Tidak kira yang beragama Islam mahupun bukan, semua orang mengenali insan hebat ini. Tokoh agama ini sangat terkenal keperibadiannya dalam menyantuni masyarakat. Malahan, beliau juga sering membantu orang yang hidup susah tanpa mengira agama dan bangsa.

Insan yang dimaksudkan sudah tentunya pendakwah bebas terkenal negara, Ustaz Ebit Lew. Figura hebat ini telah berjaya membuka mata kita tentang akhlak yang perlu ada dalam diri seorang muslim.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin mengajak para pembaca yang dikasihi untuk mengenali lebih dekat Ustaz Ebit Lew. Beliau yang sering menggunakan tagline ‘Keluarga Sunnah’ sering mengajak masyarakat agar mencontohi keperibadian Rasulullah.

Biodata Ustaz Ebit Lew

Maklumat Diri

  • Nama Islam: Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
  • Nama asal: Lew Yun Pau
  • Tarikh lahir: 21 Disember 1984
  • Umur: 36 tahun
  • Tempat kelahiran: Muadzam Shah, Pahang
  • Bangsa: Cina
  • Agama: Islam
  • Status: Berkahwin (4 orang anak)
  • Keluarga: Anak ke 3 daripada 12 orang adik-beradik
  • Profesion: Pengarah Urusan Transform Training & Consultancy, perunding latihan, penceramah motivasi dan pendakwah bebas

Tahap Pendidikan Ustaz Ebit Lew

  • SK Bukit Ridan (1991-1996)
  • SMK Muadzam Shah (1997-1999)
  • SM Teknik Johor Bahru (2000-2001)
  • SMK Abdul Rahman Talib (2002-2003)
  • Universiti Putra Malaysia

Pencapaian Ustaz Ebit Lew

  • Penerima ‘Anugerah Maulidur Rasul’ Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M.
  • Penceramah motivasi atau perunding latihan di Excel Training dengan bimbingan Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Hanim Tahir selama 4 tahun.
  • Panel jemputan dalam banyak media massa antaranya TV Al-Hijrah.
  • Membantu menaik taraf hidup pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan misalnya orang miskin, golongan LGBT, pelajar dan sebagainya.
  • Memberi ceramah bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura, Thailand, Indonesia, India, Pakistan dan sebagainya.
  • Penceramah di slot radio IKIM.fm dan Sinar.fm, Motivasi Pagi, slot Islam Agamaku, Usrah Nurani dan sebagainya.
  • Motivator dalam kursus di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Modul kursus meliputi pelbagai topik iaitu pengurusan stres, pembangunan manusia, kepemimpinan model Rasulullah S.A.W, sunnah dalam keluarga, komunikasi efektif dan sebagainya

Sejarah Hidup Ustaz Ebit Lew

Pastinya ramai yang hendak tahu sejarah hidup beliau. Dalam slot ‘Islam Agamaku’ di ruang udara radio IKIM.fm, beliau pernah berkongsi kisah hidupnya serba ringkas.

Ustaz Ebit Lew merupakan seorang lelaki berbangsa Cina dan beragama Buddha. Beliau mula meminati Islam seawal usia 12 tahun. Insan yang banyak mengubah pandangannya tentang agama dan kehidupan ialah guru matematiknya, Muhamad Noor.

Gurunya itu bukan sahaja mengajar subjek matematik di sekolah tetapi juga sentiasa berdakwah kepada anak-anak muridnya. Beliau sering menyebarkan kepentingan penerapan ilmu dan akhlak yang baik kepada pelajarnya.

Antara nasihat cikgu yang memberi kesan dalam diri Ustaz Ebit Lew ialah akibat buruk jika meninggalkan solat 1 waktu. Jika kita lalai, Allah akan masukkan umatnya yang ingkar ke dalam neraka selama 80 tahun.

Kata-kata itu benar-benar buat beliau risau dan menangis ketakutan. Itulah titik permulaan Ustaz Ebit Lew mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Walaupun tiada pendidikan formal dalam bidang keagamaan, beliau gigih belajar agama ketika berumur 13 tahun.

