Mencari petua hilangkan bengkak susu?

Bagi ibu yang menyusukan anak, bengkak susu sangat menyiksakan. Boleh demam dibuatnya.

Sakit berdenyut-denyut sampai nak buat apa-apa pun tak mampu. Istimewa untuk anda, hari ni kami nak berkongsi punca dan petua hilangkan bengkak susu yang semua ibu wajib tahu.

bengkak susu

Sumber: Hidayahkassim

Terdapat pelbagai punca anda mengalami bengkak susu. Di antaranya ialah:

1. Lambat memulakan penyusuan kali pertama

Selepas melahirkan, pastikan anda menyusukan anak secepat yang mungkin. Tujuannya ialah untuk mengelakkan berlakunya bengkak susu dan dalam masa yang sama supaya anak mendapat kolostrum yang membantu meningkatkan imunitinya.

2. Lekapan yang tidak betul

Lekapan yang tidak betul akan menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara. Ini juga menjadi penyebab kepada masalah luka pada payudara dan bayi tidak cukup susu.

3. Jarang menyusukan anak atau mengepam susu

Penyusuan yang tidak kerap menyebabkan payudara tidak dikosongkan dengan kerap maka susu ibu tidak keluar dengan lancar. Jarak masa antara sesi memerah yang terlalu lama juga berpotensi menyebabkan saluran susu tersumbat. Sesi memerah paling sesuai untuk memastikan kelancaran aliran susu dan mengelakkan bengkak susu adalah setiap 2-3 jam sekali.

bengkak susu

Sumber: Penyusuan.com

4. Penyusuan berjadual

Penyusuan berjadual boleh menyebabkan bengkak susu dimana bayi menyusu mengikut jam yang ditetapkan, iaitu pada waktu-waktu tertentu. Sebetulnya, bayi perlu menyusu mengikut signal-signal yang diberikan oleh bayi sendiri, seperti apabila tidur bayi mula terganggu, bayi mula mengecap-ngecap dan menghisap bibir/jari. Menangis adalah tanda paling akhir.

Apabila bersama bayi, amalkan penyusuan on demand iaitu mengikut tanda-tanda yang ditunjukkan bayi, bukannya melihat kepada jam.

5. Tidak menyusukan bayi dari kedua belah payudara

Jika anda menyusukan bayi dari satu payudara sahaja, ia akan menyebabkan anda mengalami bengkak susu pada payudara yang tidak dihisap. Oleh itu, pastikan anak anda menyusu dari kedua-dua payudara. Bukan satu sahaja.

6. Terlupa untuk mengepam susu

Bagi ibu yang mempunyai jadual kerja yang terlalu padat, mungkin anda tertinggal sesi mengepam kerana batasan tugas dan waktu di office. Perkara ini boleh menyebabkan masalah bengkak susu.

bengkak susu

Sumber: Medela

7. Pam susu tidak sesuai

Penggunaan pam yang tidak sesuai terutamanya jika saiz corong pam terlalu kecil dengan puting ibu boleh menyebabkan susu tak dapat keluar dengan baik dari payudara. Salah satu tanda nak tahu anda menggunakan saiz corong yang salah adalah, setiap kali memerah anda rasa sakit atau pedih pada puting susu. Jika berlaku begini, gunakan corong pam yang lebih besar.

Itulah dia 7 punca berlakunya bengkak susu. Sekarang kami akan kongsikan 14 petua untuk menghilangkan bengkak susu.

1. Sikat

Kalau orang dulu-dulu, bila kena bengkak susu mereka akan menyikat payudara dengan sikat rambut. Sikat perlahan-lahan sambil berdoa supaya dikurangkan bengkak. Sikat sekerapnya, insya Allah berkesan.

2. Daun kobis

Selain menyikat payudara, anda juga boleh mengurangkan bengkak susu dengan menggunakan daun kobis. Ambil sehelai daun kubis, bersihkan, keringkan, dan lekapkan ke payudara. Buarkan daun kobis di situ sehingga layu. Bengkak susu anda akan berkurangan.

bengkak susu

Sumber: Nuhababy

3. Mandi air panas

Jika anda mengalami bengkak susu, mandi dengan air panas sangat membantu. Mandi air panas selama 15-30 minit dan halakan air panas ke payudara. Air panas akan membantu melembutkan payudara anda. Sambil mandi, urutkan perlahan-lahan bahagian yang bengkak dan berketul.

