Runsing dengan masalah kuat berdengkur? Atau pasangan anda berdengkur sewaktu tidur bersama? Jom ketahui cara menghilangkan dengkuran dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Masalah dengkur bukanlah perkara yang asing lagi dalam komuniti kita. Malah, masalah ini telah dicatatkan sejak beribu tahun yang dahulu lagi, sehingga ke zaman Greek purba.

Menurut rekod, fenomena dengkur diperhatikan berlaku dalam kalangan remaja lagi seawal usia 16 tahun.

Dengkur merupakan sebahagian daripada spektrum masalah pernafasan semasa tidur. Dari segi anatomi, terdapat perubahan struktur fizikal pada pharynx dan sekatan pada laluan pernafasan.

Antara faktor yang dikaitkan dengan masalah dengkur ialah obesiti, penyakit kardiovaskular, diet makanan yang tidak seimbang, pengambilan alkohol dan penyakit berkaitan saluran pernafasan.

Fakta Mengenai Dengkuran

  • Terma perubatan bagi dengkuran ialah obstructive sleep breathing atau sekatan pernafasan ketika tidur.
  • Dalam kalangan manusia dewasa, 45% daripada kita berdengkur pada waktu tertentu manakala 25% lagi berdengkur pada setiap kali mereka tidur.
  • Masalah dengkuran ini lebih banyak dikesan dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.
  • Semakin bertambah usia, semakin teruk keadaan dengkuran, menjadikannya lebih sukar untuk dirawat.
  • Kebarangkalian dengkuran individu yang obes ialah 3 kali ganda mereka yang berbadan kurus.
  • Bunyi dengkuran yang paling kuat pernah direkodkan ialah sekuat 80 dB 5 kaki dari sumber dengkuran.

Kaedah Pembedahan untuk Menghilangkan Dengkuran

Kaedah pembedahan didapati sangat berkesan sebagai cara untuk menghilangkan dengkuran.

Dalam kajian pada tahun 1984 di Washington, Amerika Syarikat, 18 responden yang dirawat secara pembedahan menunjukkan peratus hasil berjaya menghilangkan dengkuran sebanyak 94.4%.

Namun, tidak semua daripada kita sukakan idea pembedahan kerana pembedahan membawa banyak risiko selain kos perbelanjaan yang agak tinggi.

Oleh sebab itu, artikel ini membincangkan cara untuk menghilangkan dengkuran yang boleh diamalkan.

Cara Menghilangkan Dengkuran

1. Diet Makanan yang Seimbang

Pemilihan makanan yang memberikan nutrisi dan zat seimbang perlulah dilakukan sebagai antara cara untuk mengurangkan dengkur.

Disebabkan dengkur berpunca daripada keradangan pada bahagian saluran pernafasan, makanan yang mengandungi sumber anti radang yang tinggi bolehlah diamalkan, antaranya:

  • madu
  • nanas
  • soya
  • kunyit
  • minyak zaitun
  • teh
  • bawang putih

2. Elakkan Makanan yang Boleh Merangsang Dengkuran

Sebaliknya, makanan yang merangsang lagi pengeluaran mucus dan menyekat saluran pernafasan perlulah dielakkan, lebih-lebih lagi beberapa jam sebelum tidur. Contohnya:

  • kopi
  • susu dan produk tenusu
  • daging
  • makanan dan minuman bergula
  • minuman beralkohol

3. Penjagaan Kebersihan Tempat Tidur

Imej via Bidadari

Untuk mendapatkan tidur yang lebih lena dan selesa, pastikan tempat tidur kita sentiasa bersih daripada habuk dan kotoran.

Kita akan menghabiskan masa yang agak lama di tempat tidur, dalam julat 4-8 jam atau lebih. Jadi, persekitaran yang kotor akan mendedahkan kita dengan bahan-bahan kotor ini untuk tempoh yang lama.

Hal ini boleh menyebabkan alahan pada saluran pernafasan yang seterusnya menyebabkan masalah dengkur terjadi.