Demi mencapai matlamat itu, beliau belajar agama di beberapa madrasah di Thailand dan Pakistan. Setiap kali cuti persekolahan, beliau akan ke negara berkenaan untuk mendalami agama bersama jemaah tabligh.

Nasihat Ustaz Ebit Lew

Di bawah ini disertakan sekali 15 nasihat yang dititipkan oleh Ustaz Ebit Lew untuk manfaat dan pengajaran kita semua.

  1. “Jangan risau kalau kita buat baik orang tak nampak, yang penting Allah nampak.”
  2. “Bila kita dakwah orang tapi orang tak dengar, kita doa; Ya Allah, mereka tak tahu, tak faham, mereka lupa. Ya Allah, beri hidayah kepada dia.”
  3. “Semua manusia ada hati dan keinginan untuk jadi baik.”
  4. “Walaupun kita miskin, tapi bila kita ada agama, kita bahagia.”
  5. “Siapa betulkan solat, Allah betulkan hidup dia.”
  6. “Kita solat bukan sebab kita baik, tapi sebab kita hamba Allah.”
  7. “Tak mengapa orang hina dan aibkan kita, kita bukan hidup untuk penghormatan manusia tapi hanya untuk Allah sayang.”
  8. “Biar apa orang nak kata, yang penting kita hidup untuk Allah sayang.”
  9. “Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya. Sekurus-kurus ikan pasti ada dagingnya. Sebaik-baik orang pasti ada buruknya. Seburuk-buruk orang pasti ada baiknya. Buang yang keruh ambil yang jernih, carilah baik dalam buruk orang, itulah akhlak. Carilah buruk dalam kebaikan diri sendiri, itulah ikhlas.”
  10. “Bila kita bawa orang yang jauh dari Allah kembali kepada Allah, itulah cinta yang sebenar.”
  11. “Melihat bukan dengan mata tapi dengan hati. Hati yang kenal Allah S.W.T akan sentiasa belajar mencari kebaikan orang.”
  12. “Ketika kita ingat Allah, Allah ingat kita. Ketika kita lupa Allah, Allah tetap ingat kita.”
  13. “Kemusnahan hidup seseorang bermula apabila dia mula bersangka buruk terhadap sekelilingnya. Dan kemuncak kemusnahannya adalah apabila dia mula bersangka buruk dengan tuhan.”
  14. “Dua kunci rezeki dan ketenangan datang dalam hidup kita. Sayang dan jaga isteri dengan baik, jaga solat. Sebelum mulakan kerja, solat 2 rakaat. Nak buat apa pun. Minta pada Allah dahulu.”
  15. “Tidak pernah kecewa sebuah keluarga yang membawa sunnah Rasulullah. Tiada yang boleh memberi bahagia selain Allah S.W.T.”

Diharapkan kita semua dapat mencontohi keperibadian Ustaz Ebit Lew yang mulia. Penulisan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenali siapakah dia Ustaz Ebit Lew yang wajahnya sering terpampang di media sosial dan cetak.

Yang paling penting nasihat dan pesanan beliau sentiasa dingati dan dipraktikkan dalam kehidupan harian. Kemampuan beliau untuk mengajak masyarakat yang terpesong agar kembali ke pangkuan jalan amat dikagumi.

Ini bukannya tugas yang mudah. Kita perlu memberikan contoh dan tauladan yang baik sebelum mengajak orang ke arah kebaikan. Semoga Ustaz Ebit Lew akan terus gigih berdakwah dan membantu kebajikan masyarakat yang memerlukan.

Hanya Allah yang dapat membalas segala jasa dan budi baik beliau. Marilah kita sama-sama berdoa agar beliau terus dimurahkan rezeki dan diberkati oleh Allah. Aamin.

Anda suka artikel biodata Ebit Lew ini? Jemput juga baca kisah Imam Syafie dan ibu susuan Nabi Muhammad

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.