4. Yogurt asli

Yogurt asli juga boleh membantu menghilangkan bengkak susu. Ambil yogurt asli, sapukan ke seluruh payudara dan biarkan selama 30 minit. Kemudian cuci sehingga bersih. Bukan sahaja membantu menghilangkan bengkak, yogurt asli juga membantu jika ada berlakunya sumbatan pada kelenjar susu anda.

5. Tuam dengan air panas

Anda juga boleh menuam payudara untuk menghilangkan bengkak susu. Caranya gunakan pek panas atau kain yang direndam dalam air panas, dan tekapkan ke payudara anda. Lebihkan ke bahagian yang keras dan berketul. Tekan sedikit, tapi jangan terlalu kuat.

6. Tuam dengan ais

Selain ar panas. ais juga membantu menghilangkan bengkak susu. Ambil ais atau pad gel yang dibekukan, balut dengan kain dan tekapkan ke payudara. Pastikan anda membalut ais atau pad gel dengan kain, bukan meletakkan terus ke payudara.

bengkak susu

Sumber: Aliexpress

7. Urutan sendiri

Anda boleh melakukan urutan sendiri untuk menghilangkan bengkak susu. Caranya gunakan 4 jari, dan urut seluruh payudara, menuju ke arah aerola. Dari atas ke arah aerola. Dari tepi ke arah aerola. Dari bawah ke arah aerola. Lakukan perlahan-lahan kalau sakit.

8. Berurut

Selain urutan sendiri, anda juga boleh berurut dengan bidan yang pandai. Namun, mungkin anda akan terpaksa menahan sakit waktu diurut. Insya Allah selepas berurut, bengkak susu anda akan hilang memandangkan bidan pandai mencari titik bengkak susu yang anda alami.

9. Mengepam susu

Mengepam susu juga boleh membantu menghilangkan bengkak susu. Bengkak susu berlaku kerana terlalu banyak susu terkumpul didalam payudara. Bila anda mengepam, susu dalam payudara berkurangan dan bengkak juga akan hilang secara automatik. Tapi jangan terlalu kerap mengepam kerana makin kerap anda pam, makin banyak susu dihasilkan dan masalah bengkak susu anda akan berulang.

10. Berhenti makan jamu

Jika anda sedang makan apa-apa jamu, terutamnya set berpantang, sila berhenti makan jamu tersebut sekiranya anda mengalami bengkak susu kerana ada kemungkinan anda mengalami bengkak susu kerana jamu yang diambil. Ada sesetengah jamu mengandungi bahan yang menyebabkan susu menjadi terlalu banyak.

bengkak susu

Sumber: Keluarga

11. Susukan anak dengan kerap

Anak adalah sangat berfungsi untuk menghilangkan bengkak susu. Bila rasa susu anda bengkak, cepat-cepat susukan anak. Namun, apabila mengalami bengkak susu, mungkin aerola anda akan mengeras dan menyebabkan anak sukar untuk menyusu. Jadi, sebelum susukan anda, pam sedikit susu untuk mengurangkan kekerasan aerola.

12. Marmet

Marmet adalah kaedah mengepam susu dengan menggunakan tangan. Kalau anda tak bersama anak dan tiada pam susu, anda boleh lakukan marmet. Tak tahu caranya? Anda boleh tengok video marmet yang banyak dikongsikan diyoutube.

13. Bertungku

Jika anda masih dalam berpantang, semasa bertungku anda boleh juga tungkukan payudara. Haba dari tungku panas akan membantu menghilangkan bengkak susu yang anda alami.

14. Ubat

Anda dinasihkatkan untuk berjumpa doktor dan dapatkan ubat untuk menghilangkan bengkak susu. Berjumpa doktor juga adalah bagi memastikan tidak berlaku sebarang jangkitan kuman yang boleh menyebabkan Mastitis.

bengkak susu

Sumber: Babycenter

Sekian sahaja perkongsian kami untuk hari ini. Semoga info tentang punca dan cara menghilangkan bengkak susu di atas bermanfaat buat anda.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.