Tidak dinafikan, menjadi ibu bapa bukan sesuatu yang mudah. Ia sememangnya mencabar fizikal, mental dan emosi kita semua.

Walaupun kita sibuk dalam melakukan pelbagai urusan harian, ianya bukan alasan untuk kita mengelak daripada membaca bahan-bahan ilmiah berkenaan keibubapaan.

Dalam apa jua yang kita lakukan, kita memerlukan ilmu. Begitu juga dalam aspek mendidik anak-anak. Ilmu keibubapaan sangat penting dalam melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sedangkan untuk memasak dan bercucuk tanam pun kita memerlukan ilmu, apatah lagi dalam hal mendidik anak-anak yang merupakan ‘saham akhirat’ kita, bukan?

Foto Kredit : thatsassylifecoach.com

5 BUKU ‘PARENTING’  SANTAI IBU AYAH WAJIB BACA

Berikut merupakan 5 buah buku berkonsepkan ‘parenting’  yang wajar dibaca oleh kita semua dalam usaha kita memberi didikan terbaik buat anak-anak.

1. 3 KERTAS, 3 KRAYON, 3 PENSEL WARNA

Penulis : Adlil Rajiah & Najmi Haniffah
Penerbit : Must Read Sdn. Bhd
Jumlah halaman : 474

Buku yang cukup santai dan penuh warna-warni ini memuatkan pelbagai topik menarik dalam 3 bahagian berikut :-

  • Tips keibubapaan
  • Tips pakar psikiatri
  • Idea aktiviti kanak-kanak

Ianya menjawab pelbagai persoalan yang sering bermain di fikiran kita sebagai ibu bapa.

Turut menjadi sisipan dalam buku ini adalah beberapa resipi untuk kanak-kanak yang boleh dijadikan rujukan buat ibu bapa dalam menyediakan makanan buat anak tercinta.

2. ‘WHY SO SERIOUS, PARENTS?’

Penulis : Adlil Rajiah
Penerbit : Must Read Sdn. Bhd
Jumlah halaman : 376

Buku penuh warna-warni ini membawa kita menyelami dunia dan jiwa anak-anak agar kita tidak cepat melenting dalam menghadapi pelbagai situasi.

Buku kedua hasil nukilan Puan Adlil Rajiah ini merangkumi beberapa bahagian iaitu :-

  • Tips keibubapaan
  • Aktiviti bersama anak
  • Refleksi diri

Bahagian terakhir dalam buku ini yang bertajuk ‘Why So Serious, Parents’  memuatkan beberapa ringkasan kisah benar daripada pengalaman peribadi beliau.

3. IBU, KU INGIN TAHU

Penulis : Nur Khairunnisa Iskandar
Penerbit : Telaga Biru
Jumlah halaman : 159

Sebagaimana yang kita ketahui, anak kecil mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan gemar bertanyakan soalan. Soalan mereka ada kalanya sangat ‘advance’  sehingga kita sendiri tidak tahu jawapan terbaik bagi menjawab pertanyaan tersebut.

Mungkin kita pernah ditanya anak dengan soalan seperti “Mana Allah?”. Panduan untuk menjawab soalan sebegini ada di dalam buku ini.

Buku ‘parenting’  berkonsepkan islamik ini memuatkan tips-tips dan cara untuk ibu ayah menjawab 16 soalan daripada anak-anak dalam mengenal Allah S.W.T dan agama Islam.

Pengisian buku yang penuh warna ini dapat membantu kita sebagai ibu ayah dalam merungkai tanda tanya si manja dengan kreatif, agar mereka mudah untuk memahami perkara-perkara abstrak dan hukum-hakam agama.

4. FILOSOFI MAK SINGA

Penulis : Anie-Alja
Penerbit : Komrad Buku
Jumlah halaman : 239

Membaca buku ini ibarat kita berbual dengan penulisnya, Anie-Alja. Walaupun ianya tidak berwarna, namun buku ini cukup santai dan membuatkan kita tidak mahu berhenti daripada membacanya helaian demi helaian.

Buku ini dibahagikan kepada 8 topik yang berkisar tentang pelbagai aspek perbezaan keibubapaan zaman dahulu dan masa kini.

Buku ini turut menjawab persoalan tentang ketegasan ibu bapa yang garang umpama ‘singa’ dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

5. NOTA PARENTING OHSEM

Penulis : Dr. Taufiq Razif
Penerbit : Hilal Asyraf Resources
Jumlah halaman : 220

Buku ‘parenting’  terbaru yang penuh warna ini padat dengan tips dan teknik menarik berkenaan keibubapaan daripada Dr. Taufiq Razif, seorang doktor perubatan.

Buku yang mengandungi 41 Bab dan 99 Nota Parenting ini mengupas pelbagai isu tentang keibubapaan dan anak-anak secara ringkas dan santai.

Gaya bahasa yang digunakan juga sangat mudah difahami dan wajar dijadikan sumber inspirasi buat kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan generasi masa kini.

JOM BELAJAR ILMU ‘PARENTING’ !

Ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak. Menjadi ibu bapa membuatkan kita perlu menuntut ilmu setiap saat. Anak-anak berbeza antara satu sama lain dan kita seharusnya memahami cara mendidik setiap seorang daripada mereka.

Ayuh kita belajar ilmu ‘parenting’ melalui buku-buku ini dalam mendidik anak-anak. Semoga kita menjadi ibu bapa hebat yang sentiasa bertakhta di hati mereka.

Selamat membaca dan selamat menimba ilmu!

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.