Sebagai seorang manusia, pastinya kita akan berterima kasih dan sangat menghargai hadiah ataupun pemberian orang lain kepada kita. Inikan pula seorang hamba kepada Tuhan Maha Pencipta.

Sujud syukur adalah salah satu cara untuk memanifestasikan perasaan penghargaan kepada Allah swt atas berita gembira yang terima ataupun sebagai tanda berterima kasih sekiranya kita terlepas daripada musibah.

sujud syukur

Imej via detikmedia

Dari Abu Bakrah ra, bahawa Nabi Muhammad saw kebiasaannya akan terus sujud kepada Allah swt apabila menerima berita yang mengembirakan. Sheikh Ibnu Utsaimin dalam Fatawa Islamiyyah (1/205) mengatakan,

“Sujud Syukur dilakukan kerana selamat dari sesuatu musibah atau menerima nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih).”

 

Hukum Sujud Syukur

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakar ra:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah swt. (HR. Abu Daud)

Sujud syukur bukan sahaja amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw sahaja. Malah para sahabat Baginda juga mengamalkan sunnah ini. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar ra sujud syukur ketika pembukaan Yamamah.

Begitu juga Ali ra telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah swt.

sujud

Imej via siraplimau

Hukum sujud syukur adalah sunat. Ia hanya dilakukan apabila kita menerima perkhabaran gembira yang jarang berlaku dan ketika kita terlepas daripada sesuatu musibah. Sebagai contoh, ketika kita mendapat tawaran pekerjaan, lulus dalam ujian, menang dalam pertandingan ataupun apabila kita menerima berita bahawa rumah kita terselamat daripada kebakaran.

Namun, bagi rezeki yang kita memang dapat setiap hari seperti dapat makan atau dapat gaji setiap bulan, hal ini tidak disunatkan untuk sujud syukur. Sekiranya kita buat sujud syukur untuk hal-hal seperti ini, ia boleh dianggap bida’ah kerana Nabi Muhammad saw tidak melakukannya.

 

Cara Sujud Syukur

Cara melakukan sujud syukur sangat mudah.

  1. Perlulah berniat terlebih dahulu untuk melakukan sujud syukur.
Niat Sujud Syukur

Imej via siraplimau

  1. Kemudian bertakbir sepertimana takbiratul ihram.
  2. Kemudian sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Anda boleh membaca tasbih seperti dalam solat ketika sujud. Kemudian boleh tambah bacaan tahmid untuk menyatakan rasa kesyukuran kepada Allah swt.
  3. Kemudian bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan terus memberi salam. Tidak disyaratkan untuk membaca tasyahhud dan tidak juga disunatkan untuk membacanya.
Cara sujud syukur

Gambar dari buku Ensiklopedia Solat (Telaga Biru)

 

Adakah Sujud Syukur Perlu Menghadap Kiblat dan Berwudhu’?

Melalui hadith, kita dapat tahu bahawa Nabi saw terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’.

Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda saw kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi saw terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.

Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah swt. Ianya dilakukan secara serta-merta. Jika memerlukan kepada wudhu’, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Oleh itu, anda tidak perlu berwudhu’ mahupun menghadap kiblat untuk melakukan sujud syukur. Sebaik sahaja anda menerima sesuatu berita gembira, anda boleh terus melakukan sujud syukur serta-merta tanpa perlu pergi mengambil wudhu’ mahupun mencari arah kiblat.

 

Khilaf Ulama’

Namun begitu, Di dalam kitab fiqh Syafi’e dan juga Hanbali menyebutkan bahawa sifat serta kaifiyat sujud syukur itu adalah seperti mana sujud tilawah di luar solat. Oleh itu, bagi yang ingin melakukan sujud syukur mestilah dalam keadaan berwudhu’, menutup aurat, bersih dari sebarang najis bagi tubuh badan, pakaian serta tempat sujud dan perlulah menghadap kiblat.

Memandangkan sujud syukur ini adalah termasuk dalam bab ibadah, maka perbahasan antara Ulama’ itu adalah perkara yang biasa. Menurut fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Ke-136, Mufti melihat pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wudhu’ dan juga menghadap ke arah kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwudhu’ dan menghadap kiblat.

Boleh sahaja bagi mereka yang menerima khabar gembira seperti mendapat anak, lulus peperiksaan, naik pangkat untuk terus sujud menzahirkan rasa syukur kepada Allah swt. Begitu juga seseorang yang terselamat dari kecelakaan jalan raya, sembuh dari penyakit, boleh terus sujud menzahirkan rasa syukur serta lega dari kemudaratan yang tidak menimpa ke atasnya.

Jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wudhu’ serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.

 

Kesimpulan

Sebagai hamba kepada Tuhan Yang Memberi Rezeki, sememangnya banyak sebab kenapa kita perlu bersyukur. Dengan bersyukur, kita dapat menghindarkan perasaan riak dan sifat besar diri. Kita akan sentiasa sedar diri bahawa kita hanya hamba, segala rezeki yang diberi Allah swt hanyalah amanah dan pinjaman yang Allah berikan pada kita di dunia ini.

Malah, dengan bersyukur, Allah akan senantiasa menambahkan nikmat yang diberikan, namun bila kita mengingkari nikmat yang Allah berikan maka sesungguhnya azab Allah sangat pedih.

“Sesungguhnya barang siapa yang bersyukur, maka akan Kutambah nikmatmu, dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Sujud syukur bukan sahaja sebagai tanda kita berterima kasih kepada Allah swt, tetapi juga salah satu cara kita mengamalkan sunnah junjungan besar Nabi Muhammad saw.

 

Rujukan:

  1. Mufti WP

 

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .