Mendengar sahaja nama tikus atau terdengar bunyinya mendecit, pasti terasa geli-gelaman dan bulu roma tegak meremang. Haiwan yang bersaiz kecil ini sememangnya sangat berbahaya kerana boleh membawa penyakit.

Tikus dikategorikan sebagai haiwan perosak yang ditakuti oleh sesiapa sahaja sama ada di rumah, premis perniagaan atau di mana-mana sahaja. Apabila kita pergi ke sebuah restoran untuk menjamu selera, ternampak pula seekor tikus berlari lintang-pukang.

Pasti putus selera makan dibuatnya. Kita akan beranggapan kedai makan itu tidak bersih kerana itulah haiwan ini bebas berlari ke sana ke mari. Apabila banyak tikus di rumah, ia akan merosakkan harta benda seperti almari, pakaian dan buku.

Malahan, ia juga akan menggigit wayar elektrik hingga merosakkan peralatan rumah. Menyelongkar sampah yang dibuang sehingga bersepah-sepah. Yang paling tidak boleh tahan ia bau air kencing dan najisnya.

Jika dibiarkan tikus boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia. Tikus membawa penyakit berbahaya iaitu penyakit kencing tikus atau leptospirosis. Penyakit ini boleh membawa maut.

Untuk menghalau tikus dari rumah bukan perkara mudah. Ia bukan seperti cicak, lipas atau lalat yang mudah dilihat. Tikus akan membuat ‘kerja’ pada waktu malam. Ketika semua orang tidur atau ketika tiada orang di rumah. Apabila ternampak manusia, ia pantas melarikan diri.

"

Oleh itu, dalam artikel ini penulis akan kongsikan cara halau tikus secara berkesan dan efektif. Jadi sesiapa yang ada masalah tikus yang beranak pinak di rumah atau di mana-mana sahaja, anda patut membaca artikel ini sehingga habis.

Cara Menghalau Tikus

Pelihara kucing

Petua paling mudah dan berkesan ialah membela kucing. Haiwan yang seekor ini pantang ternampak tikus, habis diterkamnya nanti. Kita tidak perlu mengeluarkan tenaga yang banyak kerana kucing anda itu akan membuat kerja menghalau itu.

Kucing boleh menghidu bau tikus dan begitu juga sebaliknya. Lama-kelamaan, tikus tidak akan berani lagi menjadikan rumah anda tempat kediaman kegemaran mereka lagi kerana ada sang musuh yang sentiasa memerhati.

Daun durian belanda

Ambil beberapa helai daun durian belanda dan letakkan di sarang tikus. Gantikan daun-daun yang baharu selepas 2 atau 3 hari. Boleh letakkan di mana-mana sahaja  tempat yang menjadi kawasan kegemaran si tikus.

Kulit durian

Kita sedap-sedap makan durian, ada pula makhluk lain yang benci bau itu. Bagus juga, jangan dibuang kulit durian. Potong kulit durian pada saiz yang lebih kecil dan diletakkan di kawasan yang menjadi kegemaran tikus.

Selain benci bau durian, tikus juga takut melihat kulit durian yang tajam-tajam itu. Ia akan takut untuk menghampiri kawasan itu lagi.

Daun pandan

Daun pandan yang berbau wangi ini rupa-rupanya dibenci oleh tikus. Ambil beberapa helai daun pandan, simpulkan atau potong kecil-kecil. Letakkan di kawasan yang menjadi laluan keluar masuk tikus. Bonusnya, rumah pun berbau segar dan harum.

Sisa teh uncang

Selepas membuat teh, uncangnya jangan dibuang. Anda boleh jadikan uncang teh terpakai itu sebagai umpan untuk menghalau tikus yang bermaharajalela di rumah. Caranya ialah gantungkan pada kawasan yang selalu tikus lalu.

Selain tikus yang tidak suka bau teh, labah-labah pun benci baunya. Bagus juga halau 2 haiwan dalam 1 masa.

Serai wangi

Jika anda ada menanam pokok serai wangi, bolehlah gunakannya untuk menghalau tikus. Penggunaan serai wangi dikatakan salah 1 cara paling mujarab untuk menghalau tikus.

Kini, terdapat pelbagai jenis produk yang direka khas untuk menghalau tikus menggunakan serai wangi. Ada yang berbentuk semburan, serbuk dan sebagainya. Kalau tiada pokok serai wangi, beli sahaja alat semburan.

Cuka

Ambil sedikit cuka dan titiskan ke dalam bekas kecil yang berisi air. Pastikan bau cuka itu menusuk. Sentiasa tambah cuka apabila baunya semakin kurang. Letakkan di stor, dapur, berdekatan almari pakaian dan sebagainya.

Serbuk lada hitam

Serbuk lada hitam juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Baunya yang kuat, panas dan tajam itu amat dibenci oleh tikus. Taburkan di kawasan laluan tikus.

Pokok daun semalu

Seperti juga durian, pokok daun semalu ditakuti tikus kerana ia merupakan pokok berduri. Caranya ialah tanam pokok semalu di kawasan yang menjadi laluannya masuk ke dalam rumah. Biasanya belakang rumah berdekatan dapur dan stor.

Pelekat atau gam perangkap tikus

Jika pening cara nak halau tikus dari rumah, anda boleh membeli gam atau pelekat khas untuk memerangkap tikus. Caranya ialah letakkan pelekat tersebut di kawasan kegemaran tikus.

Jika tikus berjalan di atas pelekat tersebut, kakinya akan melekat dan tidak boleh melepaskan diri. Oleh itu, rajinlah memeriksa pelekat tersebut. Takut nanti bau bangkai tikus memenuhi satu rumah.

Buah mengkudu

Bau buah mengkudu yang menyengat amat tidak disukai oleh tikus. Jika anda dapat cari buah mengkudu yang hampir masak lebih baik kerana baunya lebih kuat. Letakkan potongan atau sebiji buah pun boleh di kawasan laluan tikus.

Daun atau minyak pudina

Bau daun atau minyak pudina yang berangin akan dijauhi oleh tikus. Oleh itu, anda boleh meletakkan seikat kecil daun pudina yang diramas-ramas atau titikkan minyaknya. Selain menghalau tikus, baunya juga menyegarkan rumah.

Kapur barus

Ambil beberapa biji kapur barus dan letakkan di dalam almari, celahan lubang atau mana-mana sahaja tempat yang banyak najis tikus. Bau kapur barus juga dikatakan tidak disukai oleh tikus.

Jering atau petai

Ramai yang suka makan jering atau petai untuk menambahkan lagi selera. Namun, baunya yang kuat tidak pula disukai oleh tikus. Oleh itu, anda boleh meletakkan beberapa biji jering atau petai untuk menghalau tikus. Malahan, kulitnya juga boleh diletakkan sekali.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu ramai orang yang mempunyai masalah tikus di rumah. Ada orang-orang tua yang mengatakan tikus ialah haiwan yang bijak. Oleh itu, jangan hanya mencuba 1 petua yang sama sahaja. Anda boleh menukar-nukar petua di atas.

Semoga artikel cara halau tikus ini bermanfaat. Jemput juga baca artikel cara membuat bawang goreng dan jangkitan kencing tikus

Rujukan

  1. 8 cara halau tikus dari rumah anda. https://www.propertyguru.com.my/property-guides/8-cara-halau-tikus-dari-rumah-anda-23221

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.