Di Malaysia terdapat dua jenis lebah iaitu lebah madu atau lebah biasa dan juga lebah kelulut. Kedua-dua lebah ini adalah berbeza dari segi fizikal malah keduanya menghasilkan madu dengan rasa dan tekstur yang berbeza. Masihkan anda ingat, semasa sekolah dulu kita ada belajar bagaimana lebah membuat madu, iaitu dengan cara mencari debunga dari pokok bunga di persekitarannya.

Hari ini kami akan berkongsi tentang bunga kelulut iaitu bunga yang menjadi kegemaran lebah kelulut. Bunga-bunga ini juga adalah bunga yang debunga diambil oleh lebah kelulut untuk dijadikan sebagai madu. Semoga bermanfaat buat anda.

bunga kelulut

Sumber: Jiwasihat

Perbezaan di antara lebah madu biasa dan lebah kelulut

Terlebih dahulu, jom kami kongsikan apakah perbezaan di antara lebah madu biasa dan lebah kelulut. Untuk yang pakar, biasanya mereka boleh membezakan keduanya dengan sekadar melihat dengan sekilas, namun bagi kita yang tidak mengenali lebah dengan dekat, di antara perbezaan yang paling ketara ialah:

  1. Lebah kelulut tidak mempunyai sengat seperti lebah madu. Oleh itu, anda tidak perlu risau jika disengat semasa mengambil madu dari sarang lebah kelulut.
  2. Fizikal lebah kelulut adalah lebih mirip seperti lalat berbanding fizikal lebah madu biasa yang kita kenal.
  3. Rasa madu dari lebah kelulut adalah sedikit kemasaman berbanding madu dari lebah madu yang lebih manis.

Bunga yang disukai oleh lebah kelulut

Sekarang kita dah kenal lebah kelulut serta rasa madunya, maka tiba masa untuk mengetahui apakah jenis bunga yang menjadi kegemaran madu kelulut. Kalau anda merancang untuk menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madunya sama ada untuk kegunaan sendiri atau pun untuk tujuan komersial, berikut adalah di antara jenis tumbuhan yang wajib anda tanam di kawasan persekitaran sarang lebah kelulut anda:

  1. Bunga pada pokok ulam raja

Anda suka makan ulam? Jika anda suka makan ulam, pastinya salah satu daripada ulam yang menjadi kegemaran anda ialah pucuk ulam raja. Ulam raja menjadi kegemaran rakyat Malaysia kerana rasanya yang sedap dan baunya yang wangi. Bau wangi pada pokok ulam raja membuatkan ianya menjadi pokok kegemaran lebah kelulut. Maka tak hairanlah kalau anda akan menjumpai seekor dua lebah kelulut semasa mengambil ulam untuk dijadikan sebagai menu.

Lebah kelulut akan berada di sekira bunga kuning yang tumbuh pada pokok ulam raja untuk mendapatkan debunganya. Oleh itu, jika anda mengambil pucuk ulam raja sila berhati-hati, dan elakkan daripada terpicit lebah kelulut yang berada di dalam bunganya. Jika anda ingin menternak lebah kelulut untuk madu, menanam pokok ulam raja adalah sangat mudah dan ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Sekejap sahaja ia akan membiak.

  1. Bunga ros jepun

Bunga kelulut yang seterusnya ialah bunga ros jepun atau bunga pukul sembilan yang biasanya ditanam oleh para ibu sebagai perhiasan di sekeliling rumah. Bunga ros jepun menjadi pilihan para ibu kerana bunganya yang cantik dengan pelbagai warna serta mudah untuk dijaga. Lebah kelulut juga menyukai bunga ini dan akan selalu kelihatan bermain di kelopak bunga ros jepun untuk mendapatkan debunganya.

bunga kelulut

Sumber: Youtube

  1. Bunga air mata pengantin

Bunga Air Mata Pengantin atau nama lainyya Mexican creepers, Coral vines, dan Antigonon leptopus adalah satu lagi bunga kelulut yang selalu dijumpai di halaman rumah di Malaysia. Namun anda perlu berhati-hati kerana bunga ini bukan sahaja menarik perhatian lebah kelulut malah juga disukai oleh lebah madu biasa yang bersengat. Oleh itu, jika anda menanam pokok bunga ini di sekeliling rumah, sila berhati-hati semasa mendekatinya kerana dikhuatiri akan disengat oleh lebah madu.

  1. Bunga melati

Tahukah anda bahawa bunga melati yang berwarna putih dan berbau harum juga merupakan salah satu daripada bunga kelulut. Bunga melati atau juga dikenali sebagai bunga jasmine ialah bunga yang menjadi kegemaran ibu-ibu kerana baunya yang harum serta bunganya yang cantik. Bunga melati menjadi kegemaran lebah kelulut kerana baunya dan mempunyai debunga yang lazat.

  1. Bunga pisang atau jantung pisang

Bunga kelulut yang seterusnya ialah bunga pisang atau pun jantung pisang. Lebah kelulut sangat sukakan jantung pisang.Oleh itu, jika anda merancang untuk menternak madu kelulut, salah satu daripada pokok yang boleh anda tanam di kawasan tersebut ialah pokok pisang. Bukan sahaja jantungnya menjadi kegemaran lebah kelulut malah anda boleh nikmati hasil buah pisang dari pokok tersebut.

  1. Bunga matahari

Lebah kelulut juga sukakan bunga matahari yang berwarn kuning terang. Ianya merupakan salah satu bunga kelulut yang mudah untuk ditanam dan mudah untuk dijaga. Untuk menanam bunga matahari, anda cuma perlu taburkan biji benihnya dan siram sehari sekali. Jika ditanam di tanah yang subur, pokok bunga matahari akan tumbuh dengan tinggi dan menghasilkan bunga matahari yang besar.

Tanaman bunga matahari bukan sahaja baik untuk lebah kelulut malah ianya sangat cantik untuk dipandang. Jika anda suka makan kuaci, petik sahaja biji kuaci yang ada di tengah-tengah bunga matahari. Biji kuaci tadi boleh terus dimakan begitu sahaja atau boleh juga anda sangai sebentar di atas kuali.

bunga kelulut

Sumber: Phys

Itulah dia perkongsian bunga kelulut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang bunga raya Malaysia dan khasiat bunga cengkih

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.