Jerawat yang tumbuh di muka memang merunsingkan! Jom ketahui cara hilangkan jerawat yang berkesan mengikut pemerhatian dan hasil kajian sains.

Pengenalan

Jerawat atau acne ialah keadaan kulit yang tidak sihat terutamanya di kawasan muka dengan penampakan dan pertumbuhan ketulan kecil berwarna merah dan kadang-kadang menyebabkan nanah. Terma perubatannya ialah “acne vulgaris” yang setelah dikaji, disebabkan oleh perubahan hormon yang disebabkan makanan, sistem fisiologi badan (akil baligh) dan isyarat otak akibat tekanan perasaan dan emosi yang tidak stabil.

Masalah jerawat telah mengakibatkan masalah keyakinan diri kepada ramai orang kerana wajah merupakan aset terpenting apabila berdepan dengan masyarakat. Oleh itu, obsesi terhadap produk penjagaan muka, pencegahan jerawat dan menghilangkan jerawat semakin menjadi-jadi.

Kebanyakan syarikat pembuat produk ini hanya mengutamakan penyelesaian terhadap simptom jerawat seperti mengecutkan jerawat, memudarkan bintik hitam, meredakan bengkak akibat jerawat supaya susut dan sebagainya.

Tahukah anda, terdapat banyak cara hilangkan jerawat? Artikel ini akan berkongsi cara hilangkan jerawat menurut pendapat saintifik setelah dilakukan beberapa siri kajian dan penyelidikan sains yang diyakini.

Cara Hilangkan Jerawat

1. Kurangkan Makanan Tinggi Nilai Indeks Glisemik

Imej via Bidadari

Menurut sebuah kajian di Universiti Melbourne, Australia pada tahun 2007, pengambilan diet makanan yang rendah kandungan indeks glisemik berjaya menurunkan 22% risiko jerawat berbanding kumpulan kawalan.

Kajian seumpama turut dikendalikan dengan pemerhatian diet rendah indeks glisemik ini selama 12 minggu yang menyaksikan penurunan sehingga 50% masalah jerawat.

Kini, anda boleh mencari produk alternatif makanan yang sebelum ini tinggi nilai indeks glisemik. Antara cadangan makanan rendah indek glisemik ialah

  • beras perang
  • oat
  • sayuran hijau
  • buah-buahan
  • serta kurangkan makanan yang diproses (pasta, roti, bijirin sarapan pagi)

2. Kurangkan Minum Susu

Imej via Bidadari

Kajian oleh penyelidik dari Boston, Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pengambilan susu akan meningkatkan 22% risiko jerawat, manakala pengurangan minuman susu skim akan menurunkan 44% risiko pertumbuhan jerawat.

Menurut ulasan kajian tersebut, protein yang terkandung dalam susu dan produk tenusu seperti yoghurt, dadih, yoghurt, keju dan sebagainya boleh mengakibatkan alahan protein, seterusnya menyekat liang pori.

Liang pori yang tersekat akan mengumpulkan pertumbuhan bakteria lalu menyebabkan tumbuhnya jerawat.

3. Pengambilan makanan tinggi kandungan omega-3

Imej via Bidadari

Kajian klinikal menunjukkan bahawa kandungan omega-6 dalam makanan seperti kekacang dan protein seperti daging, telur dan ayam boleh menyebabkan keradangan penyebab jerawat.

Oleh itu, cara hilangkan jerawat yang disebabkan oleh omega-6 adalah dengan mengambil diet makanan yang kaya dengan omega-3. Hal ini disebabkan oleh aktiviti anti keradangan omega-3 yang sangat baik bagi menghilangkan keradangan dan jerawat.

Menerusi penyelidikan saintifik, didapati bahawa peratus pemulihan dan pencegahan jerawat dalam kalangan mereka yang mengambil makanan tinggi omega-3 ialah sebanyak 66.7%.

Berikut adalah antara senarai makanan kaya omega-3 yang membantu hilangkan jerawat:

  • chia seed
  • ikan keli
  • ikan salmon
  • tuna
  • ikan bilis
  • ikan kembung
  • minyak ikan

4. Rawatan jerawat secara konvensional

Rawatan dan penjagaan ini melibatkan penggunaan produk perapian diri dan kosmetik yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat Big Pharma seluruh dunia sebagai cara hilangkan jerawat.

Kaedah ini memberikan kesan langsung dengan segera secara rawatan ke atas permukaan kulit. Formulasi produk yang dihasilkan disesuaikan dengan tujuan atau cara hilangkan jerawat yang diingini.

