Setiap kali nak masak daging, mulalah risau kalau daging lambat masak, liat dan keras. Betul kan? Situasi ni berlaku bila ada majlis keramaian, perkahwinan atau musim perayaan. Malah, kadang nak jamu keluarga pun berjam-jam nak siapkan masakan.

“Alamak, liat lagilah daging ni! Malu kalau tetamu terkial-kial nak kunyah daging masak hitam istimewa aku ni. Apa nak buat ni?”

Mesti ada di antara kita yang pernah mengalami situasi macam ni kan? Jangan risau. Artikel ni akan berkongsi tips untuk melembutkan daging dengan cepat. Nanti bolehlah jimat masa dan elektrik. Anak-anak pun taklah kelaparan tunggu hidangan disiapkan.

Kadangkala rasa macam tak logik petua-petua ni, tapi belum cuba belum tahu kan. Kesemua tips yang dikongsikan ni, in shaa Allah berkesan. Jom baca tips yang diberikan ni.

1.Teknik potong daging yang betul

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebook miliknya, cara memotong daging penting jika mahu daging cepat empuk. Beliau memberikan tips iaitu jika nak daging lebih lerai, kita perlu potong daging secara melintang arah urat daging.

Maksudnya, daging perlu dipotong lawan arah serat daging itu mengunjur. Malah, jangan lupa buang selaput putih (fascia) yang menyelaputi daging. Jika masih mentah, selaput putih ni hanya nipis dan lembut. Namun, selepas dimasak, ia akan menjadi terlalu liat dan kenyal.

2.Masak dalam periuk tekanan tinggi

Masak daging di dalam periuk tekanan tinggi (pressure cooker) merupakan cara paling pantas untuk lembutkan daging. Tak hairanlah ia menjadi idaman para suri rumah. Harganya juga boleh tahan mahal.

Namun, petua ni hanya untuk mereka yang kebetulan mempunyai periuk jenis ini. Jika menggunakan periuk tekanan, daging akan empuk kurang setengah jam berbanding cara biasa. Namun, berhati-hati ketika menggunakannya. Tekanan udara akan menyebabkan wap yang terlalu panas terkumpul di dalam periuk.

3.Ketuk dengan tukul daging

Menggunakan tukul daging(meat mallet) untuk mengetuk daging merupakan satu cara untuk menghancurkan serat otot. Serat otot pada daging sangat liat dan lambat masak. Caranya, ketuk-ketuk saja permukaan daging sebelum dipotong kecil-kecil.

4.Cucuk dengan pisau atau garpu

Selain menggunakan tukul daging, kita juga boleh menggunakan pisau atau garpu untuk mencucuk permukaan daging. Bahagian-bahagian tisu yang liat akan terputus. Oleh itu, daging lebih senang empuk. Malahan, rasa masakan juga menjadi lebih enak kerana rempah-ratus dapat menyerap ke dalam daging.

5.Menggunakan bahan perapan berasid

Jika anda bercadang nak buat daging panggang, bakar atau steak, cara terbaik ialah perap daging terlebih dahulu. Bahan perapan menggunakan cuka, jus lemon, susu masam dan tairu sangat efektif dalam melembutkan daging. Malahan, rasa daging juga lebih enak.

Bahan perapan tersebut mempunyai kandungan berasid yang mampu memecahkan protein yang degil. Ini menyebabkan daging akan ‘pre-cook’ sebelum dimasak atau dibakar. Perap selama lebih kurang 30 minit hingga 2 jam. Jika nak lebih lembut, boleh diperap lebih lama.

6.Menggunakan bahan perapan berenzim

Jangan tak tahu, ada beberapa jenis buah yang berkesan untuk melembutkan daging. Antaranya ialah buah nanas, kiwi, betik, pear dan sebagainya. Macam mana caranya?

Kisar buah-buah ni, kemudian perapkan purinya dengan daging yang hendak dimasak. Hasilnya daging akan lebih enak, berjus dan lembut. Buah-buahan ni mempunyai kandungan enzim yang mampu melembutkan daging.

