Buasir bukan penyakit luar biasa. Ia adalah penyakit yang sering berlaku. Ia juga penyakit yang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Walaupun begitu, orang dewasa yang berusia 30 tahun ke atas dan wanita mengandung adalah kumpulan yang selalu mendapat penyakit ini. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, berdiri lama setiap hari atau mengangkat benda berat juga adalah mangsa kepada penyakit buasir.

buasir
Sumber: Thecoverage

Buasir adalah punca paling biasa berlakunya pendarahan rektum. Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur.

Masalah mulai timbul apabila ia menjadi radang atau membengkak. Walaupun ia jarang berbahaya dan boleh sembuh dalam masa beberapa minggu, tetapi pesakit masih perlu berjumpa dengan doktor untuk memastikan tiada masalah yang lebih serius sedang dihadapi.

Punca Buasir

Ada beberapa sebab yang menjadi punca berlakunya buasir. Cuba lihat senarai di bawah dan periksa jika anda memilikinya;

  • Sekiranya ahli keluarga yang lain mempunyai masalah buasir, maka ada kemungkinan besar anda juga boleh mendapat buasir.
  • Penambahan berat badan atau obesiti. Sebagaimana diketahui umum, buasir bukan sahaja boleh menyebabkan masalah buasir, namun turut mendedahkan pesakit kepada masalah-masalah kesihatan yang lain.
  • Hamil.
  • Berdiri atau duduk terlalu lama. Mereka yang berdiri atau duduk terlalu lama akan menyebabkan berlakunya regangan. Ini juga berlaku kepada mereka yang mengangkat benda berat.
  • Sembelit dan cirit-birit. Masalah sembelit dan cirit-birit yang berlarutan mendedahkan kepada masalah buasir. Batuk, muntah dan bersin hanya menjadikan masalah buasir menjadi lebih teruk.

Semua punca yanng disenaraikan di atas menyebabkan berlakunya buasir kerana adanya tekanan pada bahagian bawah rektum yang boleh memberi kesan kepada aliran darah dan menjadikan vena membengkak.

Tahap Buasir

Buasir mempunya dua tahap. Mengetahui di mana tahap buasir seseorang sangat membantu dalam menentukan rawatan yang sesuai. Radang diklasifikasikan kepada dua iaitu buasir dalaman dan buasir luaran.

  • Buasir dalaman

Sepertimana namanya, buasir dalaman adalah salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit tidak merasa sakit tetapi akan menyedari adanya pendarahan pada najis. Sesetengah pesakit akan merasa seperti ada unjuran yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Namun, unjuran ini boleh hilang sendiri atau pesakit perlu menolak unjuran ini balik ke dalam.

  • Buasir luaran

Buasir luaran merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Buasir luaran lebih teruk di mana pesakit akan merasa sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Tetapi, rasa sakit ini berbeza kepada setiap orang. Ada yang berasa agak tidak selesa dan ada yang merasa panas atau amat pedih. Kesakitan teruk yang dirasai mungkin disebabkan oleh salur darah yang tersumbat akibat darah beku.

Buasir mungkin tidak serius dan boleh dirawati. Namun, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan dari doktor untuk memastikan sama ada ia buasir atau penyakit yang lebih serius seperti kanser usus.

Selepas mendapatkan pengesahan daripada doktor, maka tiba pula masanya untuk memulakan rawatan bagi mengubati buasir.

buasir
Sumber: Health

Rawatan Buasir

Langkah-langkah merawat buasir boleh melibatkan pembedahan dan sebahagiannya boleh dilakukan sendiri dengan nasihat daripada doktor.

Kita mulakan dengan melegakan kesakitan dan kegatalan dengan air suam. Pesakit hanya perlu duduk di dalam air suam setinggi 3 inci selama kira-kira 15 minit untuk beberapa kali sehari. Ini dapat membantu mengurangkan bengkak dan merehatkan otot. Usaha ini amat sesuai dilakukan selepas pesakit membuang air besar.

Selain air suam, pesakit juga boleh meletakkan pek ais selama beberapa minit untuk mengurangkan bengkaknya.

Terdapat juga ubat dalam bentuk minyak atau krim yang boleh disapukan pada bahagian luar atau dalam dubur anda. Namun, sebahagian ubat-ubatan ini tidak digalakkan untuk digunakan melebihi satu minggu atau selama mana dibenarkan oleh doktor.

Diet yang tinggi serat juga amat bagus kepada pesakit buasir. Pesakit digalakkan untuk makan banyak sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, dan bijirin untuk mengelakkan sembelit. Buah-buahan segar adalah lebih baik daripada makanan berasaskan buah-buahan seperti pai epal. Dapatkan juga snek yang lebih sihat seperti aprikot kering dan kurma. Jika makan bjirin, cuba campurkan buah-buahan ke dalamnya. Pesakit juga boleh memilih buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi banyak air seperti tembikai dan timun.

Pelanggan juga perlu minum sebanyak tujuh sehingga lapan gelas air sehari. Tetapi, ini bergantung kepada keadaan cuaca di tempat pesakit. Cuaca panas seperti di Malaysia mungkin memerlukan pesakit untuk minum lebih daripada itu dalam sehari.

Penjagaan pemakanan adalah sangat penting. Sekiranya anda makan ubat atau melakukan pembedahan untuk buasir sekalipun, anda masih perlu mengubah cara pemakanan anda. Ini bagi mengelakkan buasir kembali dalam hidup pesakit.

Pesakit tidak digalakkan untuk makan makanan yang diproses. Jika doktor mendapati anda kekurangan serat, mungkin anda akan diberikan makanan tambahan untuk menambah kandungan serat tersebut.

Apakah makanan yang patut dielakkan? Makanan yang perlu dielakkan adalah makanan yang boleh menyebabkan sembelit seperti produk tenusu seperti susu dan keju, daging dan makanan yang diproses seperti makanan segera dan hidangan sejuk beku. Pesakit juga perlu berhati-hati dengan makanan bergaram. Pengambilan garam pada jumlah yang banyak menyebabkan tubuh terlalu bergantung kepada air. Ini menyebabkan tekanan kepada pembuluh darah.

Bersenam memang bagus untuk kesihatan. Sebab itulah senaman juga penting kepada mereka yang mengalami buasir. Berjalan kira-kira 20 hingga 30 minit sehari boleh membantu pesakit.

buasir
Sumber: Everydayhealth

Pesakit juga digalakkan untuk duduk di atas kusyen yang lembut dan bukan permukaan yang keras. Walaupun tampak remeh, tapi ini dapat mengurangkan bengkak. Pesakit juga diminta agar bangun dan bergerak kira-kira lima minit selepas duduk dalam tempoh masa yang lama.

Pesakit juga boleh mendapatkan ubat dari farmasi yang boleh melegakan sakit seperti aspirin dan ibuprofen.

Bagi menghilangkan kegatalan, elakkan menggaru kerana ia boleh merosakkan kulit dan menyebabkan gatal menjadi lebih teruk. Pemilihan seluar dalam juga penting. Pilihlah seluar dalam yang longgar dengan bahan yang lembut seperti kapas. Ini memberi angin pada ruang dan menghentikan kelembapan yang menrangsang buasir.

Apa yang pesakit lakukan di dalam bilik air juga penting. Jangan menahan diri daripada membuang air besar. Ini hanya akan menambah tekanan. Jangan buang masa membuang air besar selepas mendapati anda tidak membuang air selepas beberapa minit. Usah memaksa diri dan cuba tetapkan masa tertentu sebagai rutin membuang air.

Selain tandas cangkung, pada masa kini juga terdapat banyak tandas duduk. Malah, kebanyakan rumah mempunyai tandas duduk berbanding tandas cangkung. Tahukah anda yang tandas cangkung memberi lebih manfaat berbanding tandas duduk? Bagi mereka yang mengalami sembelit, mencangkung boleh membantu melegakan masalah buasir. Oleh itu, tandas cangkung adalah yang terbaik untuk pesakit buasir.

Jika makanan dan langkah-langkah melegakan sakit tidak berkesan, pesakit mungkin terpaksa menjalani pembedahan dengan mengecilkan atau membuang buasir itu. Namun begitu, pembedahan boleh mendatangkan risiko-risiko lain seperti pendarahan, jangkitan, dan reaksi kepada anestasia.

buasir
Sumber: Siemens

Buasir merupakan masalah kesihatan yang boleh diatasi dengan mengubah gaya hidup. Elakkan masalah buasir menjadi lebih teruk dengan menjaga mengambil berat terhadap diet pemakanan dan gaya hidup sihat.

Rujukan:

Penulis: Samsiah Ahmad

Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.