Bersalin induce berkali ganda lebih sakit daripada bersalin normal. Biasa dengar ayat ni? Ini adalah ayat yang paling popular di kalangan ibu-ibu mengandung lalu menyebabkan ramai ibu mengandung berasa takut apabila terpaksa diinduce semasa proses bersalin.

Benarkah bersalin induce sangat menyakitkan? Adakah ianya merbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan? Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan info menarik tentang bersalin induce sebagai panduan anda.

Apakah yang dimaksudkan dengan bersalin induce?

Bersalin secara induce adalah satu proses di mana anda akan dipaksa untuk bersalin walau pun tubuh badan anda belum bersedia atau belum menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin.

Ia adalah satu prosedur perubatan yang dilakukan untuk menyebabkan anda bersalin atau dalam kes yang lain untuk mempercepatkan proses bersalin yang anda lalui. Ianya biasa dilakukan dengan cara memasukkan kapsul atau gel ke dalam vagina.

Apakah punca seseorang ibu mengandung terpaksa bersalin secara induce?

Secara amnya, semua ibu mengandung akan diberikan peluang untuk bersalin secara normal tanpa sebarang prosedur perubatan. Walau bagaimana pun, bersalin induce adalah terpaksa dilakukan jika seseorang ibu mengandung mengalami keadaan yang boleh menjejaskan nyawa si ibu atau bayi dalam kandungan seperti:

  • Overdue atau terlewat dari tarikh dijangka bersalin. Jika anda sudah melebihi dua minggu daripada tarikh anda dijangka bersalin, maka anda akan diinduce kerana membiarkan bayi terus berada dalam kandungan akan membahayakan kesihatan bayi.
  • Air ketuban telah pecah tapi tiada tanda bersalin. Jika keadaan ini berlaku, anda akan dipaksa bersalin dengan cara induce.
  • Chorioamnionitis. Sekiranya anda dijangkiti oleh Chorioamnionitis iaitu jangkitan kepada rahim, maka anda akan dipaksa untuk bersalin dengan kadar yang segera sebelum jangkitan tersebut boleh menjejaksan kandungan dan membahayakan nyawa anda berdua.
  • Fetal growth restriction. Ia adalah keadan di mana bayi dalam kandungan berhenti membesar. Jika bayi anda tidak membesar ia adalah petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kandungan anda lalu bersalin dengan segera adalah cara untuk menyelamatkan bayi dalam kandungan anda.
  • Air ketuban sedikit. Jika pemeriksaan mendapati bahawa air ketuban anda tidak mencukupi untuk menampung bayi di dalam kandungan disebabkan oleh berlakunya kebocoran atau air ketuban anda mengering, maka anda akan diinduce dengan segera untuk bersalin secara paksa bagi menyelamatkan nyawa bayi anda yang sedang berada dalam keadaan bahaya.
  • Diabetis. Ibu mengandung yang mempunyai masalah diabetis yang kritikal mungkin perlu bersalin secara induce kerana bacaan paras gula yang terlalu tinggi boleh menyebabkan ibu tersebut mengalami pre-eclampsia iaitu komplikasi kehamilan yang sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kematian kepada si ibu dan bayi dalam kandungan.
  • Tekanan darah tinggi. Seperti mana diabetis, ibu mengandung yang mengalami masalah tekanan darah tinggi juga mungkin perlu diinduce bagi mengelakkan berlakunya pre-eclampsia.
  • Placental abruption. Seorang ibu mengandung juga mungkin dipaksa bersalin secara paksa melalui kaedah induce disebabkan oleh keadaan merbahaya di mana placenta atau uri mulai tercerai dari dinding uterus sebelum kelahiran. Sekiranya plasenta terpisah dari dinding rahim, akan menyebabkan berlakunya pendarahan yang teruk lalu menyebabkan kehilangan nyawa si ibu dan bayi dalam kandungan.
  • Masalah kesihatan yang serius. Seseorang ibu mengandung juga mungkan perlu bersalin secara induce kerana mempunyai masalah kesihatan seperti sakit buah pinggang, sakit jantung atau obesiti. Bersalin secara induce adalah langkah untuk menyelamatkan nyawa ibu tersebut.

Bagaimanakah proses induce dilakukan?

Pastinya anda sedang berasa berdebar-debar dan tertanya-tanya bagaimanakah proses induce dilakukan? Adakah ia akan menyebabkan anda berasa sakit? Adakah prosedurnya rumit dan mengambil masa yang lama? Berikut adalah proses bagaimana induce dilakukan:

  • Sebelum proses induce bermula doktor akan melakukan cervical sweep atau membrane sweep. Ia adalah proses di mana doktor akan menyapu jari mereka keliling serviks dengan tujuan untuk menceraikan membran di antara kantung air ketuban dan serviks. Apabila membran tersebut tercerai, ia akan mencetuskan hormon yang akan membantu mencepatkan proses bersalin.
  • Jika masih belum ada tanda yang anda akan bersalin, lagkah seterusnya ialah memasukkan tablet yang dipanggil pessary atau gel ke dalam vagina.
  • Selepas tablet atau jel dimasukkan, anda cuma perlu menunggu kontraksi bermula. Anda mungkin ditahan di wad atau dibenarkan pulang ke rumah, bergantung kepada kes anda.
  • Jika anda mula mengalami kontraksi, anda akan bersalin seperti biasa.
  • Jika anda tidak merasai kontraksi, kapsul atau jel akan dimasukkan sekali lagi untuk mencetuskan kontraksi.

Adakah cara untuk induce secara semulajadi?

bersalin induce
Sumber: Parents

Jawapannya ialah YA, ada cara untuk induce secara semulajadi. Apa yang anda boleh lakukan ialah:

  • Melakukan senaman ringkas seperti berjalan di sekeliling rumah atau pusat membeli-belah..
  • Melakukan hubungan seks. Bagaimana melakukan hubungan seks membantu anda untuk cepat bersalin? Ini kerana semasa melakukan hubungan seks, tubuh badan anda akan mengeluarkan hormon oksitokin yang merangsang rahim untuk mengembang dan mengecut. Proses pengembangan dan pengecutan rahim akan menggalakkan anda bersalin dengan cepat secara semulajadi.
  • Meransang puting payudara secara manual atau menggunakan pam susu..
  • Akupuntur.
  • Sesetengah jenis makanan seperti nenas dan makanan pedas juga dikatakan boleh membantu anda cepat bersalin.

Itulah dia info tentang bersalin induce yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, pastinya anda juga akan berminat untuk membaca perkongsian kami tentang set bersalin terbaik, tanda nak bersalin, dan petua cepatkan bukaan rahim

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.