Badan yang berpeluh dan melekit memang sangat merimaskan. Malah, bau badan akibat peluh ini menjadikan kita rasa tidak selesa dan boleh mengganggu hubungan komunikasi kita.

Jom ketahui cara menghilangkan bau peluh badan.

Pengenalan

Peluh ialah cecair jernih yang dirembeskan keluar oleh kelenjar di dalam lapisan kulit kita. Kandungan peluh ialah 98-99% air dengan kandungan garam mineral seperti natrium klorida, kalium, kalsium, magnesium dan bahan organik lain, antaranya asid laktik, asid sitrik, asid urik, asid askorbik dan urea.

Kelenjar peluh ditemui di seluruh anggota kulit, dengan paling banyaknya terletak di tapak tangan, ketiak dan sekitar kawasan alat sulit.

Kelenjar peluh ini diperbuat daripada tiub bergulung yang dikelilingi oleh saluran bekalan darah dan terbuka ke atas kulit melalui liang pori.

Faktanya, peluh tidak mengeluarkan bau. Namun, apabila badan kita mengeluarkan peluh, bakteria akan bertindak balas dengan peluh tersebut untuk menghasilkan bau.

Punca Bau Badan

Perasan tak bayi tidak mempunyai bau badan yang tidak menyenangkan? Hal ini demikian kerana bau badan hanya bermula setelah seseorang itu mencapai akil baligh dengan peningkatan hormon androgen.

Antara punca badan berbau peluh ialah:

  • aktiviti fizikal dan senaman berat
  • cuaca panas
  • berat berlebihan
  • perubahan hormon
  • masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit hati dan buah pinggang
  • ubatan moden seperti antidepressant
  • diet makanan yang mengandungi minyak, lemak, rempah, bawang

Cara Menghilangkan Bau Peluh Badan

Oleh yang demikian, dalam artikel ini, cara menghilangkan bau peluh badan akan dibincangkan menurut kajian dan penyelidikan sains yang pernah dijalankan.

1. Penggunaan Produk di Pasaran

Antara produk yang sering digunakan untuk menghilangkan bau peluh badan yang diuji secara dermatologi ialah deodoran dan antiperspiran yang disembur khas pada kawasan kulit tempat peluh.

Minyak wangi atau perfume pula merupakan wangian sintetik yang disembur bagi memberikan bau kuat kepada penampilan kita.

Fungsi kedua-duanya seakan sama tetapi sebenarnya berbeza, iaitu:

  • Deodoran = mengawal dan menutup bau peluh badan
  • Antiperspiran = mengurangkan kebasahan dengan mengeringkan peluh

Terdapat banyak pilihan produk ini di pasaran dalam bentuk spray, pepejal, serbuk, kristal, gel, penggolek dan sebagainya. Ada yang mempunyai bau tambahan seperti lemon, vanilla dan menthol mengikut citarasa peribadi.

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa antipersiran tidak selamat digunakan kerana mengandungi bahan toksik. Hal ini telah disangkal berdasarkan kajian yang melihat kesan ketoksikan bahan aktif utama antiperspiran iaitu aluminum chlorallhydrate adalah selamat.

2. Panduan ketika Melakukan Aktiviti yang Mengeluarkan Peluh

Antara cara lain untuk mengurangkan bau peluh badan ialah menggunakan deodoran atau antiperspiran pada waktu pagi dan sebelum memulakan aktiviti fizikal yang akan mengeluarkan peluh.

Selain itu, bagi mereka yang mencukur bawah lengan ketiak, elakkan menggunakan deodoran selepas mencukur kerana tindakan tersebut akan menyebabkan rasa pedih dan boleh menimbulkan ruam akibat tindak balas bahan kimia.

Bagi pemakai antiperspiran, digalakkan memakainya pada waktu malam, sebelum tidur supaya produk tersebut dapat bertindak dengan lebih berkesan. Malah, ada yang kuat berpeluh ketika tidur, jadi, produk ini boleh mengurangkan kesan peluh dan bau badan berpeluh.

