Anda bakal bergelar raja sehari? Seawal 6 bulan sebelum majlis keramat tersebut, seeloknya anda sudah mula membuat persiapan. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan checklist kahwin yang boleh menjadi panduan anda supaya takde yang tercicir.

checklist kahwin

Sumber: Twsflorist

1. Tarikh perkahwinan

Perkara paling utama yang perlu anda lakukan ialah menetapkan tarikh majlis perkahwinan di belah pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Bagaimana dengan majlis akad nikah? Adakah anda akan lakukan upacara akad nikah pada hari yang sama dengan majlis bersanding, atau anda memilih untuk melakukan upacara akad nikah pada sebelah malam & diikuti oleh majlis resepsi pada keesokan harinya?

Bagaimana dengan majlis di belah pengantin lelaki? Jika jarak lokasi antara majlis pengantin lelaki dan pengantin perempuan adalah dekat, majlis untuk pihak pengantin lelaki boleh dilakukan pada keesokan harinya sementara sauda-mara masih ada. Namun ianya pasti akan memenatkan semua pihak.

Pilihan kedua ialah mengadakan majlis belah pengantin lelaki pada minggu seterusnya namun ianya akan menyebabkan suadara-mara yang jauh terpaksa datang dua kali, dan mungkin akan ada yang tidak akan menyertai rombongan anda pergi ke majlis pengantin lelaki.

Apa pun, buat keputusan yang terbaik untuk semua pihak.

2. Lokasi majlis perkahwinan

Selain tarikh majlis akad nikah dan resepsi, lokasi majlis perkahwinan juga tidak kurang pentingnya. Anda sudah boleh tentukan di mana majlis akad nikah akan diadakan. Adakah anda memilih untuk diijab kabulkan di masjid, di rumah, atau di lokasi resepsi sejurus sebelum majlis resepsi bermula?

Bagaimana pula dengan lokasi untuk majlis resepsi? Adakah anda akan mengadakan kenduri di kawasan rumah ibu bapa tercinta atau anda berniat untuk menyewa dewan supaya majlis anda nampak lebih grand? Atau mungkin anda nak buat majlis lain daripada yang lain dengan mengadakan majlis di taman?

Sekiranya anda memilih untuk menyewa dewan, atau di taman, pastikan anda sudah membuat tempahan selewatnya 6 bulan sebelum tarikh majlis bagi memastikan tiada pihak lain menggunakan dewan tersebut pada hari istimewa anda.

checklist kahwin

Sumber: Rojakdaily

3. Kursus perkahwinan

Di Malaysia, semua bakal pengantin baru diwajibkan untuk memiliki sijil kursus perkahwinan. Kursus perkahwinan biasanya diadakan selama 2 hari, dan anda boleh pilih untuk menghadiri kursus pada hari sabtu & ahad supaya tidak mengganggu urusan kerja.

Anda juga boleh memilih sama ada mahu menyertai kursus perkahwinan anjuran pejabat agama atau kursus perkahwinan swasta. Harga kursus perkahwinan swasta adalah lebih mahal berbanding kursus perkahwinan yang disediakan oleh pejabat agama.

4. Pejabat agama

Setelah anda mendapat tarikh untuk majlis akad nikah, dan sesudah menghadiri kursus perkahwinan, anda boleh terus pergi ke pejabat agama mukim anda akan menjalankan majlis untuk membuat permohonan berkahwin. Prosedurnya tidak susah. Anda cuma perlu mengambil borang, isi maklumat yang diperlukan, dan kemudian hantar ke pejabat agama tersebut untuk pengesahan.

Sekiranya bakal suami anda sudah mempunyai isteri, bagi sesetengah negeri, kebenaran isteri pertama adalah salah satu daripada syarat permohonan berkahwin.

5. Ujian saringan HIV

Jangan lupa untuk melakukan ujian saringan HIV untuk dihantar bersama dalam borang permohonan perkahwinan. Tujuan ujian saringan ini ialah untuk mengelakkan jangkitan HIV kepada pasangan akibat hubungan seks selepas menjadi suami isteri yang sah. Sekiranya salah seorang daripada anda disahkan HIV positif, terpulang kepada anda sama ada mahu meneruskan majlis atau memilih untuk membatalkannya.

6. Tema majlis perkahwinan

Dah ada tarikh pekahwinan, dah ada lokasi, permohonan perkahwinan pun dah dibuat, kini tiba masanya untuk anda menentukan tema untuk majlis resepsi anda. Anda sukakan majlis bertema tradisional, english, atau moden dengan bungaan segar? Selain tema majlis, anda juga perlu memilih warna untuk majlis yang bakal diadakan. Anda sukakan warna ungu yang romantik? Atau lebih sukakan warna merah yang nampak menyerlah? Atau mungkin anda lebih berminat dengan warna kuning diraja memandangkan anda dan bakal suami merupakan raja sehari pada majlis tersebut?

7. Tempahan baju pengantin & pelamin

Dah ada tema dan warna pilihan untuk majlis resepsi, sekarang anda boleh membuat tempahan baju pengantin dan pelamin. Baju pengantin dan pelamin biasanya akan dipilih bersesuaian dengan tema. Sebagai contoh, sekiranya anda memilih majlis bertemakan tradisional, baju songket adalah lebih sesuai untuk majlis anda. Untuk majlis resepsi bertemakan moden, gaun panjang & kot adalah pilihan yang tepat.

Selain baju pengantin, jangan lupa untuk memilih aksesori seperti tiara dan kasut. Untuk pelamin, sekali lagi anda berkesempatan untuk memilih design yang simple atau pun design yang sarat. Terpulang kepada selera anda.

checklist kahwin

Sumber: Pesonapengantin

8. Tetamu jemputan

Sekarang tiba masanya untuk anda menentukan tetamu jemputan yang akan diundang ke majlis istimewa anda. Berapa ramai yang nak dijemput? Siapa yang nak dijemput? Anda nakkan majlis kecil  dyang dihadiri oleh saudara-mara dan rakan rapat sahaja atau anda nakkan majlis besar-besaran dan menjemput siapa sahaja yang anda kenal?

9. Tempahan kad kahwin

Dah dapat jumlah tetamu yang nak dijemput, anda boleh membuat tempahan kad kahwin. Anda pasti rambang mata melihat design kad kahwin moden yang serba cantik.

10. Tempahan catering

Jangan lupa untuk membuat tempahan catering untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang. Pastikan anda merasa dulu sample makanan sebelum memilih catering.

11. Hantaran

Tiba masanya untuk anda menentukan berapa jumlah hantaran dari pihak lelaki dan perempuan, dan apa yang nak diisi di atas dulang. Dah dapat senarai barang hantaran, anda boleh mula membeli sedikit demi sedikit. Kalau nak murah, beli semasa jualan murah.

12. Pengapit

Anda nak pilih siapa sebagai pengapit anda nanti? Jangan lupa untuk buat pilihan awal-awal supaya tak pening untuk buat keputusan pada saat terakhir.

Itulah dia checklist kahwin yang ingin kami kongsikan kepada anda. Anda juga boleh baca perkongsian kami tentang tips memilih barang hantaran, rukun nikah, dan tips keluarga bahagia.

 

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.