Makin dekat dengan tarikh bersalin, makin berdebar-debar hati dibuatnya. Bermacam-macam perasaan.

Rasa tak sabar nak menimang cahayamata yang baru, tak sabar nak bertentangan mata untuk kali pertama, tak sabar untuk peluk cium anak yang dikandung dalam perut selama 9 bulan 10 hari. Dalam masa yang sama rasa risau kalau ada kelengkapan yang belum sedia, terutamanya beg untuk ke hospital.

Nak tak kalau kami kongsikan checklist barang yang perlu dibawa bersama semasa ke hospital? Lepas ni bila tiba masa untuk anda kemas beg hospital, cuma perlu rujuk senarai yang kami sediakan dibawah.

Beg hospital anda perlu diisi dengan kelengkapan untuk ibu & bayi. Jangan lupa kelengkapan untuk si ayah sekali kalau anda & suami merancang untuk tinggal di wad bersama.

Kelengkapan ibu:

1. Buku antenatal

Ini adalah benda yang paling penting.  Jangan sampai tertinggal. Buku antenatal mengandungi semua rekod & data penting anda & bayi sepanjang tempoh kehamilan. Ia juga mengandungi segala catatan doktor termasuk info penting seandainya ada mempunyai risiko komplikasi semasa bersalin.

2. Kad pengenalan atau passport

Bawa kad pengenalan anda. Jika anda bukan seorang warganegara, jangan lupa bawa passport.

3. Surat jaminan atau Guarantee Letter

Jika anda bakal menggunakan surat jaminan, pastikan ianya sudah sedia & dimasukkan sekali ke dalam beg hospital. Letakkan di poket tepi supaya tidak kemek atau terkoyak.

4. Telekung sembahyang

Anda masih wajib bersolat selagi anda belum bersalin. Apa yang menyedihkan, ramai ibu yang sedang menunggu waktu bersalin di hospital tidak bersolat.

Sumber Gambar: Faqar

5. Surah Yassin

Surah Yassin boleh dijadikan sebagai peneman anda semasa menahan sakit bersalin.  Baca & fahami maksud ayat-ayat suci yang terkandung didalamnya. Waktu tidur, boleh letakkan surah Yassin disisi bantal.

6. Maternity pad

Ianya sangat penting. Anda perlu memakai maternity pad sebaik sahaja berlaku pendarahan atau air ketuban mula bocor. Nanti selepas selamat bersalin, anda akan terus memakai maternity pad sehingga darah nifas & wiladah kering.

7. Bakul makanan

Jangan lupa bawa bakul makanan  sebagai bekal semasa anda sedang menunggu masa untuk bersalin & selepas melahirkan. Bakul makanan boleh diisi dengan:

  • Air zam-zam
  • Air selusuh
  • Kurma
  • Biskut
  • Air masak
  • Termos air panas
  • Minuman 3 in 1

Sumber Gambar: Syazfida

8. Baju lengan panjang

Jika anda bersalin di hospital kerajaan, anda akan dipakaian pakaian pesakit. Namun jika anda bersalin di hospital swasta, anda akan memakai pakaian sendiri. Bawa  sekurang-kurangnya 5 helai baju lengan panjang. Anggaran 5 helai adalah untuk kegunaan dari proses sebelum bersalin sehingga keluar dari wad. Mengapa baju lengan panjang? Supaya aurat anda terpelihara & mengelakkan kesejukan.

9. Baju sejuk

Bersedia dengan baju sejuk. Pakai jika terasa terlalu sejuk, terutamanya selepas bersalin bagi mengelakkan bentan.

10. Kain batik atau skirt

Elakkan memakai seluar selepas bersalin. Kain batik atau skirt adalah yang terbaik & selesa untuk anda. Bawa sekurang-kurangnya 5 helai.

11. Nursing bra

Anda akan menyusukan bayi sebaik sahaja bayi dilahirkan. Pemakaian nursing bra akan memudahkan proses penyusuaan. 3 helai sudah memadai.

12. Nursing pad

Biasanya ibu yang baru melahirkan akan mengalami bengkak susu, dan susu akan menitis sentiasa. Pemakaian nursing  pad mencegah daripada masalah baju yang basah disebabkan susu.

Sumber Gambar: Amazon

13. Seluar dalam pakai buang

Lupakan seluar dalam yang ada dalam almari baju. Beli seluar dalam pakai buang. Lepas guna terus masukkan ke dalam tong sampah. Lebih-lebih lagi jika anda bersalin secara pembedahan, pemakaian seluar dalam biasa boleh menyakitkan.

14. Selipar atau sandal

Pastikan anda bawa selipar atau sandal untuk memudahkan anda bergerak, terutamanya ke tandas. Pastikan selipar anda mempunyai bunga yang elok & tidak licin bagi mengelakkan anda tergelincir semada berada di dalam tandas.

15. Tudung sarung

Aurat wajib dijaga semasa berada di hospital. Tudung sarung adalah lebih sesuai berbandung  shawl yang perlu dililit.

16. Stokin

Jangan sesekali lupa untuk memakai stoking terutama sekali selepas anda melahirkan. Pemakaian stoking membantu mengelakkan anda kesejukan supaya tak terkena sakit urat, demam atau pun bentan. Ia juga menghalang angin dari masuk ke dalam badan.

17. Getah ikat rambut

Selepas bersalin, ikat rambut anda dengan ketat & tinggi supaya mengelakkan angin masuk ke dalam badan. Ia juga membantu mengelakkan anda terkena sakit kepala.

18. Tuala mandi

Tuala mandi tidak disediakan di hospital. Anda perlu membawa sendiri dari rumah.

19. Minyak panas

Sapukan minyak panas untuk memanaskan badan selepas bersalin. Sapukan ke perut ( elakkan luka pembedahan ), leher, belakang telinga, betis, dan tapak kaki. Ianya membantu perjalanan darah & menghilangkan sakit-sakit badan akibat proses bersalin yang panjang.

20. Alatan mandian & persiapan diri

Jangan lupa untuk bawa sabun, syampu, ubat gigi, berus gigi, sikat, bedak dan sebagainya.

21. Pengecas handphone & power bank

Anda memerlukan handphone untuk terus berhubung dengan orang yang tersayang. Jangan lupa bawa pengecas & power bank supaya handphone anda tidak kehabisan bateri.

Sumber Gambar: Liputan6

22. Pakaian untuk pulang ke rumah

Jangan lupa untuk sediakan pakaian untuk hari penting iaitu kepulangan anda ke rumah bersama orang baru.

Kelengkapan bayi:

1. Pakaian bayi

  • 3 pasang baju
  • 3 helai bedung
  • Minyak panas & krim ruam
  • 3 helai barut
  • 3 pasang stokin kaki & tangan
  • 1 helai topi

2. Lampin pakai buang

Bawa sekurang-kurangnya 10 helai lampin pakai buang.

3. Tisu basah ( wet wipes )

Jangan lupa bawa tisu basah untuk menukar lampin bayi.

4. Tuala mandi

Tuala mandi untuk sikecil jangan dilupa. Basuh dulu sebelum digunakan.

5. Tuala kecil

Sediakan tuala kecil untuk dibuat lap.

6. Baju untuk pulang ke rumah

Sediakan baju yang paling comel untuk bayi anda pakai sewaktu pulang ke rumah.

Sumber Gambar: PuanKutu

Itulah dia checklist senarai barang  yang perlu anda sediakan untuk dibawa bersama ke hospital semasa bersalin. Semoga perkongsian kami pada kali ini membantu anda. Jangan lupa save artikel ini untuk panduan anda semasa mengemas beg hospital.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.