Nabi Muhammad SAW wafat kira-kira 1428 tahun yang lalu namun baginda tinggalkan kita dengan dua mukjizat yang sangat hebat iaitu Al-Quran dan sunnah.

Walaupun kita tidak pernah bertentang mata dengan kekasih Allah SWT itu, kita akan tetap berada di bawah panduan hidup yang benar andai kita mengamalkan al-Quran dan sunnah.

Al-Quran merupakan kalam Allah  yang Allah SWT wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan hidup seorang mukmin sejati. Manakala sunnah secara definisi dalam bahasa Arab ialah arus yang lancar dan mudah.

Sunnah nabi merangkumi segala amalan dan cara hidup Nabi Muhammad SAW iaitu dari segi pertuturan kata, cara makan dan sebagainya

Antara amalan sunnah yang amat digalakkan adalah solat sunat. Solat sunat merupakan antara tanda kita sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt dan membuktikan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagi mereka yang cintakan Rasulullah SAW akan sedaya upaya mengikut segala sunnah yang ditinggalkan baginda.InsyaAllah hari ini kita akan kupaskan mengenai solat sunat yang agak dilupakan iaitu solat sunat tasbih.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan solat sunat tasbih ini kepada Saidina Abbas bin Muththalib.

Solat sunat tasbih merupakan solat sunat yang mempunyai 300 kali ucapan tasbih dibacakan dalam 4 rakaat.

Baginda SAW bersabda :
“Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaatatau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.“

HR. A bu Daud dan Ibnu Majah

Berdasarkan hadith diatas, kita digalakkan untuk menunaikan solat tasbih dengan kerap namun andai ada keterbatasan yang tidak dapat dielakkan, sekurang-kurangnya tunaikanlah sekali seumur hidup .

Solat sunat tasbih dilakukan sedikit berbeza apabila dilaksanakan pada siang hari dan malam hari. Pada siang hari, kita hendaklah mengerjakan 4 rakaat dengan satu salam.

Manakala apabila kita lakukan pada malam hari masih 4 rakaat cuma ia ditunaikan dengan 2 rakaat setiap satu salam.

Cara melakukan solat sunat tasbih masih seperti solat sunat biasa namun, kita menambah bacaan tasbih disetiap pergerakan yang tertentu.

Solat sunat tasbih dimulakan dengan niat dan diakhiri dengan salam.

10 Langkah Cara Solat Sunat Tasbih Pada Waktu Malam

Solat Sunat Tasbih

Imej : Aamiraaimer

  • Lafaz niat

a) Solat Sunat Tasbih pada malam hari

Niat Solat Tasbih 2 rakaat :

“Sahaja aku sembahyang sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala”

b)Solat Sunat Tasbih pada siang hari

Niat Solat Tasbih 4 rakaat :

“Sahaja aku sembahyang sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala”

  • Membaca doa iftitah , surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah-surah yang bersesuaian antara yang dicadangkan adalah; al-Takathur, Al-Asr, Al-Kafirun dan Al-Ikhlas.
Bacaaan solat tasbih

Imej via Azhan

  • Seusai membaca surah bacalah tasbih seperti di atas sebanyak 15 kali
  • Kemudian ruku’ dan selepas bacaan ruku’, bertasbihlah sebanyak 10 kali
  • Sesudah membaca bacaan I’tidal , tasbih dibaca sebanyak 10 kali
  • Ketika selesai membaca bacaan sujud, teruskan dengan bertasbih 10 kali
  • Ketika duduk diantara dua sujud, selepas membaca doa duduk diantara dua sujud, bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
  • Selepas bacaan sujud kedua,bacalah tasbih sebanyak 10 kali
  • Sebelum bangun untuk teruskan rakaat kedua, duduk sebentar dan bertasbihlah sebanyak 10 kali.<
  • Akhiri dengan doa tasbih.

Doa Solat Tasbih Dan Terjemahan

Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, jadikan aku daripada golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazaman ku seperti mana orang-orang yang takut.

Dan aku bermohon sepeti mana pemohon orang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak.  Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau.

Ya Allah,  ku bermohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehingga aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadaMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau sebagai Pencipta.

Bilangan tasbih pada setiap rakaat ialah 75 tasbih;

  • Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
  • Rukuk – 10 kali tasbih
  • Iktidal – 10 kali tasbih
  • Sujud pertama – 10 kali tasbih
  • Duduk antara 2 sujud – 10 kali tasbih
  • Sujud kedua – 10 kali tasbih
  • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud, – 10 kali tasbih.

Sekiranya anda keliru atau terlupa dengan jumlah bacaan tasbih disetiap pergerakan, tidak menjadi masalah.

Anda hanya perlu gantikan bacaan tasbih ditempat seterusnya dan pastikan jumlah tasbih yang sudah dibaca setelah selesai solat ialah 300 kali. Islam itu mudah dan indah.

Solat Sunat Tasbih tidak dilakukan secara berjemaah kerana Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat sunat tasbih secara bersendirian.

Kelebihan Bertasbih

Bertasbih atau memuji Allah SWT merupakan satu zikir yang mudah dibaca namun amat tinggi nilai ganjaran pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Ahzaab ayat 35:

“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Bertasbih dapat menyucikan jiwa kita dari penyakit hati seperti perasaan dengki, sedih dan selalu rasa kekosongan. Sekiranya jiwa kita diisi dengan kalimah yang indah seperti tasbih insyaAllah kita akan sentiasa merasa tenang dan damai.

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang diciptakan dengan penuh kasih sayang rugilah sekiranya masa yang dipinjamkan Allah SWT tidak dimanfaatkan sebaiknya. Sedangkan seluruh alam bertasbih kepada Allah SWT, apa lagi alasan yang ingin kita berikan.

Mungkin solat sunat tasbih tidak begitu didendangkan seperti solat sunat dhuha atau solat sunat yang lain, namun sebagai seorang khalifah di bumi Allah tidak salah andai kita praktiskan di dalam rutin harian hidup kita.

Sumber Rujukan :

  1. AkidahIslam.com
  2. JalanAkhirat
  3. Shafiqolbu
  4. Fatwairsyadbrunei
  5. Siraplimau
  6. JabatanAgamaIslam

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.