7.Menggunakan garam

Sebenarnya penggunaan garam sama kesannya dengan bahan perapan. Sebelum dimasak, taburkan garam dalam jumlah yang agak banyak. Kemudian, biarkan ia menyerap 24 jam atau lebih. Bila nak masak, jangan lupa basuh daging tu.

Garam akan menyingkirkan kelembapan di dalam daging. Ia juga boleh memecahkan fiber otot yang sangat liat. Tak percaya? Cubalah.

8.Biarkan pada suhu bilik

cara lembutkan daging
Imej via Bidadari

Lembu yang diternak bebas mempunyai lapisan lemak yang kurang. Ini kerana diberikan rumput segar dan bergerak bebas. Bagi daging lembu seperti ini, biarkan ia pada suhu bilik selama 30 minit sebelum dimasak.

Dikatakan bahawa daging akan masak sekata dan lebih mudah empuk. Bolehlah kongsikan tips ni kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang ada menternak lembu.

9.Rebus daging terlebih dahulu

Jika nak masak sup daging, soto atau bakso, rasanya tak ada masalah kerana daging akan direbus dahulu. Malah, supnya juga akan digunakan sebagai bahan utama. Tapi kalau nak masak daging kicap atau daging black pepper macam mana pula?

Ada satu cara yang mudah. Cuci daging bersih-bersih, kemudian rebus dahulu. Setelah daging empuk, barulah dibuat masakan lain. Jika risau daging menjadi kurang manis, jangan buang air rebusan. Gunakan ketika hendak menyediakan kuah.

Malahan, air rebusan atau stok daging boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk kegunaan akan datang. Yang penting sekali semasa merebus daging, tutup dengan tudung periuk. Biarkan wapnya tak keluar. Mudah bukan?

10.Gunakan soda bikarbonat

Jangan ingat soda bikarbonat berguna untuk membuat kek dan roti saja tau. Ia juga boleh melembutkan daging. Caranya campurkan sedikit soda bikarbonat dan biarkan selama 15 minit. Kemudian, basuh bersih-bersih sebelum dimasak.

11.Gunakan Coca-Cola

Betul ke ni? Ye, memang betul. Dikatakan bahawa banyak restoran dan hotel di luar negara menggunakan Coca-cola sebagai bahan perapan untuk membuat steak. Ini kerana rasanya yang berasid dan manis sangat membantu dalam penyediaan steak yang enak.

Bahan perapan ini dibiarkan selama lapan jam atau semalaman. Kemudian, bahan lain seperti sos akan dicampurkan. Ingat, daging yang diperap tadi tak perlu dibasuh. Coca-cola akan mengunci rasa manis di bahagian luar dan dalam daging. Nak cuba tak?

12.Gunakan daun nangka

Ah, tips ni penulis pernah cuba. Memang berkesan. Caranya ambil beberapa helai daun nangka. Cuci bersih-bersih dan buang getah pada bahagian tangkai daun. Masukkan dalam masakan. Gerenti tak menyesal!

13.Masukkan bahan besi atau tembaga

Paling mudah masukkan sudu atau garpu saja. Ni merupakan cara tradisional yang paling popular. Tak percaya tanyalah mak atau nenek. Penggunaan bahan besi dan tembaga ini akan meningkatkan suhu di dalam periuk.

Cara ni pun penulis dah cuba. Memang menakjubkan hasilnya.

Dengan perkongsian artikel ni, diharapkan tiada lagi sungutan di rumah tentang daging lambat masak, liat dan sebagainya. Apa kata anda cuba dulu mana-mana petua yang dikongsikan ni. Kemudian, kongsikan pengalaman anda itu kepada kami dan para pembaca yang lain.

Selamat mencuba!

Rujukan

  1. https://www.tasteofhome.com/article/how-to-make-tough-meat-tender/
  2. https://www.livestrong.com/article/549173-how-soda-affects-meat/
  3. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10157670746513351&set=a.190347133350&type=3&theater

*Jemput juga membaca artikel lain kami seperti khasiat daun parsley dan khasiat limau purut

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .