Masyarakat sebenarnya sudah arif tentang bahaya merokok termasuklah dalam kalangan perokok sendiri.

Banyak kajian yang telah membuktikan bahawa merokok boleh meningkatkan risiko banyak penyakit berbahaya termasuklah kanser paru-paru.

Tambahan pula, golongan bukan perokok juga kurang gemar mendekati asap rokok kerana sedar akan risiko asap rokok kepada diri dan keluarga mereka terutamanya kepada anak- anak kecil.

Bagi perokok pula, ramai dalam kalangan mereka yang mula sedar dan berusaha untuk menghentikan tabiat ini. Namun begitu, usaha untuk berhenti merokok bukanlah semudah yang disangka.

BERHENTI MEROKOK
Imej via Bulletproof.com

Ia memerlukan pengetahuan, ketabahan dan sokongan daripada kenalan rapat. Nasihat dan bimbingan dari pakar juga amat diperlukan bagi memastikan perokok berjaya berhenti dari tabiat yang kurang sihat ini.

Namun begitu, usah khuatir kerana kini, terdapat ubatan dan rawatan yang boleh membantu perokok untuk mencapai hasrat mereka untuk berhenti merokok.

Dapatkan dahulu nasihat dari doktor dan ahli farmasi sebelum mengambil ubatan tertentu ya! Kami kongsikan 3 ubat berhenti merokok farmasi yang boleh diciba.

1. Terapi Nikotin Gantian

NRT (Ncotine Replacement Therapy) adalah antara rawatan yang berkesan dalam merawat ketagihan merokok.

Rawatan ini akan memberikan perokok kadar nikotin yang lebih rendah dari rokok biasa tanpa bahan-bahan berbahaya seperti tar, karbon monoksida dan bahan karsinogen yang lain. Kesan sampingan berhenti merokok seperti gangguan emosi dan nafsu merokok boleh dikurangkan dengan pengambilan nikotin gantian.

Nikotin gantian boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuklah penampal, gula-gula getah, tablet, lozeng dan penyembur.Nikotin dalam bentuk penampal mengeluarkan nikotin secara perlahan manakala penyedut, gula-gula getah dan semburan bertindak lebih pantas untuk mengurangkan keinginan merokok.

Imej via Quit.org

Menggunakan lebih dari satu jenis nikotin gantian adalah lebih berkesan berbanding hanya menggunakan satu jenis sahaja.

Sebagai contoh,penggunaan penampal nikotin boleh digandingkan dengan mengunyah gula getah nikotin untuk kesan yang lebih baik.

Rawatan dengan terapi nikotin gantian mengambil masa 8 hingga 12 minggu sebelum dos dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya berhenti.Kebanyakan orang boleh menggunakan terapi ini.

Walaubagaimanapun, sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terutamanya jika anda mempunyai masalah berkaitan buah pinggang, hati ataupun jantung.

Kesan sampingan :

Terapi gantian nikotin boleh menyebabkan kesan seperti berikut. Akan tetapi, usah risau kerana kesan-kesan ini biasanya tidak serius dan tidak berlarutan.

– Iritasi kulit jika menggunakan tampalan nikotin

Imej via Johnson Company

– iritasi pada hidung, tekak atau mata jika menggunakan semburan

– kesukaran tidur

– sakit perut

– sakit kepala

2. Bupropion

Ubat ini biasa digunakan untuk merawat pesakit kemurungan dan kini didapati mampu membantu dalam menghentikan tabiat merokok.

Cara ubat ini berfungsi masih belum diketahui, tapi ia dipercayai memberi kesan kepada bahagian otak yang berkaitan dengan masalah ketagihan. Bupropion perlu diambil 1 atau 2 minggu sebelum berhenti merokok.

Penggunaan bupropion tidak digalakkan untuk golongan di bawah:

– kanak-kanak berusia 18 tahun kebawah

– wanita yang mengandung dan sedang menyusukan bayi, pesakit epilepsi

– gangguan bipolar

– gangguan pemakanan

– pesakit sawan

– peminum alkohol tegar

– pesakit cirrhosis

– kecederaan parah di kepala

Kesan sampingan :

– mulut kering

– insomnia

– sakit kepala

– sembelit

– sukar fokus

– pening

– hidung tersumbat

– sawan

– tertekan, cemas, gelisah, agresif, hiperaktif

Bupropion mungkin boleh berinteraksi dengan ubatan lain.

Oleh itu, anda perlu memaklumkan kepada pakar mengenai ubatan lain yang diambil untuk memastikan tiada interaksi yang berbahaya.

3. Varenicline

Varenicline membantu untuk menghentikan tabiat merokok dengan cara mengganggu reseptor nikotin pada otak.

PILLS
Imej via Healthline.com

Oleh itu, ia membantu mengurangkan keinginan merokok dan mengurangkan simptom-simptom pengurangan nikotin dalam badan.Kebiasaannya, ubat ini diambil selama 12 minggu.

Ada juga yang perlu mengambil pada minggu-minggu seterusnya bagi meningkatkan peluang untuk tidak kembali merokok.

Kesan sampingan:

– mabuk

– muntah

– sakit kepala

– insomnia

– sembelit

– kembung perut/ angin

– perubahan pada rasa

– kemerahan kulit

– sawan

– perubahan emosi

Sesetengah kajian mencadangkan pengambilan varenicline bersama NRT adalah selamat. Namun begitu, banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk memastikan perkara ini.

Meskipun usaha untuk berhenti merokok penuh dengan cabaran dan memerlukan tekad yang kuat, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Penggunaan e-cigarette juga sekurang-kurangnya boleh membantu para perokok untuk menghindari rokok secara beransur-ansur.

Tambahan pula, kandungi nikotinnya lebih rendah dan tidak mempunyai bahan berbahaya seperti tar dan karbon monoksida dalam rokok sebenar.

Jika anda seorang perokok dan masih tidak bercadang untuk menghentikan tabiat ini, sekurang-kurangnya fikirkan kesannya kepada keluarga dan insan yang tersayang.

Anda masih belum terlambat untuk melakukan perubahan demi kesihatan anda dan orang lain!

Rujukan

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.