ibu hamil

Imej via inspiradata

“Aduhhh… Kuatnya sayang mama tendang perut mama.”

Inilah situasi yang perlu dihadapi oleh setiap ibu hamil apabila kandungannya telah masuk bulan ke-4. Janin pada waktu ini sudah sempurna sifatnya. Malah, Islam menyatakan setelah janin berusia 4 bulan, roh telah ditiupkan ke dalam jasadnya. Ini bermakna, janin itu sudah bernyawa.

Pergerakan janin dalam kandungan bukan sekadar penghibur hati buat ibu. Tetapi ia juga adalah suatu perkara penting yang menjadi petanda bahawa bayi dalam kandungan anda aktif dan selamat. Itulah sebabnya, apabila kandungan anda memasuki 28 minggu, anda akan dikehendaki untuk mencatat pergerakan janin dalam buku pink atau buku catatan kehamilan yang dibekalkan oleh pihak klinik setiap kali anda melakukan pemeriksaan bulanan (monthly check-up).

 

Apakah Pergerakan Yang Dilakukan Oleh Janin Di Dalam Rahim?

Imbasan ultrabunyi (ultrasound) boleh menunjukkan apa yang sedang dilakukan oleh bayi anda. Kebanyakan pergerakan bayi bermula sejak usia kandungan 2 bulan, tetapi waktu ini ibu tidak dapat merasai pergerakannya kerana saiz janin yang masih kecil.

ultrasound

Imej via hellosehat

Dari minggu ke-7 hinga ke-20

Pada usia ini, bayi anda mula membuat pergerakan am, seperti membengkokkan badan ke tepi dan bergerak apabila terkejut. Bayi anda juga mula menggerakkan tangan atau kaki dengan sendiri, menghisap dan menelan. Dia boleh melentur dan memalingkan muka, mengangkat tangan untuk menyentuh mukanya, menganga dan mengeliat, menguap dan menggerakkan matanya.

Secara beransur-ansur, pergerakan bayi anda menjadi cukup kuat untuk anda rasai. Malah, semakin bertambah usia kandungan, semakin kerap bayi anda menendang apabila dia meregangkan tangan dan kakinya. Namun, bayi anda tidak akan bergerak sepanjang masa kerana ada masa tertentu, bayi akan berehat dan tidur.

Dari minggu ke-20 hingga ke-24

Ketika ini, anda akan menyedari bahawa bayi anda lebih aktif pada siang hari di mana dia banyak membuat pergerakan menendang dan balik kuang (somersault).

Dari minggu ke-24 hingga ke-28

Karung amnion (ketuban) anda pada ketika ini mengandungi sebanyak 750ml cecair. Hal ini membolehkan bayi bergerak secara bebas. Anda juga mungkin menyedari bahawa dia akan terkejut apabila mendengar bunyi kuat secara tiba-tiba.

Pada minggu ke-29

Bayi anda akan mula membuat pergerakan kecil yang lebih mantap, disebabkan dia sekarang dalam keadaan agak terhimpit dalam rahim anda.

Pada minggu ke-32

Anda mungkin menyedari pergerakan bayi anda memuncak ketika ini. Tendangannya semakin kuat namun jarang-jarang. Ini adalah normal kerana dia tidak mempunyai banyak ruang untuk bergerak.

Mulai kira-kira minggu ke-36

Pada masa ini, bayi anda akan menetapkan posisinya dengan meletakkan kepala ke bawah. Ini berlaku terutama sekali bagi kehamilan pertama kerana otot-otot abdomen dan rahim anda masih kuat dan dapat mengekalkan kedudukan tersebut. Pergerakan utama yang anda akan rasa pada peringkat ini ialah pukulan tangan dan kaki bayi, dan dia juga akan membuat tendangan kuat yang agak memeritkan pada tulang rusuk anda.

Sekiranya ini bukan kehamilan anda yang pertama, otot abdomen anda tidak begitu kuat lagi dan oleh itu bayi anda akan sering mengubah posisinya sehingga tiba tarikh anda dijangka bersalin.

Dari minggu ke-36 hingga ke-40

Badan bayi kini lebih besar dan pergerakan memusing akan berkurangan. Mulai sekarang, bayi anda sudah tetap pada posisinya dalam pelvis anda dan sedang menunggu masa untuk membuat perjalanan keluar. Anda mungkin rasa kepalanya seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis anda.

 

Carta Pergerakan Janin

carta

Imej via AsianParent

Carta pergerakan janin seperti yang terdapat dalam buku pink adalah method pemantauan pergerakan bayi dalam kandungan. Ibu wajib mencatatnya setiap hari tanpa gagal bermula dari kandungan 28 minggu sehingga bayi dilahirkan. Ia perkara penting kerana kita tidak nampak keadaan bayi dan hanya ibu sahaja yang ‘rasa’ sama ada bayi sihat atau tidak.

