Menurut Organisasi Kesihatan Dunia atau WHO, seorang bayi tidak boleh diberikan sebarang makanan atau minum termasuk air kosong sebelum berusia 6 bulan. Susu ibu dan susu formula sudah memadai memandangkan bayi yang berumur dibawah 6 bulan mempunyai organ pencernaan dan usus yang belum matang untuk memproses makanan.

Apabila bayi anda sudah berumur 6 bulan, tibalah masanya untuk anda memperkenalkan makanan lembut kepada bayi anda. Di antara makanan pertama yang sesuai untuk diberikan kepada bayi ialah puri buah-buahan dan sayur-sayuran, dan bubur nasi. Semasa menyediakan bubur nasi untuk bayi anda, adalah lebih mudah jika anda sediakan sekali stok ayam atau stok ikan bilis yang enak dimakan bersama bubur nasi.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara buat stok ayam untuk bayi yang boleh anda buat sendiri di rumah. Ianya sangat mudah dan kosnya pun murah. Apa yang paling penting, apabila anda buat sendiri stok ayam di rumah, anda tak perlu risau kalau ada garam berlebihan atau bahan pengawet dan bahan perasa yang boleh menjejaskan kesihatan bayi anda. Dijamin selamat.

cara buat stok ayam untuk bayi
Sumber: Eatingwell

Cara buat stok ayam untuk bayi

Anda boleh menyediakan stok ayam dalam kuantiti yang banyak kemudian dibekukan dalam dalam bentuk kiub ais. Setiap kali memasak bubur nasi untuk bayi anda cuma keluarkan kiub yang ingin digunakan dan panaskan sekali dalam bubur yang sedang disediakan. Mudah kan? Cara untuk menyediakan stok ayam untuk bayi adalah seperti berikut:

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 500 gram daging ayam yang bertulang seperti bahagian leher, kaki, kepak, dan dada. Pilih bahagian yang mempunyai banyak tulang kerana air dari tulang tadi adalah sangat bai untuk bayi anda. Semasa memasak stok ayam, air tulang akan keluar.
  • 1 biji lobak merah.
  • Sebatang daun saderi atau juga dikenali sebagai daun seleri.
  • 1 biji bawang besar.
  • 1 labu bawang putih.
  • 1 biji tomato. Atau anda juga boleh gunaan tomato ceri jika tiada tomato.
  • 2 biji bunga lawang.
  • 1 sudu kecil cuka epal atau jus lemon.

Cara menyediakan stok ayam untuk bayi adalah seperti berikut:

"
  • Masukkan semua bahan tadi dalam periuk. Isi air sehingga hampir penuh. Tinggalkan sedikit ruang supaya tidak tumpah semasa mengelegak. Adalah lebih baik jika anda menggunakan periuk stanless steel kerana dikhuatiri akan berlaku tindak balas di antara cuka epal atau lemon dengan periuk jika anda menggunakan periuk aluminium.
  • Masak dengan api perlahan selama 12 jam. 12 jam adalah masa yang terbaik. Jika anda tidak mempunyai masa untuk menunggu sehingga 12 jam, 2 sehingga 4 jam sudah memadai asalkan ayam sudah empuk dan terlerai daripada tulang. Atau sekurang-kurangnya anda tunggu sehingga air dalam periuk berkurangan kepada 1/3 daripada yang asal.
  • Padamkan api. Tapiskan. Ambil air rebusan sahaja untuk dijadikan stok. Stok ayam yang terbaik adalah kenyal dan jernih dan kelihatan seperti jeli. Isi ayam dan bahan-bahan yang lain dalam periuk jangan pula dibuang. Anda boleh gunakan sebagai bahan untuk dimasukkan ke dalam bubur bayi atau boleh digunakan untuk makanan orang dewasa.
  • Apabila air rebusan tadi betul-betul sejuk, tuangkan dalam bekas kiub ais. 
  • Semasa menyediaan bubur untuk bayi anda keluarkan 5 kiub stok ayam dan masukkan ke dalam bubur tadi. Panaskan dalam 5 minit sudah memadai.
cara buat stok ayam untuk bayi
Sumber: 100daysofrealfood

Cara buat stok ikan bilis

Selain stok ayam, anda juga boleh menyediakan stok ikan bilis untuk bayi anda. Gilirkan di antara stok ayam dan stok ikan bilis agar bayi anda kenal dengan pelbagai rasa dan tidak jemu dengan bubur nasi yang diberikan. Ikan bilis kaya dengan vitamin A, kalsium, kalium, dan selenium yang sangat baik untuk perkembangan bayi anda. Cara menyediakan stok ikan bilis untuk bayi adalah seperti berikut:

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Ikan bilis. Kopek dan bersihkan supaya tiada kepala, tulang, dan isi perut yang berwarna hitam. Pastikan anda membuang semua tulang agar bayi anda tidak tercekik atau terlekat tulang.

Cara menyediakannya:

  • Rendam ikan bilis dalam bekas berisi air yang dimasukkan ke dalam peti ais selama semalaman.
  • Keluarkan dari peti ais dan toskan.
  • Sangai iaitu goreng tanpa minyak sehingga betul-betul garing.
  • Kisar kering. Pastikan anda membuang semua tulang ikan bilis kerana ianya tajam dan boleh mencederakan mulut serta tekak bayi anda. Selain itu pastikan anda kisar ikan bilis sehingga betul-betul halus dan tidak berketul.
  • Ayak bagi memastikan tiada tulang atau ketulan.
  • Simpan dalam peti ais untuk memastikan kesegarannya.
  • Semasa menyediakan bubur untuk bayi anda, ambil sedikit dan campurkan ke dalam bubur.

Resepi bubur bayi yang lazat

Stok ayam dan stok ikan bilis tadi boleh anda gunakan sebagai perasa untuk melazatkan bubur yang anda sediakan untuk bayi anda sama ada bubur nasi atau bubur oat. Untuk mendapatkan bubur yang lazat, anda boleh memasukkan bahan-bahan berkhasiat ke dalam bubur bayi anda seperti:

  • Daging ayam atau daging lembu yang direbus sehingga betul-betul empuk. Kisar sehingga betul-betul halus agar bayi anda tidak tercekik.
  • Isi ikan yang digoreng tanpa minyak atau dipanggang sehingga betul-betul masak kemudian carik-carikkan sehingga halus. Pastikan tiada tulang.
  • Sayur-sayuran seperti lobak merah, tomato. daun saderi, lobak putih, dan sebagainya.

Itulah dia info tentang cara buat stok ayam untuk bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang resepi bubur nasi bayi,  resepi makanan bayi 6 bulan, dan penjagaan gigi susu

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.