internetaddictsentzconsulting.com

Dua tahun lalu, seorang pemuda di China meninggal dunia akibat bermain permainan komputer atas talian selama tiga hari berturut-turut di sebuah kafe siber di pinggir bandar Beijing. Pemuda berusia 30 tahun itu dilaporkan tidak tidur dan makan tetapi hanya duduk di depan komputer selama tiga hari.

Bulan lalu, seorang pemuda berbangsa Cina berusia 23 tahun di Pulau Pinang meninggal dunia dipercayai bermain permainan komputer tanpa henti selama 15 jam.

Ini antara beberapa kes yang dilaporkan di akhbar dan didapati daripada Internet.

Masalah ketagihan Internet walaupun belum terdapat kajian terperinci di negara ini tetapi beberapa negara seperti Korea dan China telah mempunyai klinik khusus untuk merawatnya.

Leka

Di negara ini, Internet serta gajet bukanlah sesuatu yang asing bagi generasi Y kerana sebaik sahaja ‘celik mata’ mereka sudah didedahkan dengan teknologi berkenaan.

Internet tidak mendatangkan masalah jika digunakan dengan baik oleh mereka yang menggunakannya. Internet mampu menyampaikan maklumat dengan pantas menjadikan dunia tanpa sempadan yang tidak pernah kita terfikir suatu masa dulu.

addictnewyorker

Bagaimanapun ledakan maklumat boleh menyebabkan seseorang menjadi leka dengan pelbagai laman yang terdapat di dalam Internet.

Akses mudah kepada Internet menjadikan remaja dan kanak-kanak terutama generasi Y menjadi ketagih kepada teknologi maklumat mudah alih ini.

Pensyarah yang juga pakar runding psikitris, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, masalah penggunaan Internet berlebihan boleh disebabkan oleh permainan dalam talian, pornografi, judi Internet dan sosial media.

“Seseorang boleh dikategorikan mempunyai masalah ketagihan Internet apabila menggunakan Internet secara berlebihan sehingga mengabaikan makan, minum, rehat dan tidur,” katanya semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka yang ketagihan Internet biasanya mempunyai unsur ‘withdrawal’ iaitu timbul perasaan resah gelisah apabila tidak dapat menggunakan Internet.

Mereka juga mempunyai sifat ‘tolerance’ iaitu jumlah penggunaan Internet yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Mereka ini juga cenderung menukar gajet yang lebih canggih bagi mendapatkan akses Internet lebih mudah,” katanya.

Selain itu mereka yang dikategorikan ketagihan Internet akan mengabaikan keperluan asas seperti makan, minum, tidur, bersosial dan lebih suka menghabiskan masa di depan komputer atau gajet.

Dr. Muhsin berkata, akibatnya penagih Internet akan memberikan kesan negatif kepada produktiviti sama ada di pejabat atau sekolah.

“Mereka akan menghabiskan masa dengan Internet dan mengabaikan tugasan sama ada di pejabat atau di sekolah.

“Malah lebih teruk terdapat pelajar yang mencuri bagi mendapatkan duit ke siber kafe,” katanya.

Jelas Dr. Muhsin, mereka ini akan mengalami gangguan emosi dan mengabaikan kesihatan serta ponteng kerja dan sekolah.

Penggunaan Internet yang berlebihan juga akan menyebabkan keletihan yang menjejaskan kesihatan melibatkan mata, jantung, obesiti dan emosi tertekan.

“Bagaimanapun masalah ini tidak disedari oleh individu berkenaan tetapi dapat dikenal pasti oleh orang sekeliling.

“Ibu bapa, adik beradik atau kawan-kawan perlu menegur atau memberikan nasihat jika terdapat tanda-tanda ini pada anak atau rakan mereka,” katanya.

Dr. Muhsin berkata, biasanya individu yang terlibat dengan ketagihan Internet tidak mempunyai aktiviti riadah, kurang berkawan dan bersikap introvet iaitu sukar untuk berinteraksi dengan orang sekeliling.

“Mereka lebih gemar meluahkan perasaan kepada media sosial yang disangka hanya perbualan sehala. Tetapi sebenarnya media sosial hanya mendatangkan masalah lebih besar kerana mempunyai audien yang ramai,” katanya.

Tambah Dr. Muhsin, remaja memerlukan kehidupan sosial yang sihat bagi mempelajari emosi serta bahasa badan.

Pendedahan kepada gajet yang berlebihan akan menyebabkan hubungan keluarga menjadi renggang.

“Kanak-kanak yang terdedah kepada Internet pada peringkat awal boleh menyebabkan kurangnya interaksi secara fizikal dengan keluarga dan akan memberikan kesan buruk terhadap emosi bagi jangka panjang,” katanya.

Tumpuan kepada Internet yang berlebihan boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi longgar dalam jangka masa panjang.

“Sepatutnya perlu ada interaksi dengan ahli keluarga sekurang-kurangnya semasa makan,” katanya.

huffingtonpost

Dr. Muhsin menambah, bagi mengatasi masalah berkenaan ibu bapa perlu memberikan perhatian mengenai penggunaan Internet di kalangan anak-anak kerana pada usia kanak-kanak dan remaja tidak dapat menilai maklumat di dalam Internet.

“Sesetengah negara menyediakan perisian yang sesuai bukan saja untuk mengehadkan penggunaan Internet dan menapis kandungan tetapi juga memantau apa yang dilihat oleh anak mereka.

“Dengan ini ibu bapa boleh memastikan apa yang diakses oleh anak mereka di Internet kerana ini penting bagi perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Dr. Muhsin berkata, di Korea misalnya, ramai remaja membunuh diri kerana mereka mendapat maklumat mengenainya di Internet.

Justeru remaja dan kanak-kanak perlu dididik mengenai Internet sama ada di sekolah atau di rumah.

Tanpa didikan atau bimbingan, kanak-kanak tidak dapat memilih mana yang benar atau salah.

Kredit : KHAIRUNNISA SULAIMAN

Sumber : myhealth.gov.my

Penulis: Nabilah Ruza

Merupakan salah penyumbang di Bidadari.my. Rajin berkongsi artikel yang berinformasi di sini.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.