepada kita dalam semua perkara.

8. Sering Mengajak Ke Arah Kebaikan

Jangan terkejut, sahabat yang baik juga akan selalu mendorong kita untuk membuat kebaikan di jalan yang benar serta dirahmati oleh Allah s.w.t. Dia juga tidak akan membiarkan kita untuk lalai mendirikan solat, berpuasa serta meninggalkan ibadah lain. Mengajak kita untuk melakukan aktiviti ataupun perkara yang berfaedah juga tidak terkecuali.

9. Sentiasa Bersyukur Dan Menghargai

Ciri sahabat yang baik akan sentiasa bersyukur bersahabat dengan anda. Pendek kata, mereka akan menghargai anda dan menyayangi perhubungan persahabatan ini.

Di samping itu, sahabat yang baik akan sentiasa menceritakan kebaikan anda kepada teman anda yang lain. Mereka juga tidak akan menceritakan keburukkan anda.

ciri sahabat yang baik
Imej via [fimela]

10. Sedia Memaafkan Perbuatan Dan Kesalahan Anda

Sahabat yang baik akan sentiasa memaafkan perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh anda. Mereka akan menegur perbuatan anda agar tidak mengulanginya lagi. Ciri sahabat yang baik adalah memaafkan dimana mereka juga tidak akan memperbesarkan masalah yang ditimbulkan oleh anda.

11. Sentiasa Bertanya Khabar

Sahabat yang baik juga sentiasa bertanya khabar mengenai sahabatnya yang lain. Pertalian silaturahim dan ukhwah yang dibina akan berkekalan sampai bila-bila. Mereka juga akan sentiasa ingin mendengar berita ataupun khabar yang gembira daripada anda. Itulah ciri-ciri sahabat yang baik dunia dan akhirat.

12. Sentiasa Mengalah

Sering mengalah apabila terjadinya salah faham demi menjaga persahabatannya dengan anda adalah ciri-ciri sahabat yang baik. Apabila keadaan sudah reda, mereka akan memberi tahu situasi perkara yang berlaku dengan cara yang baik.

ciri sahabat yang baik
Imej via [dakwatuna]

13. Tidak Suka Mengampu

Dia setuju dengan semua yang anda lakukan asalkan perkara tersebut tidak salah  dan berani untuk menjelaskan kebenaran di hadapan anda. Sahabat yang baik juga tidak suka menghina dan tidak merendahkan diri anda walau apapun yang terjadi. Apabila di belakangmu, dia tidak menceritakan keburukan tentang diri anda.

14. Tidak Hipokrit

Ciri sahabat yang baik juga adalah ikhlas dalam persahabatan. Mereka tidak bersikap talam dua muka, tidak mengungkit hal-hal masa lampau, atau hal-hal hari yang mendatang. Mereka tidak akan mendapatkan simpati daripada sahabatnya dengan kata-kata kosong. Apabila diminta untuk membantu, mereka akan bersedia untuk membantu anda.

15. Mengenali Diri Anda Lebih Baik Dari Orang Lain

Siapa kata tiada orang yang fahamkan diri anda? Sahabat yang baik tidak hanya mengenali anda di luaran sahaja tetapi dia juga mampu melihat potensi yang ada dalam diri anda. Mungkin anda sendiri pun tidak terlalu menyedari tentang potensi tersebut, tetapi mereka melihatnya. Mereka juga sentiasa mengingati segala yang anda luahkan atau ceritakan kepada mereka.

ciri sahabat yang baik
Imej via [suratkabar]

16. Sentiasa Jujur Dalam Semua Perkara

Sahabat yang baik sentiasa berani menegur kesalahan anda dan menyampaikan fakta yang sebenarnya meskipun berisiko untuk menyinggung perasaan anda. Ibarat seperti besi menajamkan besi, sahabat yang baik akan sentiasa membantu untuk saling menajamkan satu sama lain. Mereka juga tidak akan menyembunyikan hal-hal yang tidak diketahui oleh anda.

17. Sentiasa Membantu Anda

Sahabat yang baik tidak akan cemburu dan menjatuhkan anda, tetapi mereka sentiasa membantu anda. Lebih hebat lagi, ciri-ciri sahabat yang baik adalah memanfaatkan sahabat masing-masing. Pasti lengkap apabila anda menyempurnakan sesuatu yang kurang pada sahabat anda.

18. Ikhlas Dalam Persahabatan

Perasaan yang tulus dan ikhlas perlu ada dalam sesebuah persahabatan. Ciri sahabat yang baik adalah perilakunya tidak dibuat-buat dan realistik. Apa yang tidak baik dan tidak elok, sahabat pasti akan menegur anda. Sebagai contoh, anda memakai pakaian, sahabat anda akan memberikan teguran bahawa pakaian tersebut tidak sesuai untuk anda atau warnanya kurang menarik dan sebagainya.

Namun harus diingatkan, apabila anda berada di pihak sahabat anda tadi, nasihatkanlah dengan lembut dan tidak terlalu menusuk hati kerana perkara tersebut dapat menyakiti hati sahabat anda.

ciri sahabat yang baik
Imej via [kumparan]

19. Tidak Bersaing Dengan Anda

Ketahuilah bahawa ciri-ciri sahabat yang baik adalah mereka yang selalu menyokong antara satu sama lain. Memang kadang-kadang sesama sahabat juga bersaing namun ketika salah satunya menang yang lain akan turut gembira dan tidak mencemuh yang kalah.

Jika anda menemui sahabat jenis macam ni sebaiknya jangan pernah kecewakan mereka ya? Itulah ciri-ciri sahabat yang baik dunia akhirat.

20. Tidak Mengharapkan Apa-Apa Balasan

Seseorang yang membantu anda tanpa jemu dan tidak menginginkan upah apa pun dari anda amat sukar ditemui. Sekiranya anda memiliki sahabat seperti ini, sila hargai mereka dan membantu mereka tanpa jemu! Ciri-ciri sahabat yang baik akan ada pada sahabat jenis sebegini.

Kesimpulannya, sahabat yang baik ibarat sebiji beras di padang pasir yang luas dan amat sukar mencarinya. Bersahabatlah dengan baik dan niatkan sehingga dunia akhirat. Mudah-mudahan, hubungan persahabatan ini sangat berguna dan membantu anda kini dan kemudian hari.

Jom baca juga Cara kurangkan waktu melepak, Punca pembuangan bayi, Langkah mengatasi pembuangan bayi dan Hadiah ibu dan ayah.

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.