Antara tips penjagaan tempat tidur ialah:

  • kerap menukar cadar sekurang-kurangnya seminggu sekali
  • salin sarung bantal
  • mandi atau cuci muka sebelum tidur
  • tidak membawa binatang peliharaan tidur sekali

4. Hidrasi Minum Air Secukupnya

Pengambilan air khususnya air kosong yang mencukupi dalam sehari membantu tubuh untuk kekal hidrasi.

Tubuh yang cukup air sebenarnya sangat penting dalam mempengaruhi masalah dengkuran. Dilaporkan, kekurangan air dalam badan akan menjadikan mucus di saluran pernafasan menjadi lebih keras dan melekit.

Hal ini seterusnya akan menyekat saluran udara dan pernafasan yang mengakibatkan dengkuran.

Malah, kajian sekumpulan penyelidik bersama dari Amerika Syarikat dan China pada tahun 2019, mendapati bahawa masalah kekurangan air dapat dikaitkan dengan kualiti tidur yang tidak sempurna.

5. Membersihkan Ruangan Rongga dan Saluran Nasal Hidung

Sebelum tidur, anda boleh mencuba membersihkan saluran rongga hidung dengan cecair saline hidung yang boleh dibeli di farmasi.

Penyingkiran bendasing dan mucus pada saluran pernafasan ini dapat memberikan kelegaan dan mengurangkan simptom dengkuran.

6. Rawatan Akupuntur

Acupuncture merupakan rawatan perubatan tradisional Cina yang diamalkan sejak berkurun yang lalu untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.

Terdapat beberapa kajian yang cuba merungkai keberkesanan cara ini untuk menghilangkan dengkuran.

Pada tahun 2017, sekumpulan penyelidik di Korea Selatan telah menjalankan kaedah rawatan akupuntur untuk menghilangkan dengkuran dalam kalangan 24 subjek kajian mereka.

Kajian tersebut dilakukan selama 8 kali dalam tempoh 4 minggu di kawasan kaviti nasal hidung.

Penemuan kajian mereka melaporkan tiada perhubungan yang jelas untuk mengaitkan rawatan akupuntur sebagai cara untuk menghilangkan dengkuran. Namun, perkembangan positif yang diperhatikan dalam kesemua subjek kajian ialah kualiti tidur mereka yang bertambah meningkat secara signifikan.

Namun, bagi mereka yang ingin mencuba kaedah ini, beberapa faktor risiko perlulah diambil berat, antaranya:

  • Risiko jangkitan daripada jarum yang tidak disteril dengan bersih
  • Memilih ahli akupuntur yang diyakini
  • Masalah pendarahan akibat cucukan jarum pin
  • Risiko terhadap organ dalaman atau kandungan bayi bagi mereka yang sedang mengandung

Kesimpulan

Masalah dengkuran merupakan masalah tempat tidur yang boleh membawa risiko kesihatan dan mengganggu kehidupan sosial seseorang.

Antara cara untuk mengurangkan dengkuran yang dikongsi dalam artikel ini ialah pemilihan diet yang betul, penjagaan kebersihan diri, hidrasi dan rawatan akupuntur.

Namun, jika masalah dengkuran anda bertambah serius, seeloknya anda berjumpa doktor dengan segera sebelum terlambat. Jemput juga baca artikel tentang nakanan untuk menghilangkan dengkur dan petua hilangkan dengkur

Rujukan

  1. Counter, P., & Wilson, J. A. (2004). The management of simple snoring. Sleep Medicine Reviews8(6), 433-441. (link)
  2. Fairbanks, D. N. (1984). Snoring: surgical vs. nonsurgical management. The Laryngoscope94(9), 1188-1192. (link)
  3. Rosinger, A. Y., Chang, A. M., Buxton, O. M., Li, J., Wu, S., & Gao, X. (2019). Short sleep duration is associated with inadequate hydration: cross-cultural evidence from US and Chinese adults. Sleep42(2), zsy210. (link)
  4. Shin, M. R., Kim, H. T., Ko, H. Y., Kim, Y. J., & Kim, J. B. (2017). Clinical trial for efficacy and safety with acupuncture & suction in nasal cavity on snoring patients. The Journal of Korean Medicine Ophthalmology and Otolaryngology and Dermatology30(2), 135-145. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.