Nak tahu beras untuk kencing manis yang sesuai?

Pesakit kencing manis atau diabetes perlu mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang. Pesakit kencing manis perlu mengamalkan diet yang sihat untuk membantu mencapai aras gula, lemak dan tekanan darah yang normal.

Selain itu, pemakanan yang baik dapat mencegah komplikasi akibat paras gula yang tinggi dalam darah. Malahan, ia juga dapat mengekalkan bentuk badan yang ideal dan mengelakkan obesiti. Jika tidak dikawal pelbagai komplikasi lain boleh berlaku.

Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan panduan pemilihan beras untuk pesakit kencing manis. Sebelum itu, tahukah anda apakah punca utama yang menyebabkan kencing manis?

Apakah Itu Kencing Manis?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit kencing manis disebabkan oleh paras gula (glukos) yang tinggi di dalam darah. Ini berlaku disebabkan oleh kekurangan atau insulin yang kurang berkesan.

Insulin berfungsi untuk mengawal keseimbangan gula dalam badan dengan membantu pergerakan gula dari darah ke sel.

Pesakit kencing manis mengalami situasi di mana gula tidak boleh masuk ke dalam sel. Ia hanya kekal dalam darah dan menyebabkan paras gula menjadi tinggi.

Jika tidak dikawal, pelbagai komplikasi boleh berlaku seperti kegagalan buah pinggang, serangan jantung, kebutaan, tekanan darah tinggi dan sebagainya.

Diet Pesakit Kencing Manis

Sebagai rakyat Malaysia, nasi merupakan makanan ruji yang menjadi pilihan kita setiap hari. Secara semulajadi, gula terdapat dalam semua makanan kerbohidrat seperti nasi, mi, roti pasta dan ubi.

Oleh itu, persoalan yang selalu timbul dalam minda pesakit kencing manis ialah adakah mereka boleh makan nasi. Seperti yang disenaraikan semua makanan berkarbohidrat mempunyai gula termasuklah hasil tenusu dan buah-buahan.

Oleh itu, untuk mengelakkan gula dalam diet harian bagi pesakit kencing manis bukanlah perkara yang mudah. Menurut Dr. Suri Roowi, Pegawai Penyelidik Prinsipal di Pusat Penyelidikan Sains & Teknologi Makanan MARDI, pesakit kencing manis boleh saja makan nasi.

Namun, ada aspek yang perlu diambil perhatian iaitu pastikan nasi yang diambil mempunyai nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah. Yang paling penting, pastikan juga kuantiti nasi yang diambil tidak berlebihan.

Untuk mengelakkan makan nasi secara berlebihan, tambahkan sayur-sayuran untuk memberi rasa lebih kenyang. Boleh juga ambil makanan yang tinggi serat seperti roti bijirin penuh, barli dan oat.

Jenis Beras yang Baik untuk Kencing Manis

Di bawah ini disenaraikan beberapa jenis beras yang mempunyai GI yang rendah. Antaranya ialah:

Beras basmati

Dikatakan bahawa beras basmati merupakan beras yang paling sihat untuk pesakit kencing manis. Sebab itulah harganya agak mahal di pasaran berbanding beras biasa. Beras ini juga sangat berkualiti tinggi.

GI beras basmati dikategorikan rendah hingga sederhana ialah antara 43-60. 100 gram nasi putih basmati mengandungi 150 kalori, 3 gram protein, 1.5 gram lemak, 3 gram serat dan 35 gram karbohidrat. Kehadiran serat membolehkan paras gula dalam darah dikawal.

Beras perang

Beras merah mempunyai GI 50 saja. Harvard Health Publishing menyatakan nasi yang mempunyai GI 50 dikategorikan sebagai rendah. Oleh itu, beras merah selamat untuk pesakit kencing manis.

Dalam 100 gram beras perang terdapat 163.5 kalori, 34.5 gram karbohidrat, 3 gram serat, 1.5 gram lemak dan 3.4 gram protein. Malahan, beras perang juga kaya dengan vitamin, kalsium, mineral, zink dan sebagainya.

Beras rebus (parboiled rice)

Beras rebus ialah beras yang telah diproses dengan teknik pembersihan yang berbeza. Ramai yang salah faham tentang beras rebus. Ia bukanlah beras putih yang direbus menjadi nasi.

Setelah padi dituai, ada beberapa proses untuk menghasilkan jenis beras yang berbeza, iaitu:

a. Bijian beras yang masih dikulitnya dituai dan kulit padi dibuang untuk hasilkan beras perang.

b. Proses membuang bran pula akan menghasilkan beras putih biasa.

c. Padi yang direndam tanpa dibuang kulitnya, kemudian dikukus dan dikeringkan ialah beras rebus.

Oleh kerana dikukus bersama kulitnya sekali, beras rebus menyerap banyak nutrisi dan mempunyai GI yang rendah. Malahan, kandungan serat, potasium dan vitamin juga sangat tinggi.

Cara Penyediaan Nasi Untuk Pesakit Kencing Manis

Walaupun pesakit kencing manis boleh makan nasi, namun disebabkan faktor masalah kesihatan, mereka masih perlu berjaga-jaga. Tidak kiralah sama ada beras perang, beras basmati, beras rebus mahupun beras putih biasa, pastikan jaga kuantiti yang diambil.

Walaupun beras basmati atau beras perang mempunyai nilai GI yang rendah, namun ia boleh meningkat jika penyediaan nasi tidak bertepatan. Selain kuantiti yang diambil, cara penyediaan juga perlu diambil kira.

Antaranya ialah:

a. Elakkan makan bubur kerana ia mempunyai GI yang lebih tinggi.

b. Elakkan makan nasi daripada beras hancur.

c. Jangan makan nasi yang terlalu lembik.

d. Simpan nasi pada suhu sejuk dan elakkan makan nasi yang masih panas.

Sebaik-baiknya amalkan pemakanan yang seimbang dengan lebihkan sayur-sayuran yang mempunyai serat yang tinggi. Serat akan meningkatkan kemampuan insulin dan seterusnya dapat mengawal paras gula dalam darah.

Pesakit kencing manis digalakkan untuk makan secara sederhana, kerap dengan kuantiti yang dibenarkan. Bagi pesakit, pengawalan gula dalam darah amatlah penting.

Oleh itu, pastikan masa makan secara tetap, jumlah karbohidrat yang sederhana, GI yang rendah dan lebihkan pengambilan serat. Jauhkan makanan karbohidrat ringkas, makanan berlemak dan manis dalam diet harian.

Kesimpulannya, pengambilan nasi dibolehkan bagi pesakit kencing manis. Namun, lebih baik mengambil beras bermutu yang mempunyai GI yang rendah seperti beras basmati, beras perang dan beras rebus.

Diharapkan artikel ini memberi sedikit sinar harapan bagi pesakit kencing manis yang memerlukan nasi sebagai makanan harian. Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan insan-insan tersayang. Moga bermanfaat.

Jemput juga baca artikel tentang makanan untuk pesakit kencing manis dan khasiat beras perang

Rujukan

  1. https://www.yoy.my/nak-makan-nasi-ini-6-tips-dari-doktor-wajib-pesakit-diabetes-tahu-untuk-kawal-gula/
  2. http://www.myhealth.gov.my/kencing-manis-2/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.