Melalui carta pergerakan janin ini, kitab oleh menilai kebiasaan pergerakan bayi dalam kandungan. Sekiranya ibu merasakan bayi kurang aktif atau kurang pergerakan seperti kebiasaan, ibu perlu ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Ini kerana, bayi kurang gerak membawa tanda bahawa keadaannya kurang sihat. Mungkin keadaannya terbelit tali pusat, dijangkiti kuman atau faktor lain yang membuatkan janin tidak sihat.

 

Cara Mengira Pergerakan Janin

pergerakan bayi

Imej via healthyvitagarden

  1. Kiraan bermula pada jam 9 pagi setiap hari. Waktu kiraan perlu sama setiap hari.
  2. Pantau pergerakan anak dalam tempoh 12 jam. Ini bermakna, anda perlu memantau pergerakan janin bermula jam 9 pagi hingga 9 malam. Dalam tempoh tersebut, anda perlu kira 10 gerakan yang kuat atau tendangan bayi.
  3. Terdapat petak yang perlu diisi oleh ibu pada carta pergerakan janin iaitu petak tarikh, masa bermula dan perlu tandakan ✔️ pada kotak kecil yang bernombor 1 hingga 10 yang mewakili gerakan kuat bayi. Perlu genap 10 gerakan setiap hari.
  4. Pergerakan yang dikira adalah pergerakan yang kuat sahaja. Jika selepas itu, berlakunya gerakan kecil atau bayi berpusing, ia tetap dikira satu gerakan.
  5. Ibu hanya perlu ✔️ tanda ini sahaja dalam 10 petak kecil itu. Tidak perlu tandakan selain daripada simbol ✔️ atau melekatkan sticker di situ.
  6. Apabila cukup genap 10 gerakan, anda perlu catat jam berapa gerakan ke-10 itu berlaku. Perlu jujur tulis jam berapa anda mengesan gerakan ke-10 bayi anda. Ini sangat penting untuk melihat pola pergerakan bayi anda.
  7. Rutin ini wajib dilakukan oleh ibu hamil sehingga selamat melahirkan. Anda tidak boleh culas walaupun sehari.

 

Adakah Pergerakan Janin Anda Normal?

Melalui carta pergerakan janin, kita boleh lihat pola pergerakan bayi anda. Kebiasaannya, jam 4,5,6 atau 7 malam, 10 gerakan janin sudah lengkap. Bayi juga kebiasaannya melakukan 1-2 tendangan kuat atau gerakan dalam masa 1 jam. Namun, kadang kala bayi akan tidur untuk tempoh masa tertentu. Jika anda tidak dapat merasai gerakan dalam masa 1 jam, ia masih lagi normal kerana kemungkinan bayi anda sedang tidur. Namun, sekiranya dalam masa 3 jam berturut-turut, anda masih tidak merasai tendangan bayi, anda boleh segera ke klinik/hospital untuk pemeriksaan lanjut.

 

Selain itu terdapat juga 2 keadaan yang menentukan pergrakan janin anda tidak normal.

1) Lebih lambat daripada biasa

Jika kebiasaannya pergerakan bayi anda lengkap 10 gerakan pada jam 4-5 petang, namun pada satu hari, gerakan bayi anda hanya lengkap pada jam 9 malam atau selepas jam 9 malam, makan ini adalah pergerakan yang tidak normal.

2) Lebih cepat daripada biasa

Jika satu hari, anda merasakan pergerakan bayi anda terlalu aktif, sehinggakan 10 gerakan telah lengkap terlalu awal (contoh, jam 11 pagi telah lengkap 10 gerakan), ini juga adalah pergerakan yang tidak normal.

Sekiranya anda mendapati pergerakan bayi anda tidak normal, anda perlu segera ke klinik/hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Ini kerana, kita tidak tahu apa yang terjadi pada bayi di dalam kandungan. Hanya doktor di klinik/hospital sahaja yang boleh melakukan pemeriksaan ultrasound atau cardiotograph CTG untuk mengetahui keadaan bayi.

 

Adakah Ibu Perlu Pantau Pergerakan Janin Setelah Lengkap 10 Gerakan?

Ya. Ibu masih perlu memantau pergerakan janin sekalipun 10 gerakan telah lengkap untuk hari tersebut. Sebagai contoh, anda tidak merasa sebarang gerakan bayi selama 4 jam berturut-turut bermula jam 8 malam hingga 12 malam, maka ia juga satu perkara yang tidak normal.

 

Perlu segera ke klinik/hospital (bahagian kecemasan bersalin) sekiranya:

1) Tidak cukup 10 gerakan dlam tempoh 12 jam.

2) Gerakan bayi sangat cepat daripada kebiasaan.

3) Gerakan bayi sangat perlahan daripada kebiasaan.

4) Bayi tidak melakukan sebarang gerakan dalam tempoh 3 jam berturut-turut.

 

Rujukan:

  1. Baby Center
  2. The Asian Parent

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Carta Pergerakan Janin yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Penulis: Aniuna

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.