Sedap sungguh menu berasaskan daging. Macam-macam resepi ada. Sup daging. Tomyam daging. Paprik daging. Daging masak kicap. Namun sayangnya tiap kali masak sendiri, ada saja masalahnya. Daging liat walau pun dah lama masak atas dapur. Naik kering kuah.

Nak kata salah daging, dah beli daging segar. Jika anda selalu mengalami masalah ini, ketahuilah bahawa yang sebenarnya masakan daging anda liat disebabkan oleh cara potong daging yang salah.

Ramai yang tak tahu bahawa selain pemilihan bahagian daging yang lembut dan tidak berurat, cara memotong daging juga mempengaruhi keempukan daging yang dimasak. Jika dipotong dengan cara yang betul, daging akan terasa empuk dan mudah dimakan namun jika tersalah cara pemotongan, daging akan liat dan susah untuk dikunyah. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan tips dan cara potong daging yang sebenar untuk anda cuba.

cara potong daging

Sumber: Bidadari

Kenal pasti urat atau ira daging

Sebelum memotong daging, anda perlu kenal pasti dulu ke mana arah urat atau ira daging. Kebiasaannya kita akan dapat melihat urat daging yang berwarna putih memandangkan ia adalah sangat kontra dengan warna daging yang merah. Adalah sangat penting untuk anda mengenal pasti arah urat daging kerana untuk mendapatkan daging yang lembut dan empuk, anda perlu memotong daging berdasarkan arah urat atau ira tadi. Dah berjaya kenal pasti arah urat daging? Kita pergi kepada langkah seterusnya.

Potong dalam arah bertentangan dengan urat

Setelah anda berjaya mengenal pasti arah urat, sekarang anda boleh mula memotong daging. Nak daging yang lembut dan empuk? Potong daging pada arah bertentangan dengan urat tadi, bukannya selari dengan urat. Jika anda memotong daging mengikut urat, hasilnya daging yang dimasak akan menjadi keras dan liat walau berapa lama anda memasak di atas api dapur. Oleh itu, jangan lupa tips ini.

Buang semua lemak dan urat pada daging

Selain memotong daging dalam arah berlawanan dengan urat, anda juga perlu membuang semua lemak dan urat yang ada pada daging. Ini kerana lemak dan urat yang dibiarkan akan menjadi liat lalu menyebabkan masakan anda susah untuk dimakan. Buang lemak dan urat yang besar dengan pisau secara perlahan-lahan agar tidak ada daging yang dibazirkan. Membuang lemak dan urat adalah agak remeh dan mungkin mengambil masa yang lama namun percayalah bahawa ianya merupakan satu usaha yang sangat berbaloi apabila daging yang anda masak empuk dan lembut.

"
cara potong daging

Sumber: Alaf21

Tips lembutkan daging

Selain cara memotong daging yang betul iaitu dengan memotong berlawan arah daripada urat, terdapat beberapa tips untuk melembutkan daging yang boleh anda amalkan semasa memasak daging di rumah. Di antara tips yang boleh anda amalkan ialah seperti berikut:

  1. Sudu besi. Apabila anda memasukkan sudu besi ke dalam masakan berasaskan daging, ia akan meningkatkan suhu daging dengan tinggi lalu membantu melembutkan dan memasak daging dengan cepat.
  2. Sudu seramik . selain sudu besi, anda juga boleh menggunakan sudu seramik ke dalam masakan berasaskan daging untuk melembutkannya. Jika anda tiada sudu besi atau sudu seramik, sudu kaca juga boleh digunakan. Fungsi kesemuanya adalah sama.
  3. Tahukah anda bahawa ais boleh membantu melembutkan daging? Caranya juga sangat mudah. Masak daging seperti biasa. Apabila masakan sudah mendidih, tuangkan ais ke dalam masakan dan perlahankan api sehingga semua ais cair. Setelah semua ais cair, kuatkan semula api dan masak seperti biasa. Gabungan panas dan sejuk secara tiba-tiba membantu daging menjadi lembut dan masak dengan cepat.
  4. Kurma telah digunakan dalam dunia masakan untuk melembutkan daging. Caranya juga sangat mudah iaitu masukkan 3 biji kurma ke dalam masakan dan biarkan sahaja kurma tadi sehingga masakan siap. Setelah masak, buang biji kurma kerana dikhuatiri ada yang tertelan. Jika anda tidak selalu menyimpan kurma di rumah, boleh juga gunakan bijinya sahaja. Semasa bulan ramadhan, simpan biji kurma yang dimakan. Kumpulkan, bersihkan dan keringkan. Apabila memasak menu berasaskan daging, ambil 3 biji untuk digunakan.
  5. Betik muda. Jika anda mempunyai pokok betik, ambil betik muda dan potong kecil-kecil. Basuh sehinnga bersih dan masukkan ke dalam masakan berasaskan daging. Betik muda tadi akan membantu daging menjadi lembut dan sedap dimakan. Malah betik muda tadi juga akan menambahkan manis ke dalam masakan anda.
  6. Batang tebu. Mungkin agak sukar untuk dicari bagi mereka yang tinggal di bandar tapi ketahuilah bahawa batang tebu boleh dimasukkan ke dalam masakan untuk melembutkan daging. Buang kulitnya, potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam masakan. Dengan menggunakan batang tebu, bukan sahaja daging akan menjadi lembut malah masakan akan menjadi semakin manis apabila gula semulajadi dari tebu menjadi mesra dengan masakan.
  7. Untuk melembutkan daging dengan menggunakan cuka, anda cuma perlu merendam daging dengan cuka sekejap sebelum dicuci bersih. Caranya ialah potong daging dan cuci sehingga bersih. Kemudian tuang beberapa titik cuka dan gaulkan sebati. Biarkan daging berendam dengan cuka sementara anda menyiapkan bahan masakan. Basuh daging sehingga bersih sebelum dimasak.

Kesimpulan

Itulah dia info tentang tips dan cara potong daging yang sebenar  yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara jimat minyak kereta auto dan cara simpan bunga kantan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.