Penting juga bagi mereka yang berpeluh untuk sentiasa minum air secara mencukupi. Pakar pemakanan ada menyarankan untuk kekal hidratkan diri jika anda melakukan aktiviti fizikal berterusan selama 1 jam.

Air membantu mengekalkan suhu badan normal dan mengekalkan elektrolit penting dalam badan seperti mineral.

3. Penggunaan Sabun atau Bahan Anti Bakteria

Disebabkan bau peluh secara umumnya datang daripada bakteria, banyak produk mandian dan anti peluh mengandungi bahan anti bakteria.

Dengan penyingkiran bakteria ini, masalah bau badan akan berkurangan.

Anda boleh mencuba hasilkan bahan anti bakteria anda sendiri dengan membancuh 1 sudu hidrogen peroksida ke dalam 1 cawan air, bersamaan 3% kandungan hidrogen peroksida.

Lap kan larutan ini menggunakan kain bersih ke kawasan yang berpeluh bagi membunuh bakteria. Kepekatan yang rendah ini (3%) tidak akan menyebabkan kulit anda menjadi rengsa atau alahan, sekadar mencukupi untuk membunuh bakteria pada peluh.

4. Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati

Sebagaimana kata pepatah tersebut, cara terbaik untuk hilangkan bau peluh badan ialah dengan mencegah supaya kita bebas daripada bau badan. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

  • Mandi pada setiap hari. Sekurang-kurangnya 2 kali sehari bagi mengurangkan bilangan bakteria pada kulit.
  • Basuh pakaian secara berkala dan memakai pakaian yang baru atau bersih.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai bau yang kuat kerana sebatian bioaktif dalam makanan tersebut boleh meruap dan memasuki liang pori. Makanan yang mengandungi sulfur yang tinggi yang menyebabkan bau badan adalah seperti kobis, brokoli, kobis bunga, bawang putih, bawang besar dan rempah-ratus.
  • Pastikan kawasan bawah lengan ketiak anda sentiasa kering. Hal ini akan menyukarkan bakteria untuk berkumpul dan menyebabkan masalah bau badan.
  • Cukur bahagian bawah lengan ketiak secara kerap. Hal ini dapat mengurangkan pengeluarkan peluh dan bau dengan mengurangkan pengumpulan bakteria.

Hyperhidrosis

Keadaan peluh yang berlebihan dipanggil hyperhidrosis yang menyebabkan penghasilan peluh walaupun ketika dalam keadaan berehat.

Anda disarankan segera berjumpa dengan doktor perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan susulan.

Kesimpulan

Peluh ialah salah satu manifestasi tubuh yang sihat kerana bahan-bahan perkumuhan dapat disingkirkan oleh tubuh melalui peluh.

Masalah hanya timbul apabila peluh yang berlebihan mengundang bau yang kurang enak. Maka, antara cara untuk menghilangkan bau peluh badan telah dikemukakan dalam artikel ini untuk sama-sama diamalkan.

Sekali lagi diingatkan, sebarang keputusan yang berkaitan dengan kesihatan anda perlulah dibuat dengan nasihat pakar perubatan. Masalah peluh berlebihan juga boleh menjadi petunjuk kepada penyakit lain yang mungkin anda hidapi.

Jemput juga baca artikel tips diy scrub badan dan punca toksin dalam badan

Rujukan

  1. WebMD
  2. Youngwomenshealth
  3. Li, W., & Liu, M. (2002). U.S. Patent No. 6,426,061. Washington, DC: U.S. Patent and Trademark Office. Method and composition for preventing sweat-related odor (link)
  4. Shelley, W. B., HURLEY, H. J., & Nichols, A. C. (1953). Axillary odor: experimental study of the role of bacteria, apocrine sweat, and deodorants. Ama archives of Dermatology and Syphilology68(4), 430-446. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.