Siapa yang tak suka makan cheese? Lebih-lebih lagi jika dimakan semasa cheese tengah panas. Sedap sungguh anda menarik-narik cheese yang kenyal. Makin ditarik makin panjang jadinya namun tidak putus. Namun tak dinafikan bahawa harga cheese bukannya murah.

Makin sedap dan berkualiti sesuatu cheese semakin mahal harganya. Tahukah anda bahawa yang sebenarnya kita boleh buat sendiri cheese di rumah. Prosesnya mudah sahaja dan kos pun murah. Jom kami kongsikan beberapa cara buat cheese yang anda boleh cuba.

cara buat cheese

Sumber: Dekaaskamer

Cheese dari susu segar

Seperti yang anda tahu, cheese adalah hasil tenusu yang dibuat daripada susu segar sebagai salah satu bahan utamanya. Cara buat cheese yang ini adalah yang paling mudah dengan bahan yang sangat mudah untuk disediakan. Rugi sangat kalau anda tak cuba. Untuk membuat cheese homemade cara ini, anda Cuma perlu lakukan langkah-langkah yang berikut:

Bahan-bahan:

  • 2 cawan susu segar.
  • 4 sudu teh cuka makan atau boleh juga gunakan jus lemon atau jus limau nipis.
  • Secubit garam halus.

Alatan yang diperlukan:

  • Periuk stainless steel atau enamel.
  • Mangkuk kaca. Kalau anda tiada mangkuk kaca, mangkuk plastic pun boleh digunakan namun untuk menghasilkan cheese yang cantik,digalakkan untuk menggunakan mangkuk kaca.
  • Penapis
  • Kain kasa. Kalau anda tidak mempunyai kain kasaboleh juga gunakan tudung bawal.
  • Sudip stainless steel atau sudip kayu.

Cara-caranya:

  • Masak susu segar di dalam periuk. Kacau sentiasa dan pastikan susu tidak hangus atau meruap. Masak sehingga mendidih. Setelah mendidih tutup api dan biarkan susu tadi di dalam periuk.
  • Masukkan cuka atau jus lemon ke dalam susu tadi dan terus kacau. Kacau selama 10 sehingga 15 minit tanpa henti. Anda akan mula melihat susu terpisah dan menjadi gumpalan kecil seperti susu basi.
  • Sediakan penapis dan mangkuk. Letakkan kain kasa di atas penapis tadi. Tuang susu ke dalam penapis dan tekan untuk membuang air dari susu tadi. Tapis sehingga tiada lagi air dalam gumpalan susu.
  • Setelah pasti tiada lagi air dalam gumpalan susu, masukkan garam dan kacau rata.
  • Setelah garam sebati dengan gumpalan susu, adun sehingga gumpalan menjadi bentuk bulat seperti cheese yang dijual di pasaran. Siap!
  • Simpan cheese anda di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegarannya dan supaya ia tahan lama. Mudah saja kan.

Cheese dari susu tepung

Selain menggunakan susu segar, anda juga boleh buat cheese sendiri dengan menggunakan susu tepung. Rasanya tak kurang sedap jika dibandingkan dengan cheese yang dibuat dari susu segar. Cara buat cheese dari susu tepung adalah seperti berikut:

Bahan-bahan:

  • 120 gram susu tepung
  • 600 cc air
  • 90 cc cuka

Cara-caranya:

  • Masukkan air dan susu tepung ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Pastikan anda kacau sentiasa agar susu tidak hangus atau meruap. Tutup api setelah mendidih.
  • Masukkan cuka dan kacau. Kacau selama 10 sehingga 15 minit tanpa henti. Anda akan mula melihat susu terpisah dan menjadi gumpalan kecil seperti susu basi.
  • Sediakan penapis dan mangkuk. Letakkan kain kasa di atas penapis tadi. Tuang susu ke dalam penapis dan tekan untuk membuang air dari susu tadi. Tapis sehingga tiada lagi air dalam gumpalan susu.
  • Simpan dalam bekas tertutup di dalam peti sejuk.
cara buat cheese

Sumber: Greendirtfarm

Cheese dari susu tepung dan air panas

Ini adalah satu lagi cara buat cheese homemade yang menggunakan susu tepung sebagai bahan utama. Bahannya lebih kurang sama seperti resepi yang kami kongsikan di atas namun cara penyediaannya adalah berbeza. Untuk membuat cheese dengan cara ini, apa yang perlu anda lakukan ialah:

Bahan-bahan:

  • 1 ½ cawan susu tepung
  • 2 cawan air panas
  • 2 sudu cuka atau jus lemon

Cara-caranya:

  • Kisar air panas dan susu tepung sehingga sebati. Kemudian tuang dalam kuali. Anda dinasihatkan untuk menggunakan non-stick pan untuk mendapatkan cheese yang elok.
  • Masak atas api yang sederhana. Tuangkan cuka atau jus lemon di tepi kuali secara perlahan-lahan. Anda akan melihat susu mula terpisah dan bergumpal.
  • Sediakan penapis dan mangkuk. Letakkan kain kasa di atas penapis tadi. Tuang susu ke dalam penapis dan tekan untuk membuang air dari susu tadi. Tapis sehingga tiada lagi air dalam gumpalan susu.
  • Simpan dalam bekas tertutup di dalam peti sejuk.

Sos cheese homemade

Selain cara buat cheese, kami ingin kongsikan cara buat sos cheese ala kfc yang sangat sedap sehingga menjilat jari. Tiap kali makan kfc pastinya anda tak puas kerana sos cheese yang diberikan adalah dalam kuantiti yang sedikit. Anda boleh buat sendiri dan makan sepuas-puasnya. Berikut adalah cara untuk buat sos cheese homemade yang boleh anda cuba:

Bahan-bahan:

  • 6 keping cheese
  • 150 gram marjerin
  • 1 ketul kiub ayam
  • 1 sudu jecil lada sulah
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 1 sudu besar gula
  • 1/2 cawan susu full cream
  • 1 sudu tepung gandum dibancuh dengan air suam dengan pekat
  • Sedikit pewarna kuning untuk warna

Cara-caranya:

  • Cairkan marjerin dan susu dengan cara dipanaskan di atas api sederhana. Selepas marjerin cair masukkan susu.
  • Kemudian masukkan cheese sekeping demi sekeping dan biarkan ia mencair.
  • Setelah cheese cair masukkan bahan-bahan lain. Kacau sehingga sebati dan tutup api.
  • Kemudian anda boleh kisar sos tadi untuk mendapatkan tekstur yang gebu.
  • Masukkan ke dalam botol dan simpan di dalam peti sejuk.
cara buat cheese

Sumber: Epicurious

Itulah dia cara buat cheese homemade yang ingin kami kongsikan. Semoga bermanfaat buat anda. Lepas ni bolehlah anda buat sendiri cheese dan tak perlu dibeli dari kedai lagi. Selamat poket. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara buat air selusuh, cara buat doll house, dan cara buat stok ayam untuk bayi.

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.