Oleh itu, sila perhatikan bahan-bahan tersebut pada label kandungan produk yang anda beli untuk hilangkan jerawat (pastikan juga produk itu selamat dan diakui sah oleh KKM):

  • benzol peroxide – agen pengelupasan dengan membuka liang pori tersumbat.
  • tetracycline atau erythromycin – bertindak sebagai anti bakteria untuk rawatan jangkitan bakteria penyebab jerawat.
  • gabungan antibiotik dan agen pengelupasan (1% clindamycin dan 5% gel benzoyl peroxide) – untuk kesan yang lebih baik dan disyorkan diamalkan 2 kali sehari.
  • accutane – sejenis suplemen vitamin A yang diberikan kepada pesakit masalah jerawat yang teruk terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga atau keturunan yang mempunyai masalah yang sama; hanya diberikan oleh pakar kulit bertauliah sahaja.

5. Petua perubatan Ayurveda

Ayurveda ialah amalan perubatan masyarakat di India sejak 5 ribu tahun dulu untuk mengubati masalah berkaitan kesihatan menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi.

Menariknya, perubatan Ayurveda khususnya sebagai cara hilangkan jerawat telah dibuktikan secara kajian klinikal dan diterbitkan di Journal of Ethnopharmacology pada tahun 2001.

Kajian tersebut menggunakan ekstrak tumbuhan daripada

  1. Aloe barbadensis Miller
  2. ,Azardirachta indica Juss
  3. Curcuma long Linn
  4. Hemidesmus indicus Linn
  5. Terminalia chebul Retzr
  6. Terminalia arjun Rob
  7. Withania somnifera Linn

masing-masing dikenali dengan nama tempatan lidah buaya, buah pokok mambu, ibu kunyit, mahani (sarsapilla), buah pokok manja puteri (kaduka), biji arjuna dan ashwaganda.

Pengambilan ekstrak tumbuhan tersebut secara tablet dan krim sapuan didapati telah memberikan nilai pemulihan jerawat sebanyak 57.89% ke atas 53 peserta yang terdiri daripada 35 lelaki dan 18 perempuan berusia 14 hingga 28 tahun.

6. Aktiviti senaman dan fizikal

Jangan hairan ya jika aktiviti senaman dan fizikal dicadangkan kepada anda sebagai cara hilangkan jerawat.

Pertama sekali, senaman boleh menyeimbangkan hormon dan meredakan emosi yang selalunya akan menyebabkan tekanan dan perubahan hormon penyebab jerawat.

Selain itu, kajian klinikal pada tahun 2011 oleh para penyelidik Kanada mendapati bahawa skor acne bagi wanita yang melakukan aktiviti senaman menurun sebanyak 32%.

Aktiviti senaman yang dicadangkan adalah seperti jogging, brisk walking, berbasikal dan apa-apa senaman fizikal sekurang-kurangnya 30 minit yang dilakukan 3 kali seminggu.

Selain hilang masalah jerawat, tubuh pun jadi sihat!

Kesimpulan

Antara cara hilangkan jerawat ialah mengubah tabiat pemakanan yang lebih sihat, melakukan senaman dan penggunaan produk. Usaha menghilangkan jerawat ini perlulah dilakukan dengan sabar tanpa mengambil jalan pintas seperti menggunakan produk pengelupasan yang sebenarnya mempunyai kandungan merkuri atau bahan toksik lain yang lebih berbahaya.

Gaya hidup yang sihat merupakan kunci utama yang bukan sahaja bertindak sebagai cara hilangkan jerawat tetapi untuk kesihatan tubuh badan yang berpanjangan.

Jemput juga abca artikel produk hilangkan parut jerawat dan tips buang blackhead

Rujukan

  1. Jedel, E., Labrie, F., Odén, A., Holm, G., Nilsson, L., Janson, P. O., … & Stener-Victorin, E. (2011). Impact of electro-acupuncture and physical exercise on hyperandrogenism and oligo/amenorrhea in women with polycystic ovary syndrome: a randomized controlled trial. American Journal of Physiology-Endocrinology and Metabolism300(1), E37-E45. (link)
  2. Lalla, J. K., Nandedkar, S. Y., Paranjape, M. H., & Talreja, N. B. (2001). Clinical trials of ayurvedic formulations in the treatment of acne vulgaris. Journal of ethnopharmacology78(1), 99-102. (link)
  3. Schilling, R. (2013). Pimples And Acne Can Be Caused By Food. (link)

 

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.