Bulan Ramadhan tiba lagi. Sebagaimana biasa bulan Ramadhan yang penuh berkat ini adalah bulan untuk para umat Islam mengandakan pahala dalam beribadah.

Amat rugi rasanya jika bulan Ramadhan dibiarkan berlalu tanpa menunaikan solat terawih. Hukum mengerjakan sembahyang Tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

qiamullail
Image Via : Bidadari

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’.

Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 enam belas ataupun dua puluh rakaat. Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan.

Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga ke akhir penghujung malam.

Image Via : Bimbingan Islam

Tapi bagaimana pula dengan golongan wanita yang sukar untuk ke masjid bagi menunaikan solat terawih berjemaah? Selalunya para wanita ini rasa tak mampu untuk solat jemaah di masjid berdasarkan beberapa perkara.

● Punya anak yang masih kecil maka sangat sukar untuk membawa bersama si kecil ke masjid.

● Sukar untuk solat di awal waktu kerana perlu selesaikan dulu kerenah anak meragam dan sebagainya.

● Bekerja seharian di pejabat dan pulang menyambung tanggungjawab di rumah. Maka sudah sangat letih untuk ke masjid kerana perlukan rehat terlebih dahulu.

Jangan risau, Islam itukan mudah! Jika ada anak yang masih kecil boleh saja untuk kerjakan solat terawih sendirian di rumah. Sememangnya solat seorang wanita Muslimah itu lebih afdal dan lebih baik di rumahnya. Rasulullah telah bersabda. Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya”.

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”

PANDUAN SOLAT SUNAT TERAWIH SENDIRIAN DI RUMAH UNTUK PARA WANITA

1 – Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat terawih atau qiyam Ramadhan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Lafaz niat tersebut adalah :

أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
“Sahaja aku menunaikan solat sunat terawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

2 – Bilangan rakaat mengikut kemampuan sendiri. Anda boleh buat seberapa banyak yang anda termampu. Antara jumlah rakaat yang sering dikerjakan adalah lapan, dua puluh, enam belas (8, 16, 20) atau sebagainya.

Oleh kerana solat terawih dilakukan dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki.

3 – Untuk pembacaan di dalam solat terawih pula, apa yang wajib adalah surah al Fatihah manakala surah-surah berikutnya adalah pilihan anda sendiri dan ia adalah sunat. 

Untuk lebih mudah faham, bacaan-bacaan di dalam solat boleh juga sama sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Yang berbeza dalam solat terawih ini adalah niatnya sahaja. 

4 – Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

5 – Sekiranya solat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya.  Tidak perlu tergesa-gesa dengan niat untuk banyakkan jumlah rakaat, sebaliknya lakukan solat dengan penuh adab dan hayatilah bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya.

Sekiranya selepas 4 rakaat anda solat, tiba-tiba anak menangis lapar susu, tiada masalah kerana anda boleh berhenti dan menyusukan anak anda terlebih dulu. Setelah itu, bolehlah anda tu sambung lagi baki 4 rakaat.

LAKUKAN SOLAT WITIR SELEPAS USAI TUNAIKAN SOLAT TERAWIH

Selepas menunaikan solat terawih, jangan lupa untuk gunakan peluang baik di bulan Ramadhan ini untuk mengerjakan solat Witir. Solat witir ini terdiri daripada 3 rakaat.

Solat Witir adalah salah satu solat sunat yang sangat dituntut untuk dikerjakan. Hukum solat Witir adalah Sunnat Muakkad. Jumlah maksima solat witir itu ialah 11 rakaat (6 salam), sebaik-baiknya 3 rakaat (2 salam) dan sekurang-kurangnya satu rakaat sahaja.

Namun tidak boleh dilakukan secara sekaligus 3 rakaat ini sebagaimana menunaikan solat Maghrib. Cara solat witir yang betul adalah dulu 2 rakaat kemudian diikuti dengan 1 rakaat pula.

Jika berniat hendak melakukan qiyamullail, boleh tangguhkan solat witir selepas selesai qiyamullail tersebut kerana solat witir adalah penutup kepada solat-solat sunat yang lain.

● Niat Solat Sunat Witir Dua Rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunnat witir dua rakaat kerana Allah Taala”

● Niat Solat Sunat Witir Satu Rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَةً لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunnat witir satu rakaat kerana Allah Taala”

● Zikir Selepas Solat Witir [30 kali]
سُبْحَانَ اللَّهُ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ

Selesai 3 rakaat witir, bolehlah di baca doa.

● Doa Solat Witir
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu,dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu,dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu.Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai..

Selesailah sudah Solat Tarawih dan Witir. Alhamdulillah. Sekiranya pada tengah malam anda ingin menyambung untuk Solat Tahajud, tidak menjadi masalah walaupun anda sudah melakukan Solat Witir.

Image Via : Hijab n Heels

Solatlah mengikut kemampuan dengan tidak terlalu memaksa diri. Lebih baik anda solat 8 rakaat dengan kusyuk daripada anda solat 20 rakaat yang tidak kusyuk. Solat ni untuk dekatkan diri pada Allah jadi jika solat dalam keadaan tak tenteram dan tak selesa kerana anak sedang mula meragam, apalah gunanya.

Cara terbaik lakukan solat di tengah malam setelah anak nyenyak lena. Setidaknya anda tidak akan berasa risau anak terbangun dan anda juga boleh solat sambil menunggu masa untuk mula sediakan menu bersahur. Jangan rasa bersalah kerana tidak tunaikan di masjid kerana terawih di rumah seorang diri juga turut dilihat oleh Allah SWT.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Isteri dan ibu kepada 6 cahayamata. Berpendidikan di dalam bidang bisnes dengan kerjaya tetap sebagai penulis bebas. Gemar berkongsi mengenai sirah Islam, isu rumahtangga dan keibubapaan berdasarkan pembacaan dan pengalaman sendiri.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.