Pernah dengar tentang biji kolestrol atau milia? Ia bukanlah seperti jerawat yang mempunyai isi dan boleh dipicit. Biasanya biji kolestrol tumbuh di bawah mata dan sekitarnya. Namun, ia juga boleh tumbuh pada bahgaian siku, lutut, tangan sendi, tendon dan punggung.

Jika dibiarkan, wajah nampak kusam dan mencacatkan kecantikan wajah. Masalah ini boleh menyerang sesiapa sahaja tak kira golongan bayi, kanak-kanak mahupun dewasa tanpa mengira jantina.

Bagaimana biji kolestrol ini boleh tumbuh? Adakah biji kolestrol berkaitan dengan paras kolestrol yang tinggi dalam badan? Ramai yang sudah salah faham tentang biji kolestrol. Walaupun namanya kolestrol, ia tak terjadi disebabkan oleh paras kolestrol di dalam badan.

Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang biji kolestrol dari aspek punca dan cara rawatan. Salah faham masyarakat tentang biji kolestrol perlu diperbetulkan. Itulah sebabnya biji kolestrol juga tumbuh pada bayi dan juga orang yang sihat tanpa kolestrol tinggi.

Apa Itu Biji Kolestrol?

Biji kolestrol ialah sista yang mengandungi keratin. Ketulan kecil berwarna putih berisi keratin akan berkumpul pada liang peluh. Lama-kelamaan, ia akan membentuk benjolan kecil di permukaan kulit.

Menurut Dr. Rohaya Ramli dari Doktor Perubatan Keluarga, keratin ialah protein berstruktur di dalam badan manusia yang membentuk kuku, rambut dan lapisan kulit.

"

Pada bahagian lapisan kulit (epidermis), akan mengalami kitaran proses membuang sel kulit mati (keratin) secara semula jadi. Proses ini akan berlaku setiap 30 hari untuk menghasilkan kulit yang baru.

Namun, kitaran ini boleh terganggu apabila pori-pori peluh tersumbat dan menjadi tempat pengumpulan sel-sel kulit mati. Lama-kelamaan, ia akan membentuk benjolan di permukaan kulit yang dipanggil biji kolestrol. 

Jenis-Jenis Biji Kolestrol

Biji kolestrol terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

Biji Kolestrol Primer

Jenis primer ini sering terjadi pada golongan bayi. Ia adalah masalah kulit yang normal bagi bayi. Malahan, hampir 50 peratus bayi yang baru lahir akan ada masalah ni.

Selepas seminggu kelahiran, biasanya biji-biji kolestrol akan kelihatan pada bayi. Biasanya ia akan tumbuh pada bahagian kening, pipi, hidung dan lelangit. Apabila usia bayi mencecah 2 hingga 4 minggu, ia akan hilang. Ia adalah perkara normal dan ibu bapa tak perlu risau.

Biji Kolestrol Sekunder

Biji kolestrol sekunder terjadi akibat kecederaan pada kulit seperti terkena pancaran cahaya matahari (sunburn) atau kulit melepuh. Biasanya peringkat ini terjadi pada orang dewasa.

Malahan, jika anda membuat rawatan wajah untuk membuang sel-sel kulit mati (dermabrasion) untuk dapatkan kulit yang cerah dan berseri, masalah ini juga boleh berlaku.

Jika kaedah dan peralatan yang digunakan menyebabkan kecederaan pada kulit, biji kolestrol juga boleh tumbuh di kawasan yang mengalami trauma. Malahan, kesan terbakar atau melepuh pada kulit juga boleh menyebabkan biji ini tumbuh.

Namun, pertumbuhan biji kolestrol pada bahagian mata masih lagi tidak dapat dikenal pasti puncanya. Namun begitu, biji kolestrol ini tidak akan membesar dan tidak menyebabkan masalah kulit yang lain.

Cara Merawat Biji Kolestrol

biji-kolestrol

Imej via Healthline

Walaupun biji kolestrol tidak berbahaya, namun kemunculannya pada bahagian wajah akan mengganggu penampilan dan keyakinan. Oleh itu, sekiranya anda menghadapi masalah ini, lebih-lebih lagi pada bahagian wajah, boleh dapatkan rawatan berikut.

a) Teknik cungkilan

Teknik ini hanya boleh dilakukan oleh doktor atau pakar kulit di klinik atau hospital sahaja. Biji kolestrol akan dipecahkan menggunakan jarum steril yang telah dinyah kuman. Caranya gumpalan keratin akan dicungkil keluar menggunakan alat pengekstrak akne.

Jangan sesekali membuat rawatan ini di rumah untuk mengelakkan jangkitan bakteria yang akan merosakkan kulit.

b)  Rawatan laser

Untuk membuang milia yang besar dan degil, rawatan yang paling berkesan ialah rawatan laser. Jika anda mempunyai duit lebih, boleh cuba rawatan ini. Pastikan anda membuat temu janji dengan klinik dan hospital yang mempunyai pakar kulit yang terlatih.

Pastikan pakar tersebut diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan risiko komplikasi. Namun begitu, rawatan laser tak sesuai bagi individu yang mempunyai masalah jerawat kronik, mengambil ubat isotretinoin dan mempunyai sistem imun yang lemah.

c) Rawatan pengelupasan kimia

Kini terdapat banyak produk pengelupasan kimia yang menggunakan Asid Alfa Hidroksi (AHA) sebagai bahan utama di pasaran. AHA merupakan asid yang mempunyai kesan pengelupasan kulit lapisan epidermis atau keratolitik.

AHA akan menembusi lapisan kulit dan merosakkan ikatan antara sel-sel keratin dan akan disingkirkan melalui pengelupasan. Hasilnya ia akan beri kesan rejuvenasi, membersihkan kulit dan menghilangkan biji kolestrol yang kecil.

Anda boleh menggunakan produk penjagaan wajah yang diperkaya dengan asid buah-buahan (asid glikolik) terutama AHA dan Asid Polihidroksi (PHA).

d) Penggunaan krim sunblock

Kita disarankan memakai krim tabir suria (sunblock) setiap hari walau di mana sahaja. Tak kiralah anda sedang bercuti, bekerja dalam bangunan atau sekadar suri rumah sahaja. Jika anda bekerja di kawasan panas yang terdedah, gunakan krim sunblock dengan kerap.

Sinaran ultraviolet yang tinggi akan merosakkan kulit dan menyebabkan kulit terbakar, merosakkan kolagen dan menyebabkan pori-pori menjadi besar. Ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan biji kolestrol pada bahagian wajah.

e) Penggunaan retinol

Anda boleh membeli retinol di kebanyakan farmasi. Retinol terhasil daripada vitamin A yang efektif untuk merangsang penggantian sel-sel kulit. Retinol terdapat dalam produk penjagaan kulit.

Namun, jika anda mempunyai kulit yang sensitif, sapukan dulu retinol pada bahagian siku semalaman. Jika tiada sebarang kesan sampingan, anda boleh menyapunya di bahagian wajah. Anda perlulah mendapatkan nasihat pakar kulit sebelum menggunakannya.

Walaupun bagaimanapun pakar perubatan mengatakan bahawa biji kolestrol bukan disebabkan oleh faktor genetik dan stres. Namun begitu, untuk mengelakkan berlakunya masalah ini, anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga iaitu:

  1. Kurangkan makanan yang mengandungi garam, gula dan lemak yang tinggi.
  2. Elakkan memakai solekan yang tebal.
  3. Boleh amalkan suplemen yang mengandungi biotin atau niacin.
  4. Scrub wajah 2 kali seminggu.
  5. Bersihkan wajah 2 kali sehari.
  6. Gunakan produk wajah yang bersumberkan air dan bebas minyak.
  7. Kurangkan aktiviti luar semasa cuaca terlalu panas.
  8. Jangan memicit jerawat sehingga meninggalkan kesan luka.
  9. Jangan gosok muka terlalu kuat ketika mencuci muka.

Setakat ini saja perkongsian tentang biji kolestrol. Diharapkan para pembaca sekalian telah mendapat maklumat yang berguna tentang biji kolestrol. Tanggapan yang salah selama ini perlu dibetulkan. Biji kolestrol langsung tiada kaitan dengan paras kolestrol dalam tubuh badan.

Jemput baca tentang punca kolestrol dan senaman muka untuk awet muda

Rujukan

  • Milia Bukan Masalah Serius. https://www.hmetro.com.my/sihat/2018/03/318073/milia-bukan-masalah-serius (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.