Bayi yang mula tumbuh gigi ternyata sangat comel sekali. Tetapi sedihnya apabila gigi mula tumbuh bayi akan berasa sangat tidak selesa sehinggakan ada yang mula demam. Maka sebagai ibu dan ayah, anda perlu lebih peka tentang keadaan bayi supaya dapat membantu mengurangkan kesakitan bayi tersayang tatkala berhadapan dengan tempoh masa bayi tumbuh gigi ini.

Bayi Mula Tumbuh Gigi Seawal Usia 6 Bulan

Rata-rata, bayi akan mula tumbuh gigi pertamanya sekitar usia 6 hingga 8 bulan dan ada juga bayi yang mula tumbuh gigi lebih awal atau lebih lewat dari umur tersebut.

Jangan bimbang, kerana itu semua adalah normal. Setelah gigi pertama bayi muncul, proses ini akan terus berulang pada tempoh masa tertentu.

Gigi susu bawah depan akan tumbuh dahulu diikuti gigi susu depan atas. Bila semua gigi susu tumbuh, 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang atas dan 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang bawah. Bayi kesayangan anda akan memiliki 20 batang set gigi yang lengkap kesemuanya. Set gigi pada bayi akan lengkap tatkala dirinya berusia sekitar umur 3 tahun.

Tanda-Tanda Bayi Anda Sedang Tumbuh Gigi

tumbuh gigi
Imej via BIdadari.My

Bayi yang baru mula tumbuh gigi sering menunjukkan perubahan dari masa ke semasa. Perubahan ini akan sering berlaku dan bergantung pada ibu dan ayah sama ada dapat memahami tanda yang ditunjukkan ataupun tidak. Antara tanda perubahan tersebut adalah seperti:

  • Suka menggigit apa saja termasuk jarinya sendiri
  • Air liur meleleh-leleh dengan banyak
  • Suka memasukkan jari ke dalam mulut tiap masa
  • Sering menarik telinganya sendiri
  • Muncul ruam yang banyak pada bahagian muka
  • Kerap menangis tidak tentu masa
  • Mula kurang berselera untuk makan
  • Batuk atau muntah
  • Cirit birit atau demam
  • Sering terjaga pada waktu malam secara tiba-tiba

3 Tips Untuk Legakan Kesakitan Bayi Semasa Tumbuh Gigi

Cara #1 – Beri buah pisang yang sejuk atau yang telah dibeku

Pisang yang telah dibeku atau disejukkan adalah alternatif yang baik untuk melegakan kesakitan. Oleh sebab pisang adalah buah yang lembut, ia boleh ditelan dengan selamat oleh bayi anda. Tapi untuk keselamatan, ibu bapa digalakkan untuk memantau anak mereka dengan teliti apabila mereka makan.

Cara #2 – Beri batang lobak merah yang mentah

Lobak mentah yang sejuk adalah remedi yang hebat dan sihat untuk kanak-kanak yang tumbuh gigi. Bayi suka mengigit teksturnya yang kukuh dan sejuk. Tetapi ibu bapa haruslah memerhati anak mereka semasa mereka makan untuk memastikan mereka tidak tercekik cebisan-cebisan kecil.

Cara #3 – Gosok menggunakan berus gigi khas untuk bayi

Dengan menggunakan berus gigi khas untuk bayi, kesakitan bayi dapat dikurangkan kerana ia boleh mengurut bahagian gusi yang sakit. Perbuatan mengunyah berus gigi juga merupakan cara yang baik untuk melegakan kesakitan.

Cara Penjagaan Gigi Bayi Yang Betul

Pembersihan gigi susu bayi harus dimulakan sebaik sahaja gigi susu tumbuh walaupun anak anda hanya minum susu ibu atau susu formula sahaja. Caranya ialah dengan menyapu sedikit ubat gigi berfluorida ke atas kain lembut atau berus gigi bayi dan kemudian disapukan ke atas gigi bayi.

Setelah gigi geraham susu mula tumbuh, anda boleh menukar ke berus gigi kanak-kanak yang lembut dan menggunakan ubat gigi berfluorida sebesar biji kacang pea. Jangan lupa untuk mencuci lidah dan gusi di mana bakteria bersembunyi dan menyebabkan mulut berbau.

Lakukan 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum tidur. Mencuci gigi dan mulut atau berkumur juga disyorkan pada setiap kali selepas bayi mengambil makanan.

Gunakan Ubat Gigi Yang Berflourida Untuk Kesan Yang Lebih Baik

Sedikit fluorida di dalam ubat gigi adalah baik untuk gigi anak anda yang sedang membentuk. Fluorida adalah sejenis bahan mineral yang dapat menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Anda hanya perlu menggunakannya dalam jumlah yang sedikit sebesar kacang peas setiap kali ingin memberus gigi bayi. Ini kerana kanak-kanak lebih cenderung untuk menelan ubat gigi daripada meludahnya keluar.

Bayi Tumbuh Gigi Perlu Diberi Perhatian Selalu

Walaupun bayi baru tumbuh gigi susu yang tidak akan kekal selamanya tetapi faktor penjagaan adalah penting. Waktu inilah anda dapat memupuk sikap suka menjaga kebersihan di dalam mulut dan gigi pada bayi. Sila jangan abaikan penjagaan gigi yang baru tumbuh ini dan gigi yang sihat adalah penyeri wajah yang semulajadi yang sebenar.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Avatar

Isteri dan ibu kepada 6 cahayamata. Berpendidikan di dalam bidang bisnes dengan kerjaya tetap sebagai penulis bebas. Gemar berkongsi mengenai sirah Islam, isu rumahtangga dan keibubapaan berdasarkan pembacaan dan pengalaman sendiri.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.