Setiap orang yang memiliki rumah, premis perniagaan termasuk kedai, hotel dan restoran, tanah kosong dan sebagainya perlu membayar cukai pintu. Namun cukai pintu ini hanya perlu dibayar oleh pemilik yang mana asetnya terletak di dalam kawasan Majlis.

Oleh itu, sekiranya anda ingin membeli rumah atau kedai ‘second hand’, pastikan pemilik asal sudah menyelesaikan segala bayaran tunggakkan cukai pintunya. Pertukaran hak milik perlu dilakukan kerana selepas tukar nama, aset itu akan menjadi milik anda. Anda pula perlu membayar cukai pintu tersebut.

Artikel ini akan berkongsi cara tukar nama cukai pintu boleh dilakukan. Diharapkan penulisan ini dapat membantu memberikan sedikit sebanyak maklumat tentang cukai pintu.

Apa Itu Cukai Pintu?

Cukai pintu juga dipanggil sebagai cukai taksiran. Ia merupakan bayaran yang dikenakan ke atas pemilik atau penghuni pegangan berkadar yang terletak di kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis.

Malah, jika kita memiliki bangunan atas tanah yang tiada dokumen hak milik berasingan, cukai pintu tetap perlu dibayar. Selain itu, cukai pintu juga perlu dilunaskan jika kita memiliki tanah rizab untuk tujuan awam.

Nilai cukai pintu bergantung kepada jenis bangunan, keluasan lantai, lokasi, bahan-bahan pembinaan dan kegunaan bangunan.

"

Cara-Cara Tukar Nama Cukai Pintu

Jika kita membeli bangunan rumah kedai atau rumah secara langsung dengan pemaju, tiada masalah untuk tukar nama cukai pintu. Ini kerana anda merupakan pemilik pertama aset tersebut. Bagaimana pula jika anda membeli aset ‘second hand’?

Pembeli aset ‘second hand’ perlu membuat beberapa pertukaran nama pada dokumen dan bil. Antaranya ialah cukai pintu. Ramai yang terlepas pandang aspek paling penting ini.

Sebagai pemilik yang baru, anda perlu pergi ke Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran untuk membuat pertukaran nama dalam rekod cukai pintu. Di bawah ini disenaraikan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan.

Sebelum Membeli Bangunan atau Tanah Kosong

Buat semakan dengan Majlis untuk mengetahui pemilik yang berdaftar dan sebarang tunggakkan yang berbaki bagi aset tersebut. Di bawah Seksyen 146 Akta 171, menegaskan bahawa semua jumlah tunggakkan menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu.

Oleh itu, sebelum membuat sebarang urus niaga pembelian, pastikan dengan agen yang dilantik untuk menyemak sebarang tunggakkan. Jika masih ada tunggakkan, minta pemilik asal menyelesaikan bayaran dulu.

Cara Tukar Nama oleh Pemilik Asal

Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh pemilik asal bangunan atau tanah tersebut, iaitu:

a. Isi Borang I dan J yang boleh didapatkan di kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah yang berkenaan. Boleh juga dimuat turun dari laman web Majlis Daerah.

b. Lampirkan dengan salinan penuh semua muka surat S & P (Perjanjian Jual Beli) atau salinan geran.

c. Pastikan Borang I dan J diisi dengan lengkap termasuk nombor kad pengenalan, nombor telefon dan ditandatangani oleh penjual dan pembeli.

d. Telah menjelaskan bayaran semasa cukai pintu dan semua tunggakkan yang terlibat.

Cara Tukar Nama Atas Dasar Kasih Sayang

Ada juga kes yang melibatkan pemberian aset seperti rumah atas dasar kasih sayang yang melibatkan pewarisan harta, hadiah dan sebagainya. Untuk situasi ini, apa yang perlu dilakukan oleh pemilik dan penerima?

a. Penerima pindah milik perlu memberi notis dalam Borang I, Jadual Pertama, Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

Notis perlu diberikan dalam tempoh 3 bulan selepas pindah milik disempurnakan sebelum tukar nama dalam bil cukai pintu boleh dibuat.

b. Pemilik pula perlu kemukakan Borang 14A (Borang Pindah Milik Tanah, Bahagian atau Pajakan).

Borang tersebut mestilah lengkap ditandatangani dan diperakui sah salinannya bagi membuktikan kesahihan pindah milik tersebut.

Jika Pemilik Asal Meninggal Dunia

Harta yang belum ditukar milik, tempoh 3 bulan diberikan untuk membuat pertukaran nama. Namun, jika pemilik asalnya telah meninggal dunia, tempoh masa dilanjutkan selama 1 tahun.

Jika gagal membuat pertukaran dalam tempoh yang diberikan, denda akan dikenakan.

Bayaran Proses Pindah Milik

Anda perlulah membuat bayaran untuk setiap proses pindah milik. Bayaran bergantung kepada negeri. Misalnya Johor (RM 50.00), Selangor (RM 20.00) dan sebagainya.

Bayaran juga boleh dibuat menggunakan cek atau wang pos (sila rujuk negeri masing-masing).

Dokumen-Dokumen yang Diperlukan untuk Tukar Nama

Pastikan anda menyediakan kesemua dokumen ini untuk memudahkan proses tukar nama dijalankan, iaitu:

a. Borang permohonan pindah milik

b. Salinan geran hak milik terkini, surat perjanjian jual beli atau Borang 14A dan resit bayaran di Pejabat Tanah dan Galian.

c. Salinan Cukai Pintu terkini

d. Salinan kad pengenalan pemilik baru

e. Surat pengesahan pemilik (tuan tanah) yang disetemkan bersama salinan kad pengenalan bagi tanah yang disewakan daripada pemilik.

f. Bayaran proses mengikut negeri

Tempoh Proses Tukar Nama

Nama pemilik yang baru akan diproses dan seterusnya dibilkan dalam tempoh 2 minggu (14 hari) melalui surat atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Cara Bayaran Cukai Pintu

Anda boleh membuat bayaran cukai pintu melalui beberapa kaedah, iaitu:

a. Perbankan Internet

b. Kad kredit

c. Kad debit

d. Kiosk dan Terminal Tanpa Tunai

e. Cek

f. Tunai di kaunter

g. Bank draf

Diharapkan perkongsian tentang cara tukar nama cukai pintu untuk pembelian aset ‘second hand’ ini memberi maklumat yang berguna kepada para pembaca. Jangan terlalu seronok untuk membeli harta tanpa mengambil kira aspek yang penting ini.

Jika sambil lewa saja, kita sebagai pemilik baru pula yang terpaksa menanggung tunggakkan pemilik asal. Oleh itu, dapatkan maklumat yang lengkap daripada agen yang dilantik.

Ini kerana jika tukar nama telah dilakukan, secara automatik kita yang bertanggungjawab atas semua hutang yang ditinggalkan. Oleh itu, ambil langkah berjaga-jaga dengan menyemak di Majlis Daerah atau Perbandaran tentang rekod bayaran pemilik asal.

Jangan lupa kongksikan artikel ini kepada rakan-rakan atau saudara mara yang ingin membeli aset ‘second hand’.

*Jemput juga baca artikel tentang dekorasi rumah dan cara servis aircond rumah

Rujukan

Soalan Lazim Cukai Taksiran. https://www.mdhs.gov.my/ms/mdhs/pusat-media/pengumuman/soalan-lazim-cukai-taksiran (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.