Punyalah berhabis duit gaji tiap bulan untuk membeli produk kecantikan. Tak kira lelaki atau perempuan, semuanya nak nampak cantik. Kulit yang tanpa cela dan mulus menjadi igauan semua.

Namun, impian sekadar mimpi di siang hari. Setiap kali tatap wajah sendiri di cermin, hati tetap kecewa. Kulit tetap kusam, tak berseri dan ada saja masalah kulit yang memeningkan kepala.

Tahukah anda, tak guna kita pakai barangan muka berjenama mewah sekalipun jika perkara paling asas tak diendahkan. Apakah perkara asas yang begitu penting? Sudah tentulah cara mencuci muka.

Kedengaran macam perkara ringan kan? Sebenarnya untuk mendapatkan kulit wajah yang bersih, berseri dan sihat bermula dengan teknik mencuci wajah yang betul. Biasanya apa yang kita buat? Sekadar picitkan sedikit pencuci muka, urut ala kadar dan terus basuh muka. Betulkan?

Dalam artikel ni, akan dikongsikan kesilapan yang selalu dilakukan ketika mencuci muka dan teknik mencuci muka yang betul. Tips cara penjagaan muka yang efektif. Teruskan pembacaan anda.

Kesilapan Ketika Membersihkan Wajah

cara penjagaan muka
Imej via Bidadari

1.Lupa dan malas nak cuci muka sebelum tidur

Setelah seharian suntuk bekerja di luar atau buat kerja rumah, kulit wajah kita terdedah dengan pelbagai kekotoran. Kekotoran daripada solekan, peluh dan minyak semula jadi di kulit akan berkumpul.

Oleh itu, kita perlu mencuci muka sebelum tidur. Jika dibiarkan, lama-kelamaan kulit akan menjadi kusam, dipenuhi jerawat dan mengalami keradangan.

2.Tak cuci muka selepas bangun tidur

Seperti juga sebelum tidur, kita mesti mencuci muka dengan betul selepas bangun tidur. Kekotoran di bantal, minyak yang terhasil ketika tidur dan bakteria daripada air liur, pastinya akan mencemari kulit wajah juga.

3.Mandi dengan air yang terlalu panas

Ketika musim hujan, pastinya kita suka menggunakan pemanas air. Namun, suhu yang terlalu tinggi tak bagus untuk kulit wajah. Kulit wajah akan menjadi kering kerana air panas menyingkirkan minyak semula jadi di wajah. Malahan, kulit akan hilang keanjalan dan mudah berasa gatal apabila terlalu kering.

4.Salah pilih pencuci muka

Sebelum membeli sesuatu produk, pastikan kita mempunyai sedikit ilmu. Bukan semua pencuci boleh dipakai sewenang-wenangnya. Pastikan anda tahu tentang jenis kulit iaitu kulit kering, berminyak, normal atau kombinasi.

Pastikan juga anda mengetahui tahap kulit anda sama ada sensitif atau ada masalah kulit seperti ekzema, rosacea dan sebagainya. Jika kurang pasti tentang perkara ni, anda boleh merujuk pakar dermatologi.

5.Guna sabun badan untuk cuci muka

Rasanya ni bukan perkara pelik jika ada antara kita yang buat kan? Ketika mandi, anda terus menyapu sabun badan ke bahagian muka. Sebenarnya, sabun untuk badan tak sesuai sama sekali untuk wajah.

Sabun badan mempunyai nilai pH yang tinggi kerana fungsinya untuk menanggalkan kekotoran dan daki di badan. Malahan, kulit pada bahagian badan tak sesensitif seperti kulit muka. Oleh itu, buang tabiat ni jauh-jauh. Ia bukan saja merosakkan kulit muka, malah akan mengakibatkan kekeringan dan iritasi.

6.Kerap cuci muka

Ada orang yang memang malas nak basuh muka, kalau boleh nak terus tidur saja. Ada pula yang terlebih rajin. Sebenarnya, cara ni pun salah. Disarankan kita membasuh muka hanya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam.

Namun, jika anda buat aktiviti berat seperti bersenam dan berkebun, anda boleh membasuh wajah ketika itu. Begitu juga jika mengenakan solekan yang terlalu tebal, memakai krim sunblock yang banyak dan bekerja di luar, anda boleh basuh muka lebih daripada dua kali.

7.Mengurut muka terlalu kasar

Ketika mencuci wajah, pastikan tangan anda basah dan mengurut muka dengan lembut. Jangan tonyoh muka dengan harapan semua kekotoran hilang serta-merta. Begitu juga ketika scrub muka. Lakukan dengan lembut dan jangan sesekali menekan kulit muka dengan kasar.

Cukuplah sekadar mengurut di seluruh muka dan jangan terlalu lama. Ikut arahan cara penggunaan pada setiap produk tersebut.

8.Hanya gunakan tisu basah untuk bersihkan muka

Jika anda menggunakan solekan yang tebal, pastikan selepas menggunakan tisu basah anda mencuci muka seperti biasa. Tisu basah hanya mampu membersihkan peluh, kotoran dan minyak secara minima.

Ia tak mampu membersihkan muka secara total. Tisu basah boleh digunakan untuk mengelap wajah saja bukan untuk mencucinya. Jangan lupa untuk menggunakan pencuci muka untuk menanggalkan sisa kekotoran.

9.Lap muka guna tuala mandi

Nampak remeh, namun ni juga punca masalah kulit. Tuala mandi sepatutnya digunakan untuk mengelap badan saja. Oleh itu, sediakan tuala muka yang kecil khas untuk kegunaan wajah.

Walaupun anda sudah mandi bersih-bersih, bakteria masih terdapat pada tuala mandi. Oleh itu, gunakan tuala kecil dan keringkan ia selepas digunakan. Gantikan tuala muka yang baru setiap dua hari.

Dah tahu kesalahan yang biasa dilakukan bukan? Seterusnya, mari kita ambil tahu cara mencuci muka dengan betul. Lepas anda amalkan tips yang dikongsikan ni, kulit muka anda pasti berseri-seri.

Teknik Cuci Muka Yang Betul

1.Cuci tangan bersih-bersih

Ingat ya perkara paling penting ni! Sebelum picit atau tuang krim pencuci di telapak tangan, basuh tangan terlebih dahulu. Jangan pula bakteria di tangan dipindahkan ke muka. Sia-sia saja anda cuci muka.

2.Gunakan air suam

Jangan sesekali basuh muka dengan air yang bersuhu ekstrem sama ada terlalu panas atau sejuk. Ia akan menyebabkan kapilari darah yang paling halus pecah dan mengakibatkan kemerahan di bahagian pipi dan hidung.

Gunakan air suam kerana ia akan memelihara kelembapan kulit. Selain itu, air suam lebih menyegarkan kulit dan mampu membuang sisa kekotoran.

3.Buang kekotoran pada wajah terlebih dahulu

Jika anda ada mengenakan solekan, pastikan menggunakan make-up remover atau pencuci minyak berasakan minyak (oil cleanser). Bahan dalam solekan tak mudah ditanggalkan menggunakan pencuci biasa. Ia perlu menggunakan pencuci khas.

Oil cleanser biasanya disapukan ke wajah tanpa menggunakan air. Urut perlahan sekeliling muka dan barulah dicuci dengan air. Ia merupakan cara efektif untuk menanggalkan solekan dan kotoran degil di wajah. Selepas itu, barulah gunakan pencuci wajah harian anda.

4.Fokus pada zon T muka

Ketika cuci muka, fokuskan pada bahagian yang paling bermasalah di wajah iaitu zon T. Zon T terdiri daripada bahagian dahi, pipi dan dagu. Ketiga-tiga bahagian ini paling berminyak dan mudah tumbuh jerawat.

Oleh itu, ketika mencuci muka, lebihkan perhatian pada bahagian-bahagian ini. Jangan lupa juga cuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari.

5.Mengurut sambil mencuci wajah

Jika anda pernah membuat rawatan wajah di spa, pasti beautician di situ akan mengurut wajah dengan lembut. Anda juga berasa sangat segar dan tenang. Sebenarnya, mengurut wajah banyak kebaikan kepada kulit muka.

Anda tak perlu menjadi pakar kecantikan. Cukuplah ketika mencuci muka, urut muka secara membulat daripada bahagian leher atau dagu dan ke atas. Cara ini akan membuat aliran darah menjadi lancar dan melambatkan proses penuaan.

6.Biarkan air kering sendiri

Selepas cuci muka, biarkan lebihan air di wajah kering dengan sendirinya. Elakkan menggunakan tuala muka kecuali anda tak cukup masa kerana perlu berkejar ke tempat kerja dan sebagainya. Jika gunakan tuala, pastikan ianya bersih.

Oleh itu, sebaik-baiknya selepas cuci muka pada waktu malam, biarkan seketika. Segala khasiat daripada pencuci muka dapat diserap terlebih dulu.

7.Jangan lupa skrub muka

Setiap dua minggu sekali, jangan lupa skrub muka untuk menanggalkan sel-sel kulit mati dan sisa kotoran yang degil. Terdapat pelbagai jenis skrub muka yang bagus di pasaran.

Yang penting, jangan gosok muka terlalu kasar. Cukup buat urutan lembut dan kemudiannya cuci muka bersih-bersih.

8.Konsisten dengan rutin harian

Selepas buat semua langkah di atas, jangan lupa memakai toner, serum, pelembap wajah, krim sunblock dan sebagainya. Setiap produk tersebut mempunyai manfaat dan fungsi yang tertentu. Jika anda rajin dan konsisten, pasti anda akan mempunyai kulit yang sangat cantik.

Itu saja perkongsian tentang cara-cara mencuci wajah secara efektif dalam artikel ini. Semoga bermanfaat tips cara penjagaan muka ini.

Rujukan

  1. https://www.self.com/story/how-to-wash-your-face
  2. https://www.instyle.com/news/5-steps-correctly-washing-your-face

*Jemput juga membaca artikel lain kami seperti scrub muka terbaik dan serum terbaik yang mungkin membantu